Nadma siap siaga hadapi bencana

http://www.sinarharian.com.my/mobile/kolumnis/johari-yap/nadma-siap-siaga-hadapi-bencana-1.737998

APA itu bencana? Sekiranya sebuah kapal terbang terhempas di Banjaran Titiwangsa, adakah ia satu bencana atau sekadar kemalangan? Bagaimana pula jika kapal terbang tersebut terhempas di kawasan perumahan? Adakah bencana dan kemalangan membawa maksud yang sama?

Menurut Kamus Dewan (Dewan Bahasa Dan Pustaka, bencana bermaksud bahaya dan kecelakaan termasuk bencana alam seperti banjir, gempa bumi dan ribut. Manakala menurut Portal Bencana Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), bencana ertinya suatu kejadian yang menyebabkan gangguan kepada aktiviti masyarakat dan urusan negara, melibatkan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda, kerugian ekonomi dan kemusnahan alam sekitar yang melangkaui kemampuan masyarakat untuk mengatasinya dan memerlukan tindakan penggemblengan sumber.

Mungkin ramai yang belum mengenali Nadma yang ditubuhkan dua tahun lepas susulan banjir besar di Kelantan pada akhir 2014, gempa bumi di Sabah pada 2015 dan beberapa bencana lain yang mengancam nyawa dan harta benda. Kerajaan menubuhkan Nadma demi memantapkan pengurusan bencana dalam negara dengan memastikan ia ditangani dengan lebih baik dan berkesan. Nadma secara rasminya ditubuhkan pada 1 Oktober 2015 hasil daripada mesyuarat Kabinet pada 26 Ogos 2015.

Menurut Portal Bencana Nad-ma, bencana yang berlaku di Malaysia sejak lima tahun lepas melibatkan kejadian banjir (10), tanah runtuh (3), banjir kilat (1) dan taufan/angin kencang (1).

Banjir merupakan bencana alam yang diberi perhatian kerana ia mengancam kehidupan dan ekonomi. Menurut kajian Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), banjir merupakan bencana alam ketiga terbesar yang telah banyak mengorbankan nyawa dan kerosakan harta benda. Masalah banjir di Malaysia yang disebabkan musim tengkujuh dan banjir kilat akan berterusan walaupun pelbagai langkah struktur dan bukan struktur dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengurangkan kesannya.

Sebagai orang awam, kita juga mempunyai peranan dalam menghadapi ancaman bahaya banjir dengan sentiasa berjaga-jaga, membuat persediaan awal, juga memberi perhatian kepada golongan yang mempunyai keperluan khas dan kanak-kanak. Berikut ialah petikan Panduan Menghadapi Bencana yang diterbitkan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia:

Pastikan semua suis elektrik dan suis utama dimatikan untuk mengelakkan kejadian renjatan elektrik;

Ikuti arahan pihak berkuasa;

Segera berpindah (ke pusat pemindahan/rumah saudara-mara/tempat tinggi) seperti yang diarahkan pihak berkuasa; dan seterusnya.

Walaupun bencana alam di negara kita tidak seteruk negara lain yang dilanda taufan, puting beliung, letupan gunung berapi dan gempa bumi besar, kita tidak boleh memandang ringan bencana banjir yang berlaku setiap tahun di pantai timur Semenanjung Malaysia.

Selari dengan misi dan visi penubuhannya, Nadma bertindak sebagai penyelaras dalam pengurusan banjir bagi beberapa agensi kerajaan seperti Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Selain agensi kerajaan, Nadma juga mengiktiraf sumbangan NGO dalam membantu kerajaan menangani bencana.

NGO digalakkan mendaftar dengan Nadma menerusi program Pembangunan Komuniti dan Sosial bagi menyelaras bantuan mengikut kepakaran masing-masing. Pengarah Bahagian Kesedaran dan Pembangunan Sosial Nadma, Mohamed Zahari Razali, turun padang mengendalikan bengkel yang melibatkan Nadma dan NGO bagi memantapkan lagi kesiapsiagaan menghadapi bencana, terutamanya bencana banjir kerana musim tengkujuh hampir tiba.

Sehingga kini, lebih 200 NGO telah berdaftar dengan Nadma dan bengkel-bengkel telah diadakan Di Bangi, Kuala Terengganu dan Kota Bharu. Syabas kepada NGO yang terlibat dalam membantu mangsa banjir dan kini bersiap sedia untuk musim tengkujuh yang bakal tiba. Sekalung tahniah juga buat Bantuan Banjir NGO (BBNGO), yang lahir susulan bah kuning di Kelantan, yang diketuai Prof Dr Dinsuhaimi Sidek. Walaupun sibuk dengan tugas sebagai pakar perubatan, pensyarah dan timbalan dekan, Dr Dinsuhaimi tetap meluangkan masa memberi latihan serta melibatkan diri dalam bantuan banjir bukan saja di Kelantan tetapi juga di luar Kelantan, bahkan luar negara.

Bengkel Nadma seterusnya untuk NGO Negeri Sembilan, Melaka dan Johor akan diadakan di Muar pada 11 Oktober ini. NGO yang berminat boleh menghantar e-mel kepada zahari@nadma.gov.my atau hubungi talian 013-8032826 (Zahari) atau 013-2092770 (Aziz).

Posted in Sinar Harian

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments