Orang Cina dan kerjaya polis

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/johari-yap/orang-cina-dan-kerjaya-polis-1.568864

DALAM dialek Hokkien, polis dipanggil “mata”; kemungkinan mengikut padanan perkataan mata-mata dalam bahasa Melayu yang juga bermaksud polis. Istilah mata-mata wujud sejak zaman kesultanan Melayu lagi, di mana tugas mereka ketika itu lebih berbentuk pengintip atau perisik. Istilah itu kemudiannya ditukar kepada polis dengan mengubahsuai perkataan Inggeris.

Selain Hokkien, polis juga disebut sebagai “mata” dalam dialek Hainam, Hakka dan Kantonis. Dalam dialek Kwangsai, polis dipanggil “maa tou”.

Penyertaan masyarakat Cina dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) amatlah sedikit; boleh dikatakan kritikal jika dibandingkan dengan komposisi kaum di Malaysia.

Menurut Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun dalam satu wawancara khas sempena Hari Polis ke-206 pada 2014, statistik PDRM menunjukkan bahawa daripada 111,395 anggota polis beruniform pelbagai pangkat di seluruh negara, kaum Cina adalah seramai 1,974 orang sahaja (1.8 peratus).

Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan etnik, tugas mengawal dan menjaga keamanan harus dipikul bersama oleh semua kaum dan tidak seharusnya didominasi oleh sesuatu kaum. Dengan adanya kaum Cina dalam pasukan polis, ia dapat memudahkan tugas-tugas siasatan yang melibatkan masyarakat Cina kerana mereka lebih memahami budaya dan bahasa mereka.

Ah Chong, sebagai contoh, bekerja sebagai penjual aksesori kereta. Sebelum itu beliau merupakan pembantu mekanik di sebuah bengkel kereta. Walaupun mempunyai kelayakan akademik dan fizikal yang sesuai untuk menjadi anggota polis, beliau lebih gemar bekerja sebagai penjual walaupun pendapatannya kecil dan tidak menentu. Apabila ditanya, beliau mengatakan kerja polis ini teruk dan tidak tentu masa. Boleh jadi stres.

Apa yang dikatakan oleh Ah Chong itu ada benarnya. Lambakan kerja dan kerap bertugas di luar waktu pejabat menyebabkan ramai anggota polis mengalami tekanan. Polis kebiasaannya berada di pejabat pada waktu pejabat manakala operasi dan serbuan pula kebiasaannya dilakukan di luar waktu pejabat.

Mengikut kajian Jabatan Kesihatan Masyarakat, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dari  2007 hingga 2009, 53.7 peratus daripada 453 pegawai polis di enam balai polis di Wilayah Persekutuan mengalami stres di tempat kerja. Hasil kajian menunjukkan 61.1 peratus anggota polis berpangkat sarjan ke atas mengalami kadar stres lebih tinggi berbanding anggota berpangkat rendah, iaitu koperal 56 peratus, lans koperal 58.4 peratus dan konstabel 45.3 peratus.

Jika dibandingkan dengan pekerjaan lain, pekerjaan sebagai anggota polis adalah yang paling stres. Berdasarkan kajian PPUKM tersebut, kadar stres dalam kalangan pegawai penjara adalah sebanyak 48.8 peratus; pegawai bomba (47.3 peratus); guru (45.8 peratus); jururawat (42.3 peratus); dan doktor (40.7 peratus).

Waktu kerja yang tidak menentu dan kadangkala menjangkau 24 jam dengan jadual on call, serta beban kes yang disiasat seperti kes bunuh yang melibatkan golongan berpengaruh atau kongsi gelap, sebagai contoh, cukup memberi tekanan kepada anggota polis, apatah lagi sekiranya terdapat ancaman terhadap diri dan keluarga.

Di samping cabaran kes jenayah yang kian meningkat, mereka juga perlu memproses risikan keselamatan; memberi bantuan dalam melaksanakan undang-undang kepada agensi lain seperti imigresen, pendaftaran dan hasil; melaksanakan saman, sapina dan waran tangkap; memberi bantuan dalam melindungi nyawa dan harta; malah menyita binatang-binatang yang berkeliaran.

Persepsi negatif ahli masyarakat yang melabel anggota polis sebagai perasuah juga turut menyumbang kepada peningkatan stres. Masyarakat kita amat jarang memuji polis walaupun mereka bekerja dengan jujur dan cemerlang, tetapi amat mudah mengecam hinggakan sedikit kesilapan boleh terus menjadi viral di media sosial.

Apa sekalipun, bukan semua orang Cina seperti Ah Chong yang tidak mahu menjadi anggota polis. Malah, penulis mempunyai seorang bapa saudara, Goh Bon Lam dan sepupu, Goh Tek Han, yang merupakan pegawai polis. Sahabat penulis yang juga jiran sebelah rumah, Wee Bee Seng juga seorang pegawai polis.

Dalam mana-mana masyarakat sekalipun, polis dan masyarakat berpisah tiada. Kedua-duanya saling memerlukan dalam usaha membanteras jenayah dan menjaga keharmonian awam.

 * Johari Yap, Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

Posted in Sinar Harian

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments