Minyak Masak Kurang Di Pasaran – Salah Siapa?

http://www.malaysiandigest.com/bahasa-malaysia/639669-minyak-masak-kurang-di-pasaran-salah-siapa.html

Apabila Adly Azamin ingin mendapatkan minyak masak di sebuah pasaraya tempatan di Lembah Klang, didapati rak yang biasanya menempatkan minyak masak kosong. Begitu juga di kedai-kedai runcit, tiada bekalan minyak masak. Beliau menjalankan perniagaan ayam goreng yang memerlukan minyak masak dalam kuantiti yang banyak.

Senario yang sama dihadapi oleh para peniaga makanan dan pengusaha kedai makan. Makcik Husna yang berniaga pisang goreng di Wakaf Bharu, Kelantan juga menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan minyak masak. Untuk pengguna biasa, jika tiada minyak masak, mereka masih boleh membeli makanan di luar atau memasak tanpa menggunakan minyak tetapi tidak bagi para peniaga kecil seperti Adly dan makcik Husna. Jika masalah ini berlarutan, golongan peniaga kecil seperti mereka akan hilang punca pendapatan. Yang pasti, aliran wang akan terjejas yang seterusnya akan memberi kesan ke atas kehidupan keluarga masing-masing.

Dalam keadaan sebegini, seperti biasa, pahlawan kekunci (keyboard warriors) akan cepat dan sangat mudah menyalahkan pihak kerajaan, sedangkan mereka harus tahu punca kekurangan minyak masak di pasaran tempatan.

Susulan pengumuman Persatuan Pekilang-pekilang Minyak Makan Malaya (Meoma) bahawa harga minyak masak dalam paket plastik 1kg dan dalam botol 5kg akan dinaikkan bermula 1 November 2016, ramai yang berebut-rebut membeli minyak masak dalam kuantiti yang banyak. Ada yang pergi ke pasaraya bersama keluarga; suami beli 2 unit minyak masak, isteri beli 2 unit; dan anak-anak turut membeli minyak masak bagi pihak ibu bapa mereka. Perbuatan ini pasti menjejaskan kestabilan stok dan bekalan minyak masak apatah lagi proses untuk mendapatkan stok minyak masak baharu daripada pemborong atau pembekal juga mengambil masa beberapa hari.

Dalam masa yang sama, ada juga pihak pengilang, pembekal dan peruncit yang menyimpan barangan tersebut demi untuk mendapatkan keuntungan lebih selepas 1 November ini apabila dijual pada harga RM2.90 jika dibandingkan RM2.50 sekilogram sekarang. Ini sudah tentu memburukkan lagi keadaan. Perbuatan-perbuatan tidak bertanggungjawab inilah yang memberi kesan kepada para pengguna yang lain.

Ramai pihak yang tidak sedar bahawa pengurangan subsidi minyak masak sebenarnya dibentangkan pada tahun lepas lagi, dalam Bajet 2016. Walau bagaimanapun, atas keprihatinan pihak kerajaan, langkah pengurangan subsidi itu ditangguhkan dahulu sehingga kini demi kesejahteraan rakyat.

Ini kerana kerajaan juga sedar kita sedang berhadapan dengan ketidakstabilan ekonomi secara amnya. Rasionalisasi subsidi ini juga bukan bertujuan untuk membebankan pengguna sebaliknya ia sebagai langkah untuk membendung kegiatan penyelewengan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani dalam laporan Mingguan Malaysia mengatakan, kerajaan mengeluarkan subsidi hampir 85,000 tan metrik sebulan tetapi penggunaan minyak masak di Malaysia hanyalah sebanyak 40,000 tan metrik sebulan. Kemanakah perginya lebih separuh lagi pengeluaran minyak masak yang diberikan subsidi oleh kerajaan ini? Ternyata ia telah diseludup ke negara jiran.

Untuk setiap tan metrik minyak masak, kerajaan membelanjakan RM1,000 subsidi. Ini bermakna lebihan 45,000 tan metrik minyak masak menyebabkan kerajaan membelanjakan nilai subsidi sebanyak RM45 juta sebulan atau RM540 juta setahun; satu jumlah yang sangat besar. Yang mengaut keuntungan ialah penyeludup yang mencuri hasil negara dan merugikan rakyat keseluruhannya kerana subsidi ini datangnya dari cukai yang dibayar oleh rakyat juga.

Penulis kagum dengan ketegasan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang mengatakan tindakan tegas akan diambil termasuk menarik lesen pembekal dan pemborong minyak masak jika mereka didapati menyorok barangan itu untuk mengaut keuntungan. Beliau juga bakal mengarahkan pegawai penguat kuasa KPDNKK untuk pergi ke syarikat-syarikat pemborong dan pembekal bagi memastikan mereka tidak menyorok bekalan.

Sinar Harian pada 28 Mac 2016 melaporkan KPDNKK Negeri Kelantan telah merampas 11,016kg minyak masak pelbagai jenama bernilai RM27,540 dalam serbuan di sebuah kedai runcit di Rantau Panjang, Kelantan.

Pengarahnya Datuk Ab Ghani Harun ketika itu berkata rampasan dalam Operasi Cost Of Living (COL) itu dilakukan selepas mendapati pemilik kedai berkenaan gagal mempamer sebarang lesen runcit dan borong. Pemilik kedai runcit itu menyimpan stok minyak masak tersebut di dalam sebuah bangunan di belakang kedainya berhampiran Sungai Golok.

Sebelum itu, Datuk Ab Ghani Harun dan beberapa pegawai KPDNKK Negeri Kelantan telah melawat dan melakukan pemeriksaan di pasaraya dan kedai runcit di sekitar Narathiwat dan Pattani dan mereka mendapati 90% daripada minyak masak yang dijual merupakan minyak masak bersubsidi keluaran Malaysia. Malahan, kedai-kedai makan di sana turut menggunakan minyak masak Malaysia.

Minyak masak Malaysia menjadi pilihan utama penduduk Thai kerana mempunyai pengesahan halal selain berkualiti tinggi, terjamin kebersihan serta harga lebih berpatutan berbanding minyak masak keluaran Thailand. Minyak masak Malaysia dijual pada harga RM3.50 di Golok manakala harganya mencecah RM4.50 sekilogram di Narathiwat dan Pattani. Perbezaan harga yang amat ketara ini memberi keuntungan berlipat ganda kepada penyeludup, sekaligus menggalakkan mereka untuk terus membawa keluar minyak masak Malaysia ke negara jiran.

Pujian harus diberikan kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin yang begitu komited untuk memastikan bekalan minyak masak sentiasa mencukupi. Beliau mengingatkan bahawa pemborong dan pembekal yang didapati menyorok minyak masak boleh didakwa di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Sekiranya didapati bersalah, mereka boleh didenda RM100,000 bagi individu dan RM250,000 bagi syarikat.

Beliau juga berkata kerajaan belum memutuskan sama ada untuk memansuhkan subsidi minyak masak dan kementeriannya juga sedang mengkaji subsidi sedia ada.

Datuk Seri Hamzah memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa harga yang bakal diperbaharui akan mengimbangi penstabilan subsidi dan harga runcit yang berpatutan. Beliau juga meminta orang ramai agar tidak menyebar khabar angin berkenaan kekurangan minyak masak di pasaran ekoran kenaikan harga minyak bermula 1 November 2016 dan pada masa yang sama para peniaga digesa membuat laporan segera sekiranya tidak mendapat bekalan yang secukupnya daripada pembekal.

 

Posted in Malaysian Digest

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments