Pentingnya Penjagaan Gigi

http://malaysiandigest.com/bahasa-malaysia/665071-pentingnya-penjagaan-gigi.html

Gigi merupakan salah satu anggota badan yang sangat penting bagi manusia. Jika gigi sakit, sukar bagi kita untuk makan mahupun bercakap. Kita boleh hilang mood, malah mungkin mudah berasa marah. Gigi juga memainkan peranan ke atas penampilan seseorang. Bayangkan jika gigi kita rongak; pasti kita akan berasa janggal atau segan untuk senyum dan jika tersenyum sekalipun, pasti senyuman kita tidak menarik. Apatah lagi jika keseluruhan gigi tiada.

Gigi berperanan mengekalkan struktur bibir dan pipi, serta memberikan bentuk kepada dagu. Tanpa gigi, tulang pemegang gigi yang dinamakan sebagai ?alveolar bone’ akan mereput dan tidak boleh digunakan lagi. Dagu pula akan lebih terangkat merapati bibir, berbanding biasa. Kedudukan lidah juga sebenarnya banyak bergantung kepada kewujudan gigi. Lidah akan lebih terjelir ke depan jika tiada gigi yang menahan.

Dengan peranan-peranan gigi ini, sudah tentu kita perlu menjaga gigi supaya sentiasa dalam keadaan baik. Selain kesannya ke atas keselesaan dan penampilan, ia juga mempunyai kesan ke atas kesihatan. Gigi diperlukan untuk mengunyah makanan dengan sempurna. Ini bagi memudahkan perut menghadam makanan. Gigi juga diperlukan supaya pertuturan menjadi lebih jelas kerana ia membantu lidah dalam membentuk sebutan sesuatu huruf.

Sebab itulah bercakap tanpa gigi agak mencabar, terutama untuk menyebut perkataan atau huruf yang melibatkan lidah dan pangkal gigi. Ini sangat jelas bagi orang Islam yang membaca al-Quran atau berbahasa Arab kerana sebutan atau makhraj (tempat keluar bunyi huruf) adalah amat penting.

Begitulah yang dialami oleh Tuan Haji Ab. Ghani bin Haji Mahmood atau lebih dikenali sebagai Ustaz Ghani. Beliau merupakan Pengarah Urusan Batuta Travel & Tours Sdn. Bhd., syarikat yang ditubuhkan pada 22 Januari 1987 untuk mengambil bahagian secara aktif dalam industri pelancongan. Nama syarikatnya diambil sempena nama pengembara Islam yang terkenal iaitu Ibn Battuta.

Selain menjual tiket penerbangan dalam dan luar negara, aktiviti utama syarikat Batuta adalah mengelola pakej umrah dan haji untuk umat Islam. Sejak 30 tahun lepas, Ustaz Ghani serta anak-anak beliau sendiri yang akan mengiringi jemaah umrah dan haji. Ustaz Ghani sememangnya suka melakukan ibadat di Mekah dan Madinah sambil menziarahi tempah-tempat yang penting dalam sejarah Islam.

Batuta Travel & Tours Sdn. Bhd. beribu pejabat di Jalan Dato Pati, Kota Bharu, Kelantan dan mempunyai cawangan di Kuala Lumpur dan Ipoh, serta wakil jualan di seluruh Malaysia.

Saya ditakdirkan bertemu dengan Ustaz Ghani pada 2016 ketika hendak mendapatkan air zam zam untuk seorang sahabat yang sedang sakit ketika itu. Pada masa itu, beliau baru sahaja kembali ke tanah air dari tanah Suci Mekah dan Madinah. Beliau menceritakan pengalaman ditegur kerana tidak membaca al-Quran dengan sebutan yang betul dan tepat. Ketika itu beliau sedang mengikuti kelas al-Quran di Masjid Nabawi, Madinah dengan beberapa orang ulama di sana.

Memang sukar untuk menyebut kalimah-kalimah al-Quran dengan betul jika tidak mempunyai gigi. Ia boleh menjadi sesuatu yang sangat mengganggu ketenteraman perasaan dan ketenangan hati lebih-lebih lagi setiap kali menunaikan solat kerana membaca ayat al-Quran dengan betul adalah amat penting dalam solat.

Dahulu, beliau mempunyai lebih 10 unit gigi palsu untuk rahang atas tetapi disebabkan rahang beliau agak kecil, gigi-gigi tersebut menjadi longgar dan sering terkeluar. Setiap kali ada jemaah beliau daripada kalangan doktor gigi, beliau akan mendapatkan gigi palsu daripada klinik mereka. Bagaimanapun, selepas beberapa ketika, gigi palsu tersebut tetap mudah terkeluar atau terjatuh akibat longgar. Akhirnya, beliau mengambil keputusan untuk tidak memakai gigi palsu langsung kerana tiada yang lekat dengan baik dan mampu membantu beliau. Beliau sanggup makan hanya makanan lembut dan tidak kisah jika senyuman tidak semanis dahulu tanpa adanya gigi.

Tetapi, selepas peristiwa ditegur di Masjid Nabawi itu, Ustaz Ghani tekad mendapatkan semula gigi palsu kerana mahu membaca al-Quran dengan baik.

Saya telah membantu Ustaz Ghani untuk mendapatkan temujanji di Klinik Pergigian Pakar, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kota Bharu, Kelantan. Menurut Pakar Prosthodontik Maxillofacial dari HUSM, Dr. Nafij bin Jamayet yang berpengalaman luas membuat gigi palsu, pesakit yang memerlukan gigi palsu biasanya mengadu bahawa mereka susah hendak makan, bercakap, dan senyum.

Namun, baginya, Ustaz Ghani agak unik. Beliau tidak kisah walaupun sudah hampir 6 tahun hidup tanpa gigi atas dan hanya sebahagian gigi bawah dan hanya memakan makanan yang dikisar melainkan sekiranya terpaksa memakan makanan biasa jika tiada pilihan.

Ustaz Ghani hanya memerlukan giginya untuk membolehkannya membaca al-Quran dengan sempurna. Beliau rindu dengan keadaan ketika mana beliau mampu membaca al-Quran dengan betul.

Untuk membantu Ustaz Ghani, Dr. Nafij telah menggunakan teknik baharu dalam menghasilkan gigi palsu yang bukan sahaja kemas dan cantik tetapi membolehkan pesakit merasa sejuk atau panas sesuatu makanan atau minuman. Secara tidak langsung, selera makan pesakit juga akan bertambah baik.

Kini, Ustaz Ghani bukan sahaja boleh menikmati makanan kegemarannya seperti nasi goreng dan sate, beliau juga mampu mengunyah potongan buah epal hijau yang sebelum ini hanya boleh dimakan selepas dikisar. Menurut beliau lagi, beliau umpama orang buta yang telah mendapat kembali penglihatannya kerana sudah mampu semula untuk membaca al-Quran dengan baik.

Pada Februari 2017, beliau telah membaca al-Quran di hadapan 3 guru di Masjid Nabawi dan semuanya berpuas hati dengan bacaan beliau. Selain itu, gigi palsu baharunya juga membuatkan beliau kelihatan jauh lebih muda.

Kisah Ustaz Ghani dan yang seumpanya seharusnya membuatkan kita berasa sangat bersyukur atas kurniaan gigi. Jika kehilangan hanya sebatang gigi pun boleh mendatangkan ketidakselesaan, bayangkan kalau hilang sebaris atau semua gigi, sama ada atas faktor kesihatan atau penuaan mahupun disebabkan kemalangan. Yang pasti, kita akan memerlukan masa dan kesabaran untuk menerima keadaan itu dan menyesuaikan diri, di samping wang, sekiranya ingin menggunakan gigi palsu.

Penulis bersama Ustaz Ghani

Maka, sekiranya anda masih memiliki barisan gigi yang sempurna, hargailah nikmat kurniaan Allah itu dengan menjaganya dengan baik. Perhatikan senyuman manusia di sekeliling kita. Bandingkan senyuman mereka yang mempunyai gigi yang cukup dan rapi dengan mereka yang tiada gigi atau bilangan gigi yang kurang. Sudah tentu ada perbezaan, bukan? Dengan gigi yang rapi dan cantik, senyuman kita juga akan lebih menawan dan ini sudah tentu sesuatu yang baik kerana senyum itu adalah sedekah.

Sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud, ?Janganlah kamu meremehkan kebaikan apapun, walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang manis (wajah gembira dan senyuman).” (Hadis riwayat Muslim)

Sememangnya senyuman masih boleh diukir walau tiada gigi. Tetapi, dengan adanya gigi, senyuman lebih manis. Bukan itu sahaja, dengan adanya gigi juga, kita mampu bercakap dengan lebih jelas, membaca al-Quran dengan lebih baik, dan makan juga dengan lebih selesa dan sempurna. Oleh itu, sebagaimana kita disarankan untuk menjaga kesihatan tubuh badan, jagalah juga kesihatan gigi kita.

 

Johari Yap
Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Cawangan Kelantan

Posted in Malaysian Digest

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments