Zakat: Fahami dan bantu

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/johari-yap/zakat-fahami-dan-bantu-1.540202

KISAH seorang Cina yang mempersoalkan cara pembahagian zakat telah tersebar di media sosial pada Ramadan lalu. Individu itu mendakwa zakat fitrah yang sebanyak RM7 seorang, jika didarab dengan 10 juta umat Islam di Malaysia, akan menghasilkan nilai terkumpul RM70 juta.

Menurutnya, RM70 juta itu jika diagihkan kepada 70 orang asnaf dengan setiap orang mendapat RM1 juta, Malaysia akan memiliki 70 orang jutawan. Dan dalam tempoh 10 tahun, sepatutnya telah terlahir 700 jutawan Islam. Tetapi, masih ramai umat Islam yang miskin tegar. Kemanakah wang berkenaan disalurkan soalnya.

Syabas kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dan Majlis Agama Islam negeri-negeri lain, yang telus memberikan laporan “Info Zakat” bagi memberikan penerangan terperinci mengenai penerimaan dan agihan zakat. Laporan ini membantu menjelaskan salah faham berkenaan zakat dan pengurusannya.

Menurut Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi, penyumbang zakat tidak perlu gusar kerana wang mereka disalurkan kepada 25 program khas yang diwujudkan Maik untuk kesemua asnaf; antaranya bantuan bulanan fakir miskin, pemulihan perniagaan, kemahiran hidup, kecemasan, perubatan, bantuan persekolahan, pemulihan kediaman dan lain-lain lagi.

Jika 70 asnaf sahaja yang menerima bantuan zakat, bagaimana dengan lebih 60,000 penerima bantuan zakat Maik? Sebahagian besar penerima zakat ini adalah golongan fakir dan miskin.

Walaupun masih ada kelemahan, ramai yang tidak menyedari usaha penambahbaikan dilakukan secara berterusan. Sebenarnya, sudah ada perubahan besar dalam pentadbiran zakat jika dibandingkan dengan suatu ketika dahulu, baik dari segi kutipan mahupun agihan.

Semasa artikel ini ditulis, menurut laman web Maik, jumlah kutipan zakat semasa ialah RM75.3 juta manakala jumlah agihan zakat semasa ialah RM80.4 juta. Maksudnya, setiap kutipan zakat yang diterima sudah berjaya diagihkan kepada lapan golongan asnaf dan kekurangan kutipan tersebut ditampung oleh sumber Baitumal agar semua golongan asnaf dapat dibantu.

Untuk makluman, agihan zakat di Kelantan untuk tahun 2015 adalah sebanyak RM196.7 juta, melebihi kutipan sebanyak RM161.9 juta. Jika zakat tidak diurus tadbir dengan betul, jumlah agihan tidak akan setinggi itu.

Gambaran seolah-olah pegawai majlis agama hanya menunggu asnaf datang sahaja juga tidak adil. Mereka bukan sahaja turun padang, tetapi bekerjasama dengan pihak NGO yang turut membantu mengendalikan asnaf.

Yang menjadi isu, ada pemohon zakat yang mengharapkan bantuan segera walhal untuk setiap permohonan zakat, perlu diadakan siasatan terlebih dahulu kerana ada pihak yang tidak layak menerima zakat tetapi tetap memohon zakat dan ada yang sanggup menyamar serta menipu.

Disebabkan ini, ada kalanya proses permohonan zakat memerlukan sedikit masa. Pihak majlis agama tidak boleh suka hati memberikan wang zakat kerana duit zakat adalah amanah.

“Sesungguhnya ALLAH menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (ALLAH menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya ALLAH dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya ALLAH sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Surah An-Nisa: 58)

Selain wakaf, zakat merupakan sistem yang terbaik untuk sosioekonomi umat Islam. Setiap anggota masyarakat perlu bersama-sama menyokong dan mendokong usaha ini dengan menyalurkan zakat melalui pusat zakat negeri agar dapat ditadbir dengan lebih tepat dan efisien, demi membasmi kemiskinan di kalangan umat Islam.

Pentadbiran zakat di Malaysia tidaklah sempurna tetapi tidaklah teruk sehingga ada yang enggan membayar zakat kepada majlis agama atau pusat zakat. Kepada yang mengkritik, usah bersikap suka memperbesarkan kelemahan, seolah-olah pihak institusi agama tidak buat kerja langsung. Sebaliknya, cubalah kaji atau ambil tahu dahulu sebelum membuat pertuduhan yang tidak berasas atau memfitnah. Dapatkan fakta dan maklumat terkini.

Fahami apa itu zakat, apa itu golongan asnaf yang layak menerima zakat, dan bagaimana pusat zakat mengagihkan zakat. Buanglah prasangka. Sebaliknya, ambil peduli dan bersama-samalah membantu dalam usaha menjadikan pengurusan zakat lebih efisien.

* Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

Posted in Sinar Harian

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments