Pengajian Tahfiz Tetap Relevan

http://www.malaysiandigest.com/bahasa-malaysia/677409-pengajian-tahfiz-tetap-relevan.html

Tahfiz berasal daripada perkataan hafiz dalam bahasa Arab. Ia bermaksud “yang menyimpan” atau “yang menanggung amanah”. Hafiz juga merupakan salah satu nama Allah dalam Asma-ul-Husna. Dalam mayarakat kita, gelaran hafiz diberikan kepada mereka yang menghafal al-Quran secara sempurna. Mereka menghafal keseluruhan isi al-Quran.

Jika dihimpun kesemua naskah al-Quran di dunia ini dan dibakar kesemuanya, dan kesemua kilang yang menerbitkan al-Quran turut dimusnahkan, tiada masalah untuk umat Islam mendapatkan kembali al-Quran tanpa lebih atau kurang walau satu ayat. Ini adalah kerana ratusan ribu umat Islam telah menghafal seluruh isi al-Quran dan jutaan umat Islam menghafal sebahagian daripadanya (beberapa juzuk). Al-Quran adalah satu-satunya kitab suci yang dijamin keaslian dan kemurniannya oleh ALLAH SWT sehingga hari kiamat.

“Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu (al-Quran) sebagai kalimat yang benar dan adil. Tidak ada yang dapat mengubah kalimat-kalimat-Nya dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (surah al-An’aam, ayat 115)

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.” (surah al-Hijr, ayat 9)

Pengajian al-Quran dan pengajian Islam di Tanah Melayu dilakukan secara tidak formal pada peringkat awalnya. Pembelajaran kebiasaannya di rumah, masjid, surau atau rumah guru agama. Ia kemudiannya berubah kepada pengajian yang lebih formal iaitu di sekolah-sekolah pondok. Insititusi pengajian pondok telah dikesan bermula pada akhir abad ke-17. Menurut Muhammad Abu Bakar dalam buku beliau bertajuk Ulama Terengganu Satu Sorotan yang diterbitkan oleh Penerbit Utusan pada tahun 1991, sudah terdapat institusi pondok pada tahun 1736 di Pulau Manis, Terengganu yang didirikan oleh Abdul Malik bin Abdullah.

 

Pembelajaran al-Quran sistem pondok di Malaysia, terutamanya di Kelantan, Terengganu dan Kedah, telah memainkan peranan yang penting dalam pengajian al-Quran dan penyebaran ilmu-ilmu Islam pada peringkat awal.

Antara ulama yang terlibat pada peringkat awal pengajian al-Quran di pondok sehingga berjaya melahirkan ramai tokoh ulama yang berwibawa dalam perkembangan pengajian al-Quran dan ilmu-ilmu Islam di Malaysia ialah Abdul Malik bin Abdullah dari Terengganu; Tuan Tabal, Tok Wan Ali Kutan, Tok Solehor, Tok Kenali dari Kelantan; serta Haji Sahar dan Tuan Hussin dari Kedah. Tokoh-tokoh ulama yang telah mendirikan pondok di negeri masing-masing ini telah berjaya menghasilkan ramai para ilmuwan yang menjadi pemimpin dalam masyarakat.

Menurut kajian Abdul Hafiz Abdullah bertajuk “Pendidikan Tahfiz di Malaysia: Satu Sorotan Sejarah” yang dibentangkan dalam seminar “International Conference on Education and Social Entrepreneurship” di Resort World Langkawi pada Oktober 2015, asas pembangunan dalam bidang tahfiz secara formal telah digerakkan oleh kerajaan pusat sejak 1966 di bawah saranan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Ketika itu, kerajaan telah menubuhkan Kelas Pengajian Menghafaz al-Quran dan Ilmu Qiraat di Masjid Negara.

 

Antara faktor yang menyumbang kepada pengwujudan Kelas Pengajian Menghafaz al-Quran ini adalah penganjuran Majlis Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan yang telah diadakan sejak 1960.

Kenyataan itu turut disokong oleh Noor Hisham Md Nawi melalui kajiannya yang bertajuk “Matlamat dan Halatuju Sistem Pengajian Tahfiz di Kelantan; Satu Pengamatan Awal” yang dibentangkan dalam seminar “International Conference and Exhibition on Islamic Education” yang ke-4 di Hotel Perdana, Kota Bharu, Kelantan.

Selepas maahad tahfiz di Masjid Negara ditubuhkan, setiap negeri membuka maahad tahfiz masing-masing bermula dengan Kelantan pada 1979. Pada tahun 1980-an, Terengganu, Perak, Kedah, Perlis dan Selangor juga telah menubuhkan Maahad Tahfiz Negeri. Seterusnya, pada awal 1990-an, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Sabah turut mempunyai Maahad Tahfiz Negeri.

Hari ini, seluruh negeri di Malaysia mempunyai maahad tahfiz dan yang paling akhir ditubuhkan adalah pada tahun 1996, iaitu Maahad Tahfiz Negeri Johor dan Pulau Pinang. Penubuhan maahad tahfiz di bawah kerajaan negeri di seluruh negara menggunakan sukatan pelajaran Maahad Tahfiz Darul Quran, JAKIM.

Selain daripada maahad tahfiz yang ditubuhkan oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, terdapat juga maahad tahfiz yang ditubuhkan secara persendirian, oleh organisasi swasta, NGO mahupun individu.

Penulis berkesempatan menemuramah Encik Abdul Manaf Abdullah, ahli Lembaga Pengelola Akademi Tahfiz Aman yang bertempat di Wisma Haji Wan Ahmad, Pasir Mas, Kelantan. Menurut beliau, Akademi Tahfiz Aman yang ditubuhkan pada 2014 kini mempunyai 40 orang pelajar. Akademi ini terbuka kepada pelajar lelaki berusia antara 11 hingga 14 tahun sahaja. Untuk layak masuk, calon juga mestilah mempunyai akhlak yang baik serta lulus ujian kemasukan.Antara kumpulan pertama Akademi Tahfiz Aman

Selain objektif untuk menyediakan hafiz yang mampu menghafal 30 juzuk al-Quran dengan hafazan yang mantap dan bersanad, pelajar juga akan dididik untuk menguasai bahasa Arab dan memahami al-Quran. Di samping itu, mereka juga belajar ilmu akademik dan Bahasa Inggeris sebagai persediaan menghadapi peperiksaan SPM.

Menurut Abdul Manaf lagi, pelajar-pelajar hanya perlu membayar yuran pengajian dan yuran makan sahaja manakala anak yatim atau anak golongan asnaf akan ditaja sepenuhnya oleh Akademi.

Antara pelajar kumpulan pertama Akademi Tahfiz Aman ialah adik Muhammad Yusuf bin Marzuki, anak kepada pasangan Dr. Marzuki Omar dan Prof. Madya Dr. Dasmawati Mohamad. Dr. Marzuki merupakan Pakar Bedah Mulut dan Maksilofasial di Hospital USM manakala Prof. Madya Dr. Dasmawati merupakan pensyarah USM dalam bidang biobahan. Mereka menghantar anak mereka yang cemerlang ke pengajian tahfiz dengan harapan anak mereka akan menjadi cendekiawan yang cemerlang dunia dan akhirat.

Suatu ketika dahulu, pusat pengajian tahfiz mahupun sekolah pondok merupakan tempat terakhir untuk ibu bapa menghantar anak mereka. Ada juga yang menghantar anak ke pusat pengajian tahfiz setelah mereka sendiri gagal mendidik dan mengawal anak yang nakal atau kurang menyerlah. Jika ini berterusan atau berleluasa, bayangkan jika terdapat 30 pelajar nakal untuk ditarbiah oleh warga pendidik di pusat pengajian tahfiz? Jika ibu bapa sendiri tidak mampu mengawal seorang anak yang nakal, bagaimana agaknya para ustaz mengasuh dan mendidik 30 pelajar pada tempat dan masa yang sama? Ia seolah-olah menjadikan pusat pengajian tahfiz sebagai pusat pemulihan akhlak.

Bagaimanapun, hari ini, kesedaran masyarakat untuk kembali kepada hafazan al-Quran semakin tinggi. Semakin ramai ibu bapa menghantar anak-anak ke pusat-pusat pengajian tahfiz. Justeru, perkembangan sistem pendidikan tahfiz semakin pesat di Malaysia; pusat-pusat pengajian tahfiz semakin bertambah bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Ada yang kurikulumnya sistematik dan jelas seperti Akademi Tahfiz Aman dan ada juga yang sangat daif.

Menyedari perkara ini, pada 2016, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah merangka Dasar Pendidikan Tahfiz Negara bagi memperkasakan institusi pendidikan tahfiz di seluruh negara. Terima kasih juga kepada kerajaan kerana telah mengagihkan peruntukan berjumlah RM80 juta kepada lebih 800 sekolah pondok berdaftar, Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dan institusi tahfiz berdaftar di seluruh negara dalam satu majlis baru-baru ini. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Seri Perdana. 129 sekolah pondok, 99 SMAR dan 591 institusi tahfiz berdaftar menerima manfaat daripada peruntukan tersebut.

Perdana Menteri turut mengumumkan insentif sebanyak RM10,000 yang akan diberikan kepada institusi-institusi tahfiz yang berdaftar dengan kerajaan. Ini menggambarkan hasrat murni kerajaan untuk memastikan pendidikan Islam diperkasa, diperkukuh dan dipertingkatkan lagi.

Kerajaan sedar terdapat sekolah tahfiz yang dibina di atas rumah persendirian yang diwakafkan untuk dijadikan maahad tahfiz. Fasiliti di maahad sebegini mungkin terhad di samping persekitaran yang juga mungkin kurang kondusif. Maka, peruntukan sebegini sedikit sebanyak dapat membantu para pelajar tahfiz ini belajar dalam persekitaran yang lebih baik. Dengan perhatian dan sokongan yang berterusan, pembangunan pendidikan tahfiz akan menjadi lebih tersusun dan agar tiada lagi sekolah tahfiz yang tidak berdaftar.

Matlamat utama pengajian tahfiz adalah untuk melahirkan para hafiz dan cendekiawan Islam yang berketerampilan, yang bukan sahaja menghafal 30 juzuk al-Quran tetapi juga menghidupkan isi al-Quran dengan erti kata mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Kewujudan institusi tahfiz al-Quran di negara ini bukan sahaja berperanan melahirkan golongan penghafaz al-Quran semata-mata, bahkan turut berperanan melahirkan golongan profesional yang menjiwai al-Quran, insan rabbani dalam kalangan masyarakat. Atas sebab inilah pengajian tahfiz akan kekal relevan.

Johari Yap
Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Cawangan Kelantan

Posted in Malaysian Digest

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments