Transformasi KPDNKK

http://www.malaysiandigest.com/bahasa-malaysia/610143-transformasi-kpdnkk.html

Apabila YB Datuk Seri Hamzah Zainuddin diberitakan akan mengambil alih Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), menggantikan YB Datuk Seri Haji Hasan Malek, pada 29 Julai 2016, ramai yang meramalkan beliau tidak jauh berbeza dengan pendahulunya.

YB Hasan Malek sebelum ini terkenal dengan beberapa kenyataan beliau yang telah menjadi viral seperti; kalau harga ayam naik, jangan makan ayam; atau kenyataannya bahawa tujuan harga gula dan tepung dinaikkan adalah demi kesejahteraan hidup rakyat. Beliau juga telah menaikkan kemarahan rakyat apabila mengatakan kenaikan tarif elektrik sebanyak 15 peratus tidak memberi apa-apa kesan.

Sememangnya kata-kata sedemikian dari seorang menteri akan membuatkan rakyat berang dan secara langsung mencetuskan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan. Kenyataan-kenyataan sedemikian menggambarkan sikap tidak endah dan tidak bertanggungjawab pihak yang sepatutnya menjaga kepentingan dan membantu rakyat, di samping menyumbang kepada pemantapan ekonomi negara.

Maka, dengan persepsi orang ramai yang menganggap penggantinya akan meneruskan “sikap” atau trend yang sama, sudah pasti tekanan sangat tinggi ke atas YB Hamzah.

Seperti yang tertera pada laman web rasmi kementerian tersebut, KPDNKK sedang mengorak langkah ke arah menjadi Kementerian premier negara sebagai ‘Caring Ministry’. Ia dipandu oleh visinya iaitu ‘Perdagangan Domestik Tunjang Ekonomi Berpendapatan Tinggi’.

Manakala misi kementerian pula adalah untuk:
i. Menggerakkan sektor domestik utama yang berdaya saing, progresif dan mampan;
ii. Ekonomi domestik berasaskan persaingan adil dan inovatif; dan
iii. Membangunkan ekosistem perdagangan berasaskan etika dan kepentingan pengguna.

Sebaik sahaja mengambil alih KPDNKK, fokus utama YB Hamzah adalah untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia dengan menangani kos sara hidup dan harga barang yang meningkat.

Antara langkah segera yang dilakukannya adalah dengan melakukan perjumpaan-perjumpaan dengan persatuan peniaga, badan bukan kerajaan (NGO), dan pengguna. Beliau ingin mendengar sendiri sebarang keluhan daripada wakil-wakil pengguna serta pandangan NGO dan peniaga mengenai harga barang dan kos sara hidup.

Menurut beliau, pandangan dan cadangan pihak-pihak berkepentingan sedemikian diperlukan agar dapat dikemukakan dalam mesyuarat jawatankuasa peringkat tertinggi mengenai isu kos sara hidup yang mana ianya dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Cabaran terbesar yang perlu ditangani oleh warga KPDNKK ialah persepsi negatif masyarakat terutama di media sosial,” katanya, sambil menambah KPDNKK berazam menjadi johan dalam menangani masalah rakyat berhubung isu kepenggunaan.

Baru-baru ini, pada 16 April 2016, YB Hamzah telah membuat lawatan kerja ke Kelantan dan pekan Sungai Golok yang bersempadan dengan Rantau Panjang, Kelantan. Pekan Sungai Golok yang terletak di Wilayah Narathiwat, merupakan pekan yang paling selatan di Thailand. Tujuan utama lawatannya adalah untuk melihat dan menilai sendiri kos barangan dan perkhidmatan di pekan negara jiran itu dengan tujuan untuk membandingkan harga barangan, terutamanya barang-barang asas untuk pembinaan seperti besi, kayu, simen, pasir dan batu-bata.

Penulis merasa tertarik dengan cara dan pemikiran kritis YB Hamzah serta kesungguhannya berusaha menurunkan kos sara hidup rakyat Malaysia dengan mengadakan perjumpaan-perjumpaan penting. Bukan setakat itu, beliau turun padang untuk membuat penilaian dan membandingkan sendiri harga barangan mentah dan barang-barang harian.

Menurut beliau, jika harga barang pembinaan dapat diturunkan, ini akan menyumbang kepada penurunan kos membina rumah seterusnya menurunkan harga rumah. Selanjutnya, pinjaman perumahan juga dapat dikurangkan dan rakyat akan mempunyai pendapatan boleh guna yang lebih tinggi setiap bulan. Fokus beliau adalah untuk memperketatkan kawalan kerajaan ke atas harga-harga rumah yang diletakkan oleh para pemaju memandangkan harga hartanah di Malaysia sekarang sudah terlalu tinggi.

Ketika lawatan di pekan Sungai Golok, YB Hamzah turut melawat pasar basah serta kedai-kedai runcit. Beliau mendapati di sana barangan keperluan harian seperti sabun, sos, susu dan sebagainya, dibungkus di dalam paket atau pek yang lebih kecil berbanding di Malaysia. Dengan cara itu, barangan dapat dijual dengan harga yang lebih murah.

Beliau bercadang untuk berbincang dengan para pengeluar dan pengilang barangan runcit di Malaysia agar dapat mengambil langkah yang sama dengan mengeluarkan barangan dalam kuantiti atau pek yang lebih kecil agar dapat dijual pada harga yang lebih mampu milik bagi semua lapisan masyarakat.

Dalam salah satu perbualan dengan YB Hamzah semasa makan malam bersama beliau, beliau turut menyentuh laporan Bernama pada 17 September 2014 mengenai pembaziran makanan yang melampau di Malaysia. Katanya, menurut laporan tersebut, rakyat Malaysia membuang makanan sehingga 8,000 tan atau 8 juta kilogram sehari dan jumlah itu mampu menampung bekalan makanan untuk 6 juta orang. Beliau membangkitkan isu ini kerana di masa rakyat mengeluh tentang kos sara hidup, pembaziran seharian di negara kita amatlah tinggi. Tidak menafikan peranan kerajaan, beliau juga menekankan sikap suka membazir dikalangan rakyat harus dikekang.

Dalam laporan tersebut juga, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA), Datuk Ab Rahim Md Noor, menjelaskan kos pengurusan sisa pepejal termasuk makanan yang dibuang itu mencecah berbilion ringgit dan peratusan komposisi sisa makanan adalah yang tertinggi iaitu sebanyak 45 peratus. Ia juga didapati meningkat sebanyak 15 hingga 20 peratus pada musim-musim perayaan.

Bayangkan sekiranya pembaziran itu tidak berlaku, bukan sahaja negara dapat mengatasi masalah kemiskinan serta kebuluran yang dialami segelintir ahli masyarakat, malah wang sebanyak itu yang terpaksa dihabiskan untuk menguruskan sisa pepejal boleh disalurkan ke arah yang lebih produktif untuk menjana ekonomi negara.

Apa yang penulis suka mengenai menteri ini ialah beliau sangat proaktif dan mempunyai pemikiran yang kritikal. Beliau boleh meneliti dan mengupas sesuatu masalah, memikirkan dan seterusnya memberi penyelesaian terbaik. Beliau melihat sesuatu perkara dari semua aspek dan benar-benar komited untuk memperbaiki taraf hidup rakyat. Baginya, penurunan kos sara hidup adalah sesuatu yang sangat penting dan ini perlu dilakukan dengan cara mengawal harga barangan yang kian meningkat saban hari.

Barangkali latar belakang beliau sebagai seorang ahli perniagaan yang berjaya banyak membantu. Ini semestinya bukan sahaja amat baik bagi kementerian yang beliau terajui kini malah penting untuk memperbaiki serta membuktikan kepada seluruh rakyat akan keberkesanan KPDNKK dalam melaksanakan fungsi-fungsinya.

Bagi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang telah membuat kunjungan hormat ke pejabatnya pada 4 November 2015, mereka juga berharap aspirasi serta kepimpinan yang dimiliki oleh YB Hamzah dapat memacu pengguna ke arah menjadi pengguna yang lebih bijak dan agar KPDNKK menjadi wadah kerajaan ke arah memperkasakan hak-hak pengguna.

Tempoh singkat 2 hari dengan jadual kerja yang padat bersama YB Hamzah telah menambahkan rasa hormat penulis terhadap beliau. Yang jelas, beliau tahu apa yang beliau lakukan. Penulis yakin dengan sokongan padu warga kerja, KPDNKK di bawah kepimpinannya berupaya untuk menjadi lebih efektif dalam menangani isu-isu penting yang berkaitan dengan kementerian tersebut, selaras dengan moto kementerian, “Perdagangan Sihat Pengguna Berkat”.

Johari Yap,
Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Cawangan Kelantan

Posted in Malaysian Digest

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments