MTD inspirasi perpaduan

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/johari-yap/mtd-inspirasi-perpaduan-1.513602

BARU-BARU ini, dua pelajar universiti tempatan yang bersahabat baik, Seah Eu Hun, 19, dan Lee Wen Jun, 20, melakukan ekspedisi berbasikal mengelilingi Semenanjung Malaysia dalam masa 24 hari sebagai aktiviti bagi menghabiskan cuti semester. Kedua-duanya merupakan bekas pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD).

Apa yang menariknya, apabila tiba di setiap destinasi, di mana mereka perlu bermalam, ada sahaja bekas pelajar MTD yang menawarkan tempat untuk mereka bermalam, walaupun tidak pernah kenal dan berlainan kaum. Ini menunjukkan betapa semangat 1Malaysia masih tebal dalam kalangan bekas-bekas pelajar MTD dalam keadaan, di mana semangat perpaduan dilihat semakin terhakis dalam kalangan masyarakat umum.

MTD yang ditubuhkan pada 3 Julai 1952 bukanlah seperti sekolah berasrama penuh yang lain. Satu-satunya sekolah di bawah Kementerian Pertahanan, dengan moto “Rumah kepada pemimpin masa hadapan”, MTD sememangnya telah berjaya melahirkan ramai pemimpin, sama ada dalam bidang ketenteraan, pengurusan mahupun ekonomi.

Jika sekolah asrama penuh lain seperti Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) mempunyai pelajar Melayu sahaja; Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang hanya mula mengambil pelajar bukan Bumiputera dengan kuota 10% sejak tahun 2002, setelah penubuhan MRSM pertama di Seremban pada tahun 1972; ataupun Sekolah Menengah Sains (SMS) yang hanya mempunyai peratusan kecil pelajar bukan Bumiputera; 30% tempat diperuntukkan untuk pelajar bukan Melayu di MTD.

Baru-baru ini telah diadakan Wacana Sinar Harian ke-38 dengan judul Sampai Bila Mahu Rasis? yang diadakan di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam. Ahli-ahli panelnya adalah Ketua Pengarah Biro Tata Negara, Datuk Ibrahim Saad; Felow Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong; Pensyarah Institut Pendidikan Guru, Kampus Bahasa Melayu/Aktivis Sastera, Dr Raja Rajeswari Seetha Raman; dan Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM), Bro Firdaus Wong Wai Hung.

Isu rasis dalam kalangan rakyat Malaysia wujud apabila tiba musim pilihan raya, kata Datuk Ibrahim Saad. Ini terjadi apabila terdapat sekumpulan yang ingin mendapat kuasa dengan menggunakan isu sensitif.

Menurut Prof Datuk Dr Teo Kok Seong, rasisme akan ada sampai bila-bila kerana fitrah manusia dilahirkan dalam keadaan berpuak-puak. Walau bagaimanapun, ia masih boleh diatasi dengan kaedah tertentu. Dr Rajeswari pula berpandangan campur tangan politik ada masanya membawa implikasi buruk. Begitu juga Firdaus Wong mengatakan bahawa makanan kita sekarang ini ialah politik, politik dan politik.

Menurut salah seorang bekas pelajar MTD tahun 1992, David Ong Chin Chau, 41, yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan, tiada istilah rasis atau perkauman di MTD. Beliau telah bergaul dengan sahabat daripada kaum Melayu, Cina, India, Siam, Kadazan, Iban, dan Bidayuh tanpa sebarang masalah. Mereka tidur satu bilik hostel, makan sama-sama, belajar sama-sama, bersukan sama-sama serta menjalani latihan ketenteraan sama-sama selama 5 tahun di sana. Malah, sahabat baik dia sekarang adalah orang Melayu.

Walaupun David Ong bersekolah rendah di sekolah jenis kebangsaan Cina, beliau senang menyesuaikan diri di MTD dan berpeluang ke Kuil Buddha di Brickfields setiap hari Ahad. Sahabat lain yang beragama Kristian juga dibawa dengan trak tiga tan ke Gereja Methodist di Jalan Gasing, Petaling Jaya.

Bagi mereka yang beragama Islam, nilai-nilai kerohanian tetap dijaga. Beliau dapat melihat bagaimana sahabat-sahabat Islam melakukan solat berjemaah walaupun berkhemah di dalam hutan selama dua minggu.

Menurut Aiman Amerul Muner, juga seorang bekas pelajar MTD, pengalaman melanjutkan pelajaran di MTD mengajar beliau menjadi “buta warna”. Beliau menceritakan bagaimana pengalaman dikenakan hukuman bersama-sama telah mengeratkan lagi persahabatan beliau dengan rakan bukan Melayu.

Beliau memahami bagaimana rakan beragama Hindu menyambut Deepavali sebagaimana mereka memahami mengenai Islam yang dianutinya. Persefahaman inilah yang mengeratkan hubungan Melayu dan bukan Melayu di MTD dan tali persahabatan itu berkekalan ke hari tua.

MTD boleh dijadikan model sekolah yang membawa perpaduan dalam erti kata yang sebenar, bukannya slogan semata-mata. Perpaduan kaum akan menjadikan negara aman dan tenteram dan ini sudah pasti baik bagi perancangan dan pembangunan sosioekonomi negara.

* Penulis Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan.

Posted in Sinar Harian

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments