Rasuah Pemusnah Dunia Dan Akhirat

http://malaysiandigest.com/bahasa-malaysia/600531-rasuah-pemusnah-dunia-dan-akhirat.html

Pada ucaptama Majlis Anugerah Bisnes Utusan 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur minggu lepas, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah supaya salah laku rasuah di negara ini dilaporkan tanpa gentar dan pilih kasih. Kegagalan memerangi dan membanteras rasuah secara serius serta komited, berpotensi melumpuhkan negara dan rakyat secara keseluruhannya.

“Rasuah merupakan barah yang dikatakan sedang merebak dalam negara, rasuah bagaikan anai-anai yang sedang membusut besar dan semakin mereputkan tonggak-tonggak utama negara. Salah laku rasuah hendaklah dilaporkan tanpa memihak, tanpa gentar, tanpa berat sebelah kerana rasuah ialah rasuah walau siapa yang melakukannya,” titah baginda.

Baginda bertitah agar rakyat Malaysia diasuh dengan budaya membenci rasuah dan menolak pemimpin yang melakukannya, serta dididik untuk memandang rasuah sebagai budaya yang jijik dan negatif.

Baginda bertitah sedemikian memandangkan Indeks Persepsi Rasuah 2015 oleh Transparency International meletakkan Malaysia di kedudukan ke-54 dari 168 negara. Kedudukan ini semakin teruk jika dibandingkan tangga ke-50 dari 175 negara pada tahun 2014.

Sultan Nazrin begitu mengambil berat masalah rasuah yang melanda Malaysia dan pernah bertitah mengenainya pada Oktober 2014 sempena ulangtahun penubuhan Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang ke-47. BPR kini dikenali dengan nama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Titah baginda, rasuah adalah perbuatan pecah amanah. Dosa pertama yang dilakukan oleh manusia adalah kesalahan melanggar amanah, yang dikisahkan dalam ayat 115 Surah Taha yang bermaksud,

“Dan sesungguhnya telah Kami perintahkan kepada Adam dahulu, maka ia lupa (akan perintah itu), dan tidak Kami dapati padanya kemahuan yang kuat.”

“Dan Kami berfirman: Hai Adam, diamilah oleh kamu dan isterimu syurga ini, dan makanlah makanan-makanannya yang banyak lagi baik di mana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu dekati pohon ini, yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim.” Surah Al-Baqarah ayat 35.

Firman Allah SWT pada ayat 27-28 surah al-Anfaal yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya). Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.”

Rasuah ditakrifkan sebagai perbuatan salah guna kuasa untuk memperkayakan atau memberi kelebihan kepada individu, anggota keluarga dan kenalan rapat ketika seseorang itu memegang amanah sebagai pentadbir atau memegang kuasa. Rasuah berlaku di mana-mana sahaja, baik di sektor awam atau swasta, mahupun di institusi antarabangsa, institusi agama serta badan sukarela dan sukan. Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon, pada September 2007, menyatakan, “Corruption undermines democracy and the rule of law. It leads to violations of human rights. It erodes public trust in government. It can kill.”

Banyak negara di dunia ini yang dianugerahi pelbagai sumber bumi dan laut tetapi kerana rasuah, negara terbabit bukan sahaja tidak kaya malahan terbenam dalam kemunduran. Apabila tiada kesungguhan untuk melawan rasuah, perbuatan ini akan merebak dan diterima sebagai norma dan akhirnya menjadi satu budaya hingga memusnahkan sesebuah negara.

Di China, Dinasti Qing pada tahun 220 SM lagi telah mengenakan hukuman yang berat ke atas mereka yang terbabit dengan rasuah. Kini, mengikut undang-undang China, pesalah rasuah dalam kes melebihi 100,000 yuan (RM63,153) akan dikenakan hukuman mati dan boleh diringankan menjadi penjara seumur hidup.

Pada tahun 2013, agensi berita Xinhua melaporkan bekas Menteri Kereta Api China, Liu Zhijun, telah dijatuhi hukuman mati yang ditangguhkan kerana didapati bersalah menerima rasuah dan menyalahgunakan kuasa oleh sebuah mahkamah di Beijing. Dia didakwa dan didapati bersalah menerima rasuah sebanyak 64.6 juta yuan (RM40.8 juta) untuk membantu 11 orang mendapatkan tender dan kenaikan pangkat, menyalahgunakan kuasa, menyebabkan kerugian besar kepada aset awam, serta mencabul hak dan kepentingan negara dan rakyat.

Manakala Zheng Xiaoyu, bekas Ketua Industri Makanan dan Ubat China, telah dijatuhkan hukuman mati oleh sebuah mahkamah di Beijing kerana rasuah dan mengabaikan tugas. Beliau telah ditembak mati pada 10 Julai 2007. Zheng yang berumur 62 tahun merupakan pengarah pertama Jabatan Pentadbiran Negeri dan Ubat (SFDA) pada tahun 1998 sehingga dia diberhentikan pada Jun 2005. Beliau disiasat dan dipecat dari Parti Komunis dan dibicarakan kerana didakwa mengambil rasuah melebihi 6.5 juta yuan (RM 4.11 juta) serta mengabaikan tanggungjawabnya terhadap tugas.

Tahun lepas, pihak berkuasa China telah membuat lawatan ke penjara sebagai langkah pencegahan kegiatan rasuah di kalangan penjawat awam, menurut laporan akhbar China Daily. Lebih 70 pegawai dan pasangan mereka di wilayah Hubei, tengah China, telah meluangkan masa sehari di penjara dan mereka menemui banduan, termasuk 15 bekas pegawai kerajaan, yang sedang menjalani hukuman penjara. China berikrar untuk membanteras rasuah; beberapa bekas pegawai kanan kerajaan turut disiasat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Malaysia juga telah menunjukkan kesungguhan dalam memerangi gejala rasuah. Rang undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008 telah diluluskan ketika pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang mahu melihat perubahan dalam sistem penyampaian kerajaan. Sebagai rakyat, ini merupakan berita baik ketika gejala rasuah dan penyelewengan merebak dalam masyarakat sehingga menjejaskan imej kerajaan dan membantutkan pembangunan negara.

Inisiatif pemantauan ini sebenarnya berlaku secara berperingkat. Bermula dengan penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) yang bertujuan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap keupayaan pentadbiran dan tadbir urus negara, diikuti SPRM, seterusnya Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan Program Perlindungan Saksi. Adalah diharapkan SPRM yang mengambil pendekatan Pentadbiran Hong Kong dalam mencegah rasuah selama 30 tahun, mampu mengawal masalah rasuah di negara ini.

SPRM juga telah ke hadapan dengan memaparkan statistik tangkapan dan data pesalah rasuah dalam laman web rasmi mereka. Bukan itu sahaja, nama dan gambar pesalah juga terpapar dalam portal rasmi suruhanjaya itu. Ia bertujuan memberikan pengajaran kepada pesalah dan antara langkah pencegahan serta pendidikan kepada masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan yang sama.

Menurut Pengarah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Rasuah, Datuk Hisham Nordin, tindakan memaparkan nama dan gambar pesalah rasuah tidak menyalahi undang-undang kerana segala maklumat diperolehi dari mahkamah. Majoriti negara maju juga menggunapakai kaedah yang sama sebagai langkah pencegahan. Menurut beliau, data pesalah rasuah ini akan kekal di portal SPRM selama 3 tahun. Usaha SPRM dalam memerangi rasuah ini patut kita puji dan dijadikan iktibar.

Menurut hukum Islam, individu yang mengetahui mengenai sesuatu kejadian rasuah wajib melaporkan kepada pihak berkuasa. Jika tidak, ia dikira bersubahat dan turut mendapat dosa kerana menyembunyikannya. Malangnya, ada kejadian yang disyaki rasuah, sukar dilaporkan kerana tidak mempunyai bukti bertulis, atau jika mempunyai bukti sekalipun, ia tergolong dalam kategori dokumen rahsia rasmi. Jika didedahkan, si pelapor pula akan ditangkap di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). Masalah ini perlu diselesaikan jika kita benar-benar serius dalam usaha membanteras rasuah.

Namun begitu, mungkin ada situasi, di mana seseorang individu bertujuan menjatuhkan mana-mana pihak, ataupun membuat fitnah, dengan menggunakan isu rasuah, berdasarkan khabar angin atau dokumen yang tidak sah.

Selain itu, persepsi masyarakat yang kurang yakin kepada pihak berkuasa juga harus ditukar. Ada di kalangan masyarakat yang bimbang bahawa pihak berkuasa juga akan dirasuah hingga akhirnya si pelapor pula yang dibuang kerja atau diambil tindakan. Lebih-lebih lagi jika individu yang terlibat rasuah itu mempunyai jawatan tinggi dan ada “kabel besar”.

Pihak berkuasa juga perlu berusaha meningkatkan serta mengembalikan keyakinan masyarakat. Keyakinan tidak boleh dipaksa-paksa malah hanya boleh wujud melalui kesungguhan pihak berkuasa sendiri dalam memerangi rasuah. Siasat mereka yang dilaporkan, bukannya siasat si pelapor dan bagaimana pelapor mendapat maklumat.

Prinsip keadilan dalam Islam tidak sama sekali memberikan keistimewaan kepada sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan baik diri sendiri, sahabat yang rapat, saudara mara mahupun ibu bapa. Ini dikukuhkan lagi dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud,

“Sesungguhnya telah binasa orang yang sebelum kamu iaitu sekiranya yang mencuri itu yang berpangkat tinggi, lalu mereka dibiarkan sahaja; tetapi jika yang mencuri itu mereka yang lemah, lalu dengan segera dijatuhkan hukuman ke atasnya. Demi Allah, yang aku di dalam kekuasaanNya, kalaulah Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya kukudungkan tangannya.”

Kehidupan dunia adalah ujian untuk manusia. Kuasa dan pangkat juga adalah ujian. Amanah dan tanggungjawab yang diterima adalah ujian. Memerangi rasuah adalah jihad bagi kita. Kita akan mati apabila sampai masanya. Firman Allah SWT dalam ayat 35, surah Al-Anbiyaa bermaksud,

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.”

Akhir kata, marilah kita sama-sama menghindarkan diri dari terlibat dengan rasuah. Hukum memberi atau menerima rasuah adalah haram dan merupakan dosa besar kerana pelakunya dilaknat oleh ALLAH SWT dan RasulNya. Dari Abdullah bin Amr dia berkata, “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.” (Riwayat Al-Tirmidzi)

Imam Al-Qurthubi berkata, “Barangsiapa mengambil harta orang lain bukan dengan cara yang dibenarkan syariat maka dia telah memakannya dengan cara yang batil. Di antara bentuk memakan dengan cara batil adalah seorang hakim yang memenangkan kamu sedangkan kamu tahu bahawa kamu salah. Sesuatu yang haram tidak berubah menjadi halal dengan keputusan hakim.” (Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran)

Renung-renungkanlah. Mudah-mudahan kita semua mendapat rahmat, taufik dan hidayah dari ALLAH SWT serta dijauhkan dari kemurkaan dan laknatnya.

Johari Yap
Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Cawangan Kelantan

Posted in Malaysian Digest

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments