Tarian singa pada majlis Aidilfitri

http://www.sinarharian.com.my/mobile/kolumnis/johari-yap/tarian-singa-pada-majlis-aidilfitri-1.700231

PALUAN gendang Cina berkumandang di udara, dengan tarian ‘dua ekor singa’, satu berwarna hijau dan satu berwarna merah, menyambut kedatangan tetamu kehormat dan mengiringi mereka ke khemah yang disediakan sempena Majlis Aidilfitri. Anak-anak muda Cina itu kemudiannya menunjukkan kelincahan dan kehebatan akrobatik mereka dalam persembahan tarian singa.

Meja makan pula dihiasi ketupat chang yang dibalut  daun buluh dan diletakkan bersebelahan tapai ubi berbalut daun getah. Juga terhidang, ‘kolo mee’ dan laksa Thai. Sambutan Aidilfitri kali ini diserikan dengan pelbagai jenis masakan daripada pelbagai kaum dan bangsa.

Syabas kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik), yang dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandaraya Islam (MPKB-BRI), dan Malaysian Chinese Muslim Association (Macma) cawangan Kelantan, memberikan wajah baru kepada sambutan Aidilfitri kali ini. Majlis tersebut telah diadakan di sebelah bangunan Jameiah Al-Asriah, Jalan Tengku Petra Semerak, Kota Bharu.

Sambutan majlis Aidilfitri sebegini, yang diadakan di tengah-tengah jalan di bandar Kota Bharu, antara kedai-kedai masyarakat Cina, telah dimulakan sejak tahun 2011 lagi. Ia diadakan setiap 10 Syawal, tanpa mengira hari apa dalam kalendar Masihi dan tahun ini merupakan tahun yang ketujuh.

Lebih menarik lagi, majlis ini juga diserikan dengan 9 jenis gerai pelbagai kaum, yang seratus peratus dikendalikan oleh mereka yang  baru memeluk agama Islam. Selain ketupat chang dan ‘kolo mee’, gerai Cina turut menyediakan kuih angku (kura-kura merah) dan pau kacang.

Gerai India yang menyediakan capati dan cendol istimewa turut menjadi kegemaran para hadirin, begitu juga gerai Thai yang menyediakan laksa Thai dan kerabu kaki ayam; gerai Burma dengan mi kuah kering; gerai Kemboja dengan sup makaroni; gerai Filipina dengan salad buah dan halo-halo (sejenis minuman seperti ais kacang); gerai Sarawak dengan laksa Sarawak; dan gerai tempatan dengan makanan dan kuih tradisi Melayu.

Mungkin ada yang bertanya atau mempersoalkan keperluan tarian singa. Juga, kenapa gendang Cina dan bukannya kompang yang sinonim dengan budaya Melayu? Adakah ini percubaan untuk ‘menCinakan’ Islam seperti yang juga disuarakan oleh salah seorang sahabat Cina Muslim saya?

Sebenarnya, ini adalah usaha berterusan untuk memberi pengetahuan kepada masyarakat Cina bukan Islam bahawa budaya Cina tidak bertentangan dengan Islam. Memeluk agama Islam tidak perlu menjadi Melayu dan tidak salah untuk mengekalkan kecinaan sambil meraikan budaya Melayu yang terkenal dengan sopan santun dan budi bahasa.

Dalam bahasa Mandarin, perayaan Aidilfitri dikenali sebagai ‘Malai Nian’ yang bermaksud ‘Tahun Baharu Melayu’ (sinonim dengan Tahun Baru Cina) sedangkan ianya disambut oleh seluruh umat Islam tidak kira bangsa, hatta di negara China dan benua Eropah. Begitu juga dalam dialek Hokkien (Huana Cia), Hakka (Malai Nyen) mahupun Kantonis (Malai Nin).

Sambutan Aidilfitri dan Aidiladha adalah perayaan seluruh umat Islam, tidak kira bangsa dan kewarganegaraan. Ia sama seperti sambutan Tahun Baharu Cina yang disambut oleh semua masyarakat Cina di seluruh dunia tanpa mengira agama kerana ia adalah sambutan budaya, bukan sambutan keagamaan.

Maka, persepsi bahawa perayaan Aidilfitri adalah perayaan Melayu harus diubah oleh masyarakat Cina dan kaum-kaum lain di Malaysia. Begitu juga masyarakat umum perlu faham bahawa sambutan Tahun Baharu Cina tiada kaitan dengan agama Buddha, Tao mahupun Confucius.

Singa berwarna hijau dan merah adalah simbolik kepada Islam dan Cina yang boleh digandingkan kerana Islam itu universal, sesuai untuk semua kaum dan bangsa termasuk Cina. Manakala tarian singa di Aidilfitri itu sendiri menunjukkan betapa Islam tidak membuang adat dan tradisi sesuatu kaum selagi ia tidak bercanggah dengan syariat.

Sesungguhnya, Islam adalah agama fitrah yang sesuai untuk semua bangsa dan seluruh lapisan masyarakat di dunia ini. Islam sesuai untuk orang kaya juga orang miskin, kulit putih atau hitam, mata sepet mahupun bulat, kerana agama Islam diturunkan untuk semua umat manusia. Ia sangat toleran terhadap kebudayaan, tradisi dan adat istiadat yang baik dan tidak bercanggah dengan syariat. Islam adalah untuk semua.

*Johari Yap, Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

Posted in Sinar Harian

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments