PIBG: Kita bukan sekadar bicara

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/johari-yap/pibg-kita-bukan-sekadar-bicara-1.642520

PERSATUAN Ibu Bapa dan Guru (PIBG) merupakan sebuah persatuan yang wujud di setiap sekolah. Ahli persatuan terdiri daripada ibu bapa yang mempunyai anak di sesebuah sekolah dan guru-guru di sekolah tersebut.

Antara tujuan utama PIBG adalah untuk mewujudkan permuafakatan antara ibu bapa dan guru demi kebaikan anak-anak. Ibu bapa juga boleh menyumbang wang untuk segala aktiviti persatuan yang menyokong visi dan misi sekolah, serta memberikan cadangan atau aduan berkenaan sesuatu perkara. Kerjasama yang baik antara ibu bapa dan guru, pasti dapat membantu ke arah kecemerlangan pelajar.

“Kita bukan sekadar bicara” adalah slogan yang diilhamkan oleh Prof Madya Dr Mohamed Saat Ismail sebaik dipilih sebagai Yang Dipertua (YDP) PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian, Kota Bharu pada awal tahun 2016. Kini, selepas setahun beliau menerajui PIBG di sekolah itu, banyak perubahan positif telah berlaku.

Menurut Dr Mohamed Saat, peranan PIBG adalah untuk melonjakkan pencapaian sekolah. Selain membantu menjayakan program kecemerlangan akademik, beliau juga menitikberatkan pencapaian kokurikulum serta program motivasi dan pembinaan jati diri untuk pelajar yang kurang cemerlang dalam akademik. Itu adalah antara penekanan beliau agar tumpuan bukan kepada pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik semata-mata.

Usaha beliau membantu menaikkan pencapaian SMK Kubang Kerian selaku YDP PIBG mendapat sokongan penuh Pengetua cemerlang, Haji Raub Tengah, yang baru bersara pada 1 Februari lepas setelah berkhidmat selama 10 tahun di sekolah tersebut.

Walaupun bukan sekolah berasrama penuh atau sekolah kluster kecemerlangan, Haji Raub percaya sekolah harian biasa juga mampu mendapat pencapaian luar biasa. Antara pencapaian luar biasa SMK Kubang Kerian adalah kejayaan Raja Adam

Ahmad Raja Iskandar, seorang pelajar tingkatan tiga, mewakili Malaysia dalam pertandingan FIRST Global Challenge peringkat antarabangsa yang bakal diadakan buat julung-julung kalinya pada 16-18 Julai tahun ini di Washington, Amerika Syarikat.

Siapa kata sekolah harian biasa tidak boleh mendapat pencapaian luar biasa?

Daripada 500 penyertaan, SMK Kubang Kerian telah menghantar dua penyertaan dan Raja Adam terpilih sebagai antara yang terbaik bagi mewakili Malaysia. Pelajar-pelajar lain yang bakal mewakili Malaysia adalah dari MRSM Lenggong, MRSM Johor

Bharu, Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), SM Sains Sultan Mahmud dan SMK Convent Taiping. Pertandingan robotik peringkat antarabangsa ini akan melibatkan 120 negara.

Remaja hari ini ialah pemimpin hari esok. Usia remaja sering digambarkan sebagai tempoh yang paling kritikal dan mencabar bagi ibu bapa mahupun remaja itu sendiri. Pada peringkat inilah pelajar mudah terpengaruh dengan rakan sebaya dan persekitarannya, maka ibu bapa perlu mengawal tingkah laku dan pergerakan anak-anak mereka.

Pencapaian akademik pelajar juga bergantung kepada tahap motivasi mereka untuk terus belajar. Program motivasi dan aktiviti luar seperti lawatan sambil belajar boleh menaikkan motivasi pelajar tetapi memerlukan sumber kewangan dan tenaga yang lebih.

Masalah utama yang biasanya dihadapi pihak sekolah ialah peruntukan kewangan yang tidak mencukupi selain cabaran dalam kutipan yuran sekolah kerana terdapat pelajar yang tidak mampu atas faktor sosioekonomi keluarga. Mereka yang kurang kemampuan juga biasanya mempunyai ahli keluarga yang ramai.

Sehubungan itu, guru besar atau pengetua perlu mencari alternatif lain untuk mendapatkan dana bagi menampung kekurangan tersebut. Dalam hal seperti ini, PIBG merupakan platform terbaik bagi membantu pihak sekolah mendapatkan sumber kewangan. Lagipun, dana yang dikumpulkan oleh PIBG boleh juga dimanfaatkan oleh anak-anak lain.

PIBG merupakan satu badan yang menghubungkan ibu bapa, guru, sekolah, masyarakat, dan pelajar. PIBG mampu memberi sumbangan yang diperlukan oleh pihak sekolah terutama dalam soal kewangan, tenaga, kepakaran dan aktiviti yang sesuai dalam meningkatkan pencapaian akademik dan sahsiah pelajar.

Penglibatan ibu bapa amat penting dalam melahirkan pelajar yang cemerlang di dunia dan akhirat. Dengan kesatuan, kerjasama dan pelan yang diterjemahkan kepada tindakan, bukan sekadar bicara, kejayaan akan tercapai.

Posted in Sinar Harian

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments