Polis Dan Integriti

http://www.malaysiandigest.com/bahasa-malaysia/636401-polis-dan-integriti.html

Di setiap pejabat polis, kelihatan motto “Integriti Amalan Kita”. Setiap anggota polis juga diwajibkan memakai lencana “Integriti Amalan Kita”. Integriti sering diperkatakan; baik sebagai topik perbincangan program televisyen mahupun sebagai etika kerja dan budaya murni di sektor awam, swasta, juga badan bukan kerajaan. Ramai yang bercakap mengenai integriti. Apa sebenarnya integriti?

Secara umumnya, integriti bermaksud membuat perkara yang betul walaupun tiada siapa melihat. Ia merupakan satu nilai murni yang amat penting dijadikan amalan dalam sesebuah organisasi agar sistem penyampaian lebih berkualiti dan unggul, lebih-lebih lagi sektor perkhidmatan awam di Malaysia, terutamanya dalam agensi penguatkuasaan undang-undang negara seperti pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Integriti merupakan satu nilai yang amat penting bagi organisasi perkhidmatan awam yang menjadi wakil kepada kerajaan dan sentiasa berhubung secara langsung dengan anggota masyarakat.

Institusi kepolisan, selain ketenteraan dan imigresen, merupakan institusi keselamatan utama yang memelihara dan melindungi keselamatan negara. Oleh kerana peranan pasukan polis sebagai pelaksana undang-undang dan bidang kuasanya yang luas, penerapan nilai-nilai integriti amatlah penting bagi memastikan tanggungjawab itu dilaksanakan mengikut laras-laras yang ditetapkan oleh Perlembagaan Negara dan menjunjung lunas perundangan (rule of law).

Laporan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) menunjukkan bahawa PDRM memperolehi bilangan aduan yang tertinggi dan sangat jauh bezanya berbanding agensi dan jabatan kerajaan yang lain. SIAP yang mula berfungsi pada 1 April 2011 merupakan agensi kerajaan persekutuan yang dibentuk di bawah Akta Suruhanjaya Integiti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700).

Fungsi utama SIAP adalah mengendalikan aduan yang diterima daripada masyarakat berkenaan salah laku pegawai dan anggota agensi-agensi penguatkuasaan dalam sektor awam. Sehingga kini terdapat 21 agensi penguatkuasaan di bawah pengawasan SIAP, antaranya PDRM. SIAP juga bertanggungjawab melaporkan kepada kerajaan hasil siasatan yang telah dijalankan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap aduan, anggota dan agensi penguatkuasaan tersebut.

Berdasarkan laporan terkini pada laman web SIAP, PDRM terus mencatatkan aduan paling tinggi sejak SIAP mula beroperasi pada 2011 hingga kini. Pada tahun 2013, sebagai contoh, daripada keseluruhan 306 aduan, aduan terhadap PDRM berjumlah 215, diikuti Jabatan Imigresen dengan 15 aduan, dan Jabatan Pengangkutan Jalan 10 aduan. Jumlah aduan tertinggi diterima pada tahun 2012, iaitu sebanyak 358 yang mana 253 adalah aduan terhadap PDRM. Setakat artikel ini ditulis, telah ada 328 aduan yang dilaporkan dalam tahun 2016; 212 daripadanya adalah aduan terhadap PDRM.

Statistik SIAP sehingga 19 September 2016 menunjukkan 31 peratus aduan adalah melalui surat rasmi, 29 peratus melalui emel, 25 peratus melalui pengadu yang hadir sendiri ke pejabat SIAP, 7 peratus melalui surat layang, 5 peratus melalui rujukan agensi kerajaan dan 3 peratus melalui media massa.

Dr Anis Yusal Yusoff, Presiden dan juga CEO Institut Integriti Malaysia yang juga salah seorang daripada Pesuruhjaya SIAP, ketika dihubungi memaklumkan bahawa rata-rata laporan yang diterima SIAP adalah berkenaan pihak polis yang tidak mengambil tindakan. Ada kalanya kes yang dilaporkan mengambil masa terlalu lama dan lebih malang lagi apabila bukti hasil siasatan hilang dalam simpanan polis.

Disebabkan PDRM merupakan badan penguatkuasa yang sentiasa berdamping dan berinteraksi dengan masyarakat dan tugas serta tanggungjawab mereka melibatkan keselamatan dan isu serta perkara yang sensitif, tindakan dan keberkesanan PDRM adalah sangat penting.

Berdasarkan perkongsian Dr Anis, dapat dilihat wujudnya persepsi negatif masyarakat terhadap PDRM. Begitupun, menurut kajian yang dibuat oleh Megat Ayop Megat Arifin dan Abd. Halim Ahmad yang diterbitkan dalam “Malaysian Journal of Society and Space” pada tahun 2016, angka tersebut merupakan aduan yang tidak boleh dijadikan sandaran total terhadap keberkesanan sesebuah agensi dan bahawa yang sebenarnya hanya kurang daripada 1 peratus kes-kes salah laku yang melibatkan anggota PDRM.

Masyarakat kita amat jarang memuji anggota polis yang berkhidmat dengan cemerlang siang mahupun malam untuk memastikan keamanan dan keselamatan awam dan negara. Tetapi apabila adanya segelintir daripada keseluruhan lebih 130,000 pegawai dan anggota polis membuat kesilapan, ia begitu mudah dan cepat tersebar di media sosial seolah-olah mereka langsung tiada integriti. Secara peribadi, hampir kesemua anggota polis yang penulis kenali mempunyai integriti yang tinggi dan sangat berhemah.

Dalam pada itu, bagi memastikan masyarakat tidak hilang kepercayaan terhadap PDRM serta mengekalkan kerelevanan PDRM sebagai agensi penguatkuasaan undang-undang negara, pelbagai inisiatif diambil bagi meningkatkan integriti anggota-anggota PDRM.

Antara usaha yang telah dilaksanakan oleh PDRM adalah penubuhan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), pemakaian lencana “Integriti Amalan Kita”, pusingan tempat kerja panas, pelaksanaan Akta Perlindungan Pemberitahu Maklumat (APMM) 2010, sistem komunikasi integriti PDRM, skim kawalan disiplin dan narkotik, kawalan pemilikan harta pegawai dan anggota PDRM, pelaksanaan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, serta pembaharuan sistem tugas dan prosedur kerja.

Penubuhan JIPS dilihat sebagai usaha untuk menerapkan nilai integriti secara langsung ke peringkat akar umbi. Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA), yang terhasil daripada Laporan Suruhanjaya Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM pada tahun 2005, turut membantu dalam melahirkan anggota polis yang beriman dan bermoral tinggi. BAKA telah diluluskan pada tahun 2007 dengan sejumlah 1,571 jawatan yang diwujudkan di mana 20 peratus diisi oleh pegawai polis dan selebihnya pegawai awam daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan kaunselor daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Sebagai orang awam, kita mungkin terlepas pandang atau tidak menyedari kekangan masa serta lambakan kerja pihak polis hinggakan ramai juga anggota polis yang mengalami masalah stres. Di samping cabaran kes jenayah yang kian meningkat, mereka juga perlu memproses risikan keselamatan; memberi bantuan dalam melaksanakan undang-undang kepada agensi lain seperti imigresen, pendaftaran dan hasil; melaksanakan saman, sapina dan waran tangkap; memberi bantuan dalam melindungi nyawa dan harta; malah menyita binatang-binatang yang berkeliaran.

Banyak perkara dalam kehidupan seharian juga boleh melibatkan polis. Bergaduh suami isteri, lapor polis. Tidak suka dengan kenyataan sesetengah ahli politik, lapor polis. Anak hilang, lapor polis. Barang hilang, lapor polis. Semuanya melibatkan polis.

Waktu kerja yang tidak menentu dan kadangkala menjangkau 24 jam dengan jadual on call, serta beban kes yang disiasat seperti kes bunuh yang melibatkan golongan berpengaruh atau kongsi gelap, sebagai contoh, cukup memberi tekanan kepada anggota polis, apatah lagi sekiranya terdapat ancaman terhadap diri dan keluarga. Sebagai ahli masyarakat, kita juga harus ingat bahawa pegawai dan anggota polis juga mempunyai keluarga dan memerlukan masa untuk bersama keluarga.

Jika dibandingkan dengan pekerjaan lain, pekerjaan sebagai anggota polis adalah yang paling stres. Berdasarkan kajian Jabatan Kesihatan Masyarakat, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dari 2007 hingga 2009, pekerjaan sebagai anggota polis adalah yang paling stres dengan kadar 53.7 peratus manakala kadar stres dalam kalangan pegawai penjara adalah sebanyak 48.8 peratus; pegawai bomba (47.3 peratus); guru (45.8 peratus); jururawat (42.3 peratus); dan doktor (40.7 peratus).

Sebagai orang awam yang ingin melihat Malaysia sentiasa aman dan tenteram, kita berperanan memberikan sokongan kepada PDRM dalam usaha menjaga keharmonian awam. Penulis berpendapat bahawa bilangan anggota polis perlu ditambah apatah lagi dengan kadar jenayah yang semakin meningkat. Peningkatan jenayah yang berlaku saban hari, di samping kemalangan yang melibatkan kehilangan nyawa, memerlukan lebih ramai anggota dan pegawai penyiasat demi memastikan penyelesaian kes dan keberkesanan institusi kepolisan dalam membendung serta membanteras jenayah.

Dengan adanya anggota yang cekap dan berintegriti tinggi, berdukungkan tema “Polis dan masyarakat berpisah tiada”, penulis yakin jenayah akan dapat dibendung, keselamatan dan keamanan ditingkatkan.

Johari Yap
Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Cawangan Kelantan

Posted in Malaysian Digest

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments