Terapi berkuda di YOKUK

http://malaysiandigest.com/bahasa-malaysia/671128-terapi-berkuda-di-yokuk.html

Berkuda amat baik untuk kesihatan manusia kerana ia bermanfaat untuk seluruh anggota badan dari kepala hingga ke kaki. Aktiviti menunggang kuda mampu merangsang dan menguatkan otot, terutama di bahagian paling dalam seperti otot pelvik dan tulang belakang. Ini kerana semasa galloping atau bergalop, iaitu pergerakan kuda melompat dan berlari, tulang belakang kita bergesel antara satu sama lain dalam keadaan harmoni dan ini merangsang saraf-saraf tulang belakang, seolah-olah diurut.

Rasulullah SAW juga telah bersabda, “Lemparkanlah (panah) dan tunggangilah (kuda).” (Riwayat Muslim)

Terapi berkuda adalah salah satu bentuk terapi yang melibatkan penggunaan kuda dalam rawatan pemulihan dan ia dilaksanakan oleh petugas yang terlatih dalam bidang pengurusan dan latihan berkuda. Lanjutan daripada manfaatnya atas otot dan tulang belakang, terapi berkuda membantu meningkatkan keseimbangan badan, mengurangkan kekejangan otot, meningkatkan tumpuan, keyakinan diri, dan lain-lain. Ia sesuai untuk mereka yang telah diserang strok dan juga mereka yang menghidap palsi serebrum (cerebral palsy); sindrom Down; ADHD (Attention Deficit and Hyperactivity Disorder), sejenis gangguan psikologi; masalah pembelajaran, dan sebagainya.

Mungkin ramai yang belum menyedari bahawa terapi berkuda atau hippotherapy boleh menjadi terapi yang amat berkesan. Ia telah terbukti mampu meningkatkan kemampuan fizikal golongan orang kelainan upaya (OKU). Terapi berkuda melatih OKU mengawal postur, reaksi dan koordinasi mereka. Ini seterusnya memberikan manfaat ke atas psikologi, pertuturan dan bahasa mereka. OKU yang duduk di atas pelana, secara semula jadi akan belajar dan bertindak balas terhadap setiap pergerakan kuda itu mengikut gerakan irama hasil pergerakan kuda.

Kalaupun ramai yang mengetahui kebaikan berkuda untuk kesihatan, masih ada persepsi bahawa aktiviti berkuda sesuai bagi golongan mewah atau kelas atasan sahaja. Ini kerana ia melibatkan kos yang agak tinggi. Harga seekor kuda boleh mencecah ribuan ringgit, apatah lagi untuk menjaga dan memeliharanya. Sekiranya hendak menunggang kuda di mana-mana ladang kuda atau pusat riadah atau program tertentu pun biasanya memerlukan bayaran dan masa juga terhad.

Sebab itulah golongan OKU di Kelantan sangat beruntung kerana Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK) yang bertempat di Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa, memberikan perkhidmatan terapi berkuda secara percuma kepada semua kliennya, iaitu mereka yang berdaftar dengan YOKUK.

YOKUK yang dipengerusikan oleh Datin Suliana Shamsuddin Alias yang juga merupakan Pengarah Eksekutifnya, merupakan sebuah badan amal yang menawarkan perkhidmatan kepada golongan OKU di Kelantan dengan objektif untuk membantu dalam meningkatkan kualiti kehidupan mereka. YOKUK menawarkan empat perkhidmatan utama iaitu bantuan pemulihan, bantuan pendidikan, bantuan penjagaan paliatif, dan bantuan kebajikan. Terapi berkuda merupakan satu daripada pelbagai perkhidmatan yang diberikan dan semuanya adalah percuma. Sehingga kini, terdapat lebih 4,000 klien yang berdaftar dengan YOKUK dan mendapat manfaat daripada pelbagai jenis perkhidmatan percuma yang disediakan.

Sebelum dibenarkan untuk menjalani terapi berkuda, juruterapi di YOKUK akan membuat penilaian ke atas klien sama ada boleh atau sesuai untuk menjalani terapi berkuda atau tidak.

Terapi berkuda biasanya dikendalikan oleh juruterapi terlatih dengan menggunakan antara 3 ekor kuda yang juga terlatih. Tiga orang juruterapi diperlukan untuk mengendalikan setiap sesi terapi dan setiap sesi memakan masa antara 15-30 minit, termasuk aktiviti di atas kuda.

Antara yang mendapatkan khidmat terapi berkuda di YOKUK ialah Nurul Nabila Syuhada binti Zulkiflie yang berumur 15 tahun dari Kampung Sering, Kota Bharu. Dia yang dilahirkan dengan penyakit palsi serebrum telah berdaftar dengan YOKUK sejak berumur 2 tahun lagi tetapi hanya mula menjalani terapi secara aktif di YOKUK ketika berumur 6 tahun. Dia memulakan terapi berkuda ketika berumur 8 tahun dan meneruskannya hingga sekarang. Ketika sesi terapi berkuda yang pertama, Nabila tidak mampu duduk sendiri mahupun mengangkat kepalanya. Selepas 2 tahun menjalani terapi berkuda, dia sudah mampu duduk bersandar serta mengimbangi badannya.

Terapi berkuda telah menguatkan ototnya dan membolehkannya untuk menegakkan badan dan berjalan. Sudah tentu, jangka masa dia boleh menegakkan badannya dan berjalan akan bertambah dengan lebih banyak terapi, selari dengan peningkatan kekuatan otot-ototnya. Nabila juga telah menunjukkan keyakinan yang lebih tinggi. Terapi berkuda mendorong OKU seperti Nabila berinteraksi dengan persekitaran dan orang di sekeliling mereka.

Ketika berumur 14 tahun, Nabila mula bersekolah di Sekolah Kebangsaan Raja Bahar. Oleh kerana dia mempunyai kesukaran untuk berjalan dan bergerak, YOKUK telah menghadiahkan kerusi roda elektronik untuk kegunaannya di sekolah. Kini Nabila mampu ke bilik darjah dan kantin sendiri.

Adik Iman Nasuha binti Mohd Ikhram yang dilahirkan pada 2011 pula dikesan mempunyai kondisi mikrosefali (keadaan saiz kepala yang kecil dan biasanya melibatkan kerencatan mental) dan palsi serebrum ketika berumur 5 bulan. Dia telah berdaftar dengan YOKUK ketika berumur 2 tahun dan mula menjalani terapi berkuda dan terapi sensori secara aktif sejak awal tahun 2015, ketika berumur 4 tahun.

Pada permulaan terapi berkuda, adik Iman Nasuha hanya mampu duduk bersandar selama 30 minit, serta berdiri dengan bantuan selama 10 minit sahaja. Pada hujung tahun 2015, dia sudah mampu duduk tanpa bersandar selama 1 jam, serta berdiri dengan bantuan selama 30 minit.

Begitu juga adik Muhamad Najmi Rifqi bin Hanapi dan Muhammad Khairul Asyraf bin Muhammad yang masing-masingnya berusia 8 dan 6 tahun. Kedua-duanya menghidap palsi serebrum akibat kekurangan oksigen semasa proses kelahiran, satu keadaan yang dikenali sebagai birth asphyxia. Ia juga dipanggil perinatal asphyxia atau neonatal asphyxia. Keadaan ini menyebabkan kerosakan pada organ-organ penting termasuk otak. Bergantung pada tahap kerosakan, ini seterusnya memberi kesan ke atas kesihatan mental, perkembangan dan kemampuan fizikal dan juga intelek.

Kedua-dua adik Najmi dan Khairul juga menjalani terapi berkuda di YOKUK dan menunjukkan perkembangan yang positif daripada segi emosi, kebolehan berinteraksi serta kemampuan fizikal.

Terapi berkuda merupakan salah satu terapi fisio yang amat sesuai untuk kanak-kanak OKU, terutamanya yang menghidap palsi serebrum kerana struktur tulang belakang mereka tidak sempurna seperti kanak-kanak normal.

Selain terapi berkuda, pelbagai perkhidmatan disediakan oleh YOKUK; antaranya, terapi cara kerja dan fisioterapi, terapi sensori, terapi air, dan terapi pasir. Semua perkhidmatan terapi yang dikendalikan oleh juruterapi dan pembantu terapi ini diberikan secara percuma kepada klien YOKUK yang dikenal pasti, hasil tajaan beberapa syarikat korporat. Semoga lebih banyak syarikat swasta dan korporat dapat turut serta menaja pelbagai terapi di YOKUK ini agar ia terus dapat dimanfaatkan oleh golongan OKU yang memerlukan. Dan, semoga lebih banyak juga agensi atau institusi lain yang berkaitan dapat mencontohi inisiatif seperti yang dijalankan di YOKUK ini.

Untuk keterangan lanjut mengenai terapi berkuda dan terapi lain yang disediakan di YOKUK, atau sekiranya ada yang ingin memberikan sumbangan wang tunai atau tenaga, bolehlah menghubungi YOKUK di talian 09-7743033 atau 09-7742033.

 

Johari Yap,
Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Cawangan Kelan

Posted in Malaysian Digest

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments