Namewee dan derma organ

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/johari-yap/namewee-dan-derma-organ-1.635298

KETIKA isu berus cat babi hangat diperkatakan, sebuah lagi video Namewee telah menular. Dalam video tersebut, Namewee memohon pencerahan daripada pihak kerajaan atau mana-mana pihak berwajib tentang status ‘kehalalan’ darah dan organ penderma bukan Islam di seluruh Malaysia.

Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee, yang sememangnya terkenal dengan penghasilan video yang bersifat radikal, telah beberapa kali ditangkap atas kesalahan menimbulkan provokasi agama dan sentimen perkauman.

Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada Namewee atas persoalan yang diajukannya dalam video tersebut. Sebagai seorang Islam, saya perlu bersangka baik. Mungkin benar Namewee tidak faham mengenai perkara ini. Lagipun, ia juga dapat meningkatkan tahap kesedaran umum tentang kepentingan menderma darah mahupun organ, di samping memberi ruang bagi menjelaskan kepada seluruh masyarakat tentang persoalan yang ditimbulkan.

Saya berharap saudara Name-wee telah membaca penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan yang disiarkan pada 13 Februari, 2017. S.S. Datuk Dr Zulkifli menegaskan bahawa umat Islam boleh menerima darah atau organ daripada bukan Islam, walaupun penderma itu telah memakan babi.

Sebenarnya, pendermaan organ bukanlah perkara yang baharu di negara ini. Majlis Fatwa Kebangsaan dalam mesyuaratnya yang pertama pada 23 dan 24 Jun 1970 telah memutuskan bahawa pemindahan mata dan jantung daripada orang mati kepada orang hidup adalah harus. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Kali Ke-4 pada 13 dan 14 April 1982 juga telah memutuskan hukum menderma darah adalah harus dan tidak perlu diasingkan darah orang Islam daripada darah orang bukan Islam.

Menurut ulama kontemporari terkenal, Syeikh Yusuf al-Qaradawi, pendermaan organ terangkum di bawah satu daripada tiga amalan yang boleh memberikan pahala berterusan selepas seseorang itu meninggal dunia. Beliau mengkategorikan pendermaan organ sebagai sedekah jariah. Hujah beliau mengenai keharusan menderma organ adalah daripada dibiarkan jasad dimamah tanah selepas kematian, lebih baik organ yang masih boleh digunakan didermakan dengan tujuan menyelamatkan nyawa orang lain.

Pendermaan organ memenuhi salah satu maqasid syariah Islam iaitu memelihara jiwa manusia. Masih ingatkah anda pada mendiang Tee Hui Yee, gadis Cina berumur 14 tahun, anak pekebun sayur yang menjalani pembedahan pemindahan jantung yang didermakan keluarga lelaki Melayu dari Sitiawan, Perak?

Oleh kerana terdapat penolakan terhadap jantung baharu tersebut, mendiang sekali lagi menjalani pembedahan menggantikan jantung yang disumbangkan oleh seorang lelaki Cina dari Johor. Walaupun mendiang hanya sempat hidup sekitar 5 tahun selepas pemindahan kedua, kisah beliau membuktikan sumbangan organ di negara ini tidak memandang kaum mahupun agama.

Begitu juga dalam kes Jamal Jamlus, 45 tahun, yang terpaksa bergantung pada mesin dialisis selama 10 tahun sebaik disahkan mengalami kegagalan buah pinggang kronik pada 1996. Pada 14 Februari 2006, beliau menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang di Hospital Selayang. Beliau menerima buah pinggang seorang pemuda Cina berusia 25 tahun yang meninggal dunia akibat kemalangan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, turut menyatakan bahawa organ penderma tidak diklasifikasikan menurut kaum, agama, atau latar belakang. Begitu juga dengan penerima organ. Ia tidak menjadi isu kerana ulama sudah memberi penerangan yang jelas.

Beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat peningkatan dalam kesedaran masyarakat tentang kepentingan menderma organ. Namun, permintaan untuk pemindahan organ juga semakin tinggi.

Statistik Pusat Sumber Transplan Nasional menunjukkan jumlah pengikrar penderma organ pada 2015 adalah 35,377 orang dengan majoritinya kaum Melayu (16,666), diikuti India (8,136), Cina (6,578), dan lain-lain (3,997). Manakala, penunggu pemindahan organ pula seramai 19,498 orang yang mana 19,479 memerlukan buah pinggang. Buah pinggang yang didermakan pada tahun tersebut hanya 58.

Statistik ini menunjukkan ramai lagi yang menunggu untuk melakukan pemindahan buah pinggang terutamanya. Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia yang sihat dan layak, marilah kita sama-sama berikrar untuk menjadi penderma organ. Saya juga berharap dengan penjelasan yang telah diberikan, Namewee tidak lagi risaukan keselamatan diri dan keluarganya atas statusnya sebagai penderma darah dan pengikrar penderma organ.

Posted in Sinar Harian

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments