Ragging: Penderaan atau hukuman?

http://www.malaysiandigest.com/bahasa-malaysia/681618-ragging-penderaan-atau-hukuman.html

Penderaan (ragging), atau perpeloncoan menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, bukanlah perkara baharu di negara kita. Boleh dikatakan semua pelajar, terutama yang bersekolah di sekolah berasrama penuh, tahu apa itu ragging. Ada juga yang menterjemahkan ragging sebagai “buli”.

Setiap tahun ada sahaja cerita pelajar di asrama kena buli atau ragging. Kebiasaannya, ia melibatkan kes pukul dan belasah pelajar junior oleh pelajar senior. Pembuli berasa puas apabila berjaya menyakiti mangsa secara lisan dan juga fizikal. Pembulian biasanya dilakukan sekadar untuk ?berseronok”. Dan, lebih seronok bila ramai yang turut serta membuli.

Tragedi ragging terbaharu yang mengakibatkan kematian seorang mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, telah membuka mata banyak pihak. Ramai yang menyalahkan UPNM dan Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) walaupun ia adalah kes terpencil yang tidak seharusnya dikaitkan dengan institusi ketenteraan tersebut. Masalah ragging berlaku di mana-mana, tidak hanya di sekolah atau institusi ketenteraan. Ia terjadi kerana ada golongan manusia yang tidak mengambil berat tentang nilai-nilai kemanusiaan dan pendidikan agama sehingga tergamak menyeksa rakan mahupun ahli keluarga sendiri sehingga mati.

Jika disingkap kembali sejarah, terdapat satu kes ragging yang melibatkan kematian seorang pelajar Sekolah Menengah Teknik (SMT) di Cheras, Kuala Lumpur. Kes ini berlaku pada 24 Mac 1988 yang melibatkan seorang pelajar lelaki tingkatan 5 dan beberapa bekas pelajar lelaki yang telah datang ke sekolah tersebut untuk mengambil keputusan SPM. Pelajar tingkatan 5 tersebut yang bernama Hishamuddin Majid telah dibelasah bekas pelajar terbabit di dalam tandas sekolah sekitar jam 11.30 pagi.

Selepas dibelasah, Hishamuddin meminta kebenaran daripada guru kelas untuk pulang ke asrama atas alasan tidak sihat tanpa melaporkan kejadian tersebut. Pada malamnya sekitar jam 7.30, beberapa pelajar melaporkan kepada warden asrama bahawa Hishamuddin sedang kesakitan dan beliau terus dibawa ke hospital oleh warden tersebut. Selepas dimasukkan ke wad kecemasan, doktor mengesahkan Hishamuddin meninggal dunia pada jam 8.50 malam. Hasil bedah siasat menunjukkan Hishamuddin mati akibat pecah limpa dan kehilangan banyak darah.

Dua bekas pelajar yang terlibat telah didakwa di Mahkamah Juvana dan kes tersebut berlarutan hingga awal 1990an. Mereka telah didakwa di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan (menyebabkan kematian tanpa niat) yang boleh membawa kepada hukuman penjara maksimum 20 tahun berserta denda sekiranya sabit kesalahan.

Perbicaraan kes tersebut telah membongkar beberapa perkara. Antaranya, mahkamah diberitahu bahawa wujudnya upacara tradisi pemberian nama gelaran oleh pelajar senior kepada pelajar junior yang terpilih. Hishamuddin telah diberi gelaran “Pell” dan harus menjalani ujian yang juga melibatkan penderaan fizikal yang menyakitkan. Seorang pelajar yang menjadi saksi dalam kes tersebut memberitahu mahkamah bahawa dia melihat salah seorang daripada bekas pelajar yang didakwa memukul Hishamuddin. Dia kemudiannya melihat seorang lagi bekas pelajar melakukan ?starlight’ pada dahi Hishamuddin. Selepas itu, dia keluar daripada tandas tanpa mengetahui kesudahan kepada ?ujian” itu.

Setahun selepas kejadian di SMT Cheras itu, akhbar New Straits Times bertarikh 13 Julai 1989 melaporkan satu lagi kejadian ragging yang disifatkan sebagai sangat kejam (barbaric) dan sadis. Kes melibatkan 6 pelajar lelaki tahun akhir di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) yang mendera 6 pelajar lelaki junior atau ?freshie’. Kejadian berlaku di rumah sewa pelajar senior yang terletak di Sri Serdang, kira-kira 2 km dari kampus UPM.

Antara penderaan yang dilakukan adalah menampar freshies, memaksa freshies menari dalam keadaan bogel, dan mengikat zakar setiap freshie dengan tali yang disambungkan ke kipas siling. Apabila kipas dihidupkan, mereka terpaksa berlari mengikut pusingan kipas.

Lembaga Disiplin UPM telah bersidang selama 5 jam pada 12 Julai 1989 setelah menerima aduan mengenai penderaan gila tersebut. 3 pelajar lelaki senior yang terbabit telah dibuang dari universiti, 2 lagi digantung pengajian selama 2 semester, manakala seorang lagi diberi teguran kerana menjadi pemerhati dalam kejadian dera tersebut.

Pada 24 Mei 2017, 10 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit, Perak yang terlibat dalam kes buli 6 pelajar tingkatan dua sekolah berkenaan telah dibuang sekolah selepas didapati bersalah. 6 pelajar yang dibuli telah dipukul oleh 10 pelajar senior terbabit kerana mereka enggan meminjamkan kasut bola. Mangsa kesemuanya berusia 14 tahun manakala pelajar senior berumur 15 dan 16 tahun.

Penulis sempat berbicara dengan Ahmad Zaki bin Muhammad, 57 tahun, bekas pegawai kanan TLDM, yang pernah menjalani latihan kadet laut selama setahun di Pengkalan Tentera Laut, Bah Soon Pah Road, Sembawang, Singapura. Beliau juga merupakan pelajar lepasan Maktab Tentera Diraja (MTD) tahun 1976.

Menurut Ahmad Zaki, dalam dunia ketenteraan, istilah ragging sebenarnya menjurus kepada hukuman, bukannya dera atau buli. Manakala hukuman pula dikenakan secara berkelompok (collective punishment). Jika salah seorang ahli pasukan membuat kesalahan, kesemua ahli pasukan tersebut akan dihukum. Hukuman pula lebih bersifat latihan fizikal di mana mereka akan disuruh melakukan tekan tubi sehingga lembik, merangkak, berguling dan sebagainya sebagai pengajaran, serta menguatkan lagi fizikal dan mental pelatih kadet.

Hukuman ini juga secara tidak langsung melatih mereka agar menjadi anggota tentera yang menurut perintah dan taat kepada ketua atau mereka yang lebih senior. Menurutnya lagi, kebiasaannya, kejadianragging berlaku kepada pelajar freshie atau pelajar tahun pertama. Ia biasanya dilakukan oleh pelajar senior tetapi tidaklah melampaui batas hingga melayangkan nyawa.

Dalam kes terbaharu di UPNM, mangsa sudah berada pada tahun ketiga manakala mereka yang mendera juga pada tahun yang sama. Maka, ini bukanlah ragging sebagaimana yang dimaksudkan dalam bidang ketenteraan. Mungkin ada perkara lain yang tidak diketahui kerana bukan satu kebiasaan rakan sepasukan dibuli. Mungkin kita akan mengetahui perkara sebenar apabila kes ini dibicarakan di mahkamah.

Begitu jugalah yang diceritakan oleh Chan Jun Shen, pegawai kanan TLDM yang kini berkhidmat sebagai Jurutera Udara bersama 502 Squadron AS555 SN Fennec Helicopter. Beliau berkongsi pengalaman suka duka selama lebih 10 tahun di Kem Sungai Besi dengan 5 tahun di MTD dan 5 tahun lagi di UPNM dalam tulisannya di http://opchan.blogspot.my/. Bagi Chan, adakah masyarakat luar lebih tahu mengenai kehidupan dan latihan ketenteraan berbanding mereka yang berada di dalam?

Beliau begitu sedih apabila UPNM ditohmah dengan pelbagai perkataan yang tidak sepatutnya diucapkan atau digunakan apatah lagi pada bulan Ramadan yang mulia ini. Lebih memeranjatkan dan menyedihkan lagi baginya, seorang bekas pensyarah menuduh kadet UPNM didera dengan pelbagai cara termasuk liwat dan seks oral. Jika ia benar-benar berlaku, kenapa beliau yang berada di sana lebih 10 tahun tidak tahu tentang perkara tersebut?

Memukul adalah satu kesalahan walaupun dalam latihan ketenteraan. Bagaimanapun, sekali sekala mungkin ada pelatih yang terkena juga tamparan atau penyepak oleh jurulatih, terutama jika jurulatih hilang kesabaran. Itupun sebagai pengajaran jika pelatih kadet melakukan kesilapan yang tidak boleh dilakukan contohnya, seperti menghalakan senjata ke arah kadet lain yang boleh menyebabkan kehilangan nyawa.

Menurut Chan lagi, Tuhan menjadikan manusia dengan dua telinga dan satu mulut. Maka manusia seharusnya lebih banyak mendengar daripada berbicara. Beliau berharap agar catatan beliau tentang pengalaman di MTD dan UPNM dapat memberi sedikit sebanyak penjelasan dan membetulkan tanggapan yang salah mengenai hidup dalam dunia ketenteraan. Beliau juga berharap agar wira papan kekunci memberikan komen yang lebih bertanggungjawab dan bukannya menurut emosi dan nafsu semata-mata.

Johari Yap
Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Cawangan Kelantan

Posted in Malaysian Digest

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments