UMK perkasa perniagaan sosial

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/johari-yap/umk-perkasa-perniagaan-sosial-1.820380

ISTILAH social business atau perniagaan sosial diperkenalkan oleh Profesor Muhammad Yunus, pemenang hadiah Nobel, dalam buku beliau yang bertajuk Creating a World Without Poverty: Social Business and the Future of Capitalism pada 2009.

Perniagaan sosial bertujuan menyelesaikan masalah sosial melalui perniagaan.

Antara sumbangan terbesar Muhammad Yunus ialah penubuhan Bank Grameen pada 1976 untuk memberikan pembiayaan kredit mikro kepada masyarakat miskin tegar di Bangladesh. Grameen bermaksud pedalaman atau kampung dalam bahasa Benggali, maka Bank Grameen bermaksud ‘Bank Kampung’ yang diwujudkan untuk membantu orang miskin.

Sebagai seorang profesor dalam bidang ekonomi, beliau melihat teori ekonomi klasik yang diajar di universiti tidak mampu menyelesaikan masalah kemiskinan dan kelaparan di Bangladesh. Lalu, beliau turun ke lapangan untuk melihat dan mengkaji sendiri masalah yang semakin membarah ketika itu.

Antara dapatan beliau adalah kebanyakan masyarakat miskin merupakan pengusaha kecil yang sukar mendapat pinjaman daripada bank konvensional kerana tidak mempunyai kolateral (jaminan), menyebabkan mereka meminjam daripada along yang mengenakan bunga yang tinggi.

Pembiayaan awal oleh Muhammad Yunus kepada 42 keluarga miskin tegar membuahkan hasil yang mengejutkan. Pembayaran balik terbukti lebih baik walaupun pinjaman tersebut tidak dijamin dengan aset.

Keluarga miskin terbabit berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan kerana bayaran balik yang tidak membebankan. Konsep Bank Grameen telah diadaptasi oleh lebih 100 negara di dunia termasuk Malaysia.

Menggunakan teori inilah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memberikan pinjaman kredit mikro dari serendah RM1,000 dengan tempoh bayaran balik selama 12, 25, 35 atau 50 minggu dengan caj pengurusan yang rendah.

Pendekatan AIM ini bermula di Selangor pada 1986 melalui projek perintis selama dua setengah tahun yang melibatkan 373 isi rumah termiskin. Pada akhir projek tersebut, sekurang-kurangnya 90 peratus bayaran balik diterima, termasuk modal pinjaman dan kos pengurusan. Ini membuktikan keberkesanan program tersebut.

Kini, semakin banyak pihak atau pertubuhan yang menjalankan perniagaan bukan berasaskan keuntungan semata-mata tetapi juga untuk membantu masyarakat. Antaranya yang diusahakan oleh sahabat saya, Ir Meor Shamsir, yang merupakan Pengerusi Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan.

Beliau telah menubuhkan Asnaf Catering Services yang diterajui oleh golongan asnaf, dan Selera Inspirasi Services (SIS) yang mengendalikan gerai makanan di Dataran Kelabu di Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian.

Selain memberikan peluang pekerjaan kepada golongan asnaf dan melatih mereka untuk berniaga, SIS turut menaja makan tengah hari kepada golongan pelajar miskin di kampus tersebut.

Kumpulan pertama terdiri daripada 15 pelajar dan kini dinaikkan kepada hampir 50 pelajar. Pelajar terbabit akan ke gerai jualan SIS pada waktu makan tengah hari dan mereka boleh memilih apa sahaja lauk yang mereka inginkan.

Program makanan percuma di USM ini dijalankan atas inisiatif Kelab Kebajikan Kakitangan INFORMM, Pusat Islam dan Jabatan Hal Ehwal pelajar. Terbaharu, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sebagai universiti yang berteraskan pendidikan keusahawanan menerajui perniagaan sosial dengan menubuhkan Pusat Keusahawanan Sosial pertama di Malaysia.

UMK turut melancarkan Dana Keusahawanan Sosial (DKS) berjumlah RM2.6 juta bagi memperkukuhkan bantuan kewangan, dengan menjadikannya pelaburan dalam bentuk kredit mikro, bagi syarikat-syarikat permulaan (start-up companies) Universiti Awam.

Ketika pelancaran DKS tersebut, salah seorang sahabat saya, saudara Hafiz Hiew, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Tunas Duta Cemerlang Sdn Bhd (TDC) yang merupakan alumni UMK, telah dipilih sebagai usahawan contoh untuk perniagaan sosial oleh UMK.

Selain zakat yang dibayar kepada Maik, TDC turut memperuntukkan 10 peratus daripada hasil syarikat untuk kebajikan melalui Koperasi Macma Kelantan Berhad.

Kesejahteraan sosial masyarakat sering dianggap sebagai tanggungjawab kerajaan dan juga NGO yang berkenaan. Sebenarnya, penyelesaian sosial masyarakat juga dapat dicapai dengan penyertaan lebih banyak pihak dalam konsep perniagaan sosial, iaitu perniagaan yang tidak bermatlamatkan keuntungan semata-mata.

Semoga lebih banyak syarikat serta pertubuhan di Malaysia mengamalkan konsep perniagaan sosial ini agar dapat sama-sama menyelesaikan masalah-masalah sosial yang wujud dalam masyarakat.

* Penulis Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

Posted in Sinar Harian

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments