Tok Moh dan timun cina

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/johari-yap/tok-moh-dan-timun-cina-1.503031

BAGI mereka yang pertama kali berkunjung ke Kelantan, pasti sedikit keliru kerana terdapat buah-buahan yang dipanggil dengan nama berbeza di sini. Sebagai contoh, rambutan dipanggil “mokte”, manggis dipanggil “buoh setor”, ciku dipanggil “sawo nilo”, kelapa dipanggil “nyor”, mangga dipanggil “pauh”, manakala tembikai pula dipanggil “timun cina”. Di sesetengah tempat di luar Kelantan, ia juga dikenali sebagai semangka.

Buah timun cina biasanya berwarna merah dan kuning. Kandungan airnya yang banyak menyebabkan ia sangat digemari terutamanya sebagai penghilang dahaga, lebih-lebih lagi jika baru dikeluarkan dari peti sejuk. Rasanya juga sangat manis jika ditanam ketika musim panas jika dibandingkan ketika musim hujan atau tengkujuh.

Timun cina sangat kaya dengan vitamin A dan C. Selain itu, ia juga mengandungi asid folik, magnesium, zink dan pelbagai garam galian yang bermutu tinggi dan amat baik untuk kesihatan tubuh badan. Harganya dalam lingkungan RM1 hingga RM5 sekilo.

Setelah sekian lama menyepi, Raja Bomoh Sedunia muncul lagi; kali ini bersama beberapa pengikutnya berserta timun cina, kononnya untuk menyelesaikan masalah cuaca panas yang sedang melanda negara kini. Dalam rakaman video “upacara perbomohan” yang telah tersebar itu, Tok Moh menggunakan lima biji timun cina.

Dia dilihat memulakan ritual dengan membaca bismillah diikuti beberapa potong ayat daripada Surah Yasin dan membaca doa. Pada akhir video tersebut, Tok Moh yang berpakaian kot dan tali leher bersama empat pengikutnya, mengangkat timun cina dan menghempaskan buah tersebut sambil melaungkan “Allahuakbar”. Seorang daripada pengikutnya lengkap berjubah dan berkopiah.

Menurut Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin, ritual bomoh tersebut memberi tafsiran serong terhadap penganut agama Islam. Beliau berharap agar masyarakat bukan Islam yang melihat video tersebut tidak mengaitkan perbuatan itu dengan Islam. Menurutnya, tahyul seperti itu tidak pernah diiktiraf oleh Islam. Apatah lagi ayat-ayat al-Quran yang dibaca tidak betul sebutannya.

Sebelum ini, bomoh tersebut pernah menjadi viral di media sosial apabila membuat ritual mencari pesawat MH370 yang hilang menggunakan teropong dan buah kelapa di pekarangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Aksi tersebut telah menyebabkan Malaysia ditertawakan oleh negara luar.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, telah mengeluarkan surat pekeliling bertarikh 11 September 2015, mewartakan fatwa dari Jabatan Mufti Perak, iaitu pengharaman upacara perbomohan Ibrahim Mat Zin (Raja Bomoh). Sungguh menghairankan kenapa masih ada yang mengikutnya bila mana perbuatan tersebut jelas satu pembaziran yang sia-sia.

Penulis teringat pengalaman sewaktu kecil dahulu, di mana penulis bersama rakan-rakan Melayu, menangguk ikan karin untuk dilagakan semasa cuti sekolah. Ia biasanya dilakukan di kawasan sawah atau tasik. Kami akan mencari buih-buih kecil kerana itu antara tanda terdapatnya ikan karin di situ.

Apabila terasa ingin kencing, kami akan mencari semak yang berdekatan untuk melepaskan hajat tersebut. Sebelum melaksanakan hajat, kami akan meminta izin dahulu, biasanya dengan lafaz “Tok nenek, cucu nak tumpang kencing”. Jika tidak minta izin, kononnya kemaluan akan bengkak atau akan dirasuk dan sebagainya.

Kami juga menggunakan lafaz tersebut ketika ingin membuang air kecil di tempat yang tiada tandas dan terpencil seperti hutan. Ketika itu, kami tidak tahu bahawa ucapan seperti itu membawa maksud Isti’azah (memohon perlindungan) dengan makhluk halus atau jin seolah-olah kita takut dan mengharap kepada selain daripada ALLAH dan ini salah dari segi akidah.

Firman ALLAH yang bermaksud, “Dan adalah lelaki-lelaki daripada manusia berlindung dengan lelaki-lelaki daripada Jin lalu mereka menambahkan kepada jin ini dalam syirik” – Surah al-Jinn: 6.

Seelok-eloknya kita memohon perlindungan daripada ALLAH SWT atau berdoa yang bermaksud, “Aku berlindung dengan kalimat-kalimat ALLAH yang sempurna daripada kejahatan apa yang Dia ciptakan” – Riwayat Muslim.

Semoga diampuni segala kesilapan dan kejahilan kita dan semoga kepercayaan terhadap benda-benda khurafat dan tahyul ini dapat dihapuskan. Islam mengajar umatnya agar beriman dengan menggunakan pemikiran yang rasional dan benar, menggunakan dalil aqli dan naqli.

*Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

Posted in Sinar Harian

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments