Masyarakat Bukan Islam Tidak Harus Takut Dengan Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah

http://www.malaysiandigest.com/bahasa-malaysia/615615-masyarakat-bukan-islam-tidak-harus-takut-dengan-pindaan-rang-undang-undang-ruu-akta-mahkamah-syariah.html

Pelbagai reaksi positif dan negatif timbul apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mencadangkan pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) atau Akta 355 di Parlimen baru-baru ini.

Cadangan pindaan tersebut adalah untuk memperkasa Mahkamah Syariah yang ketika ini dibataskan kuasa hukuman kepada kadar maksimum penjara 3 tahun, denda RM5,000, dan 6 kali sebatan syar’ie. Pindaan terakhir pada tahun 1984 adalah untuk meningkatkan hukuman penjara dari 6 bulan dan denda RM1,000. Denda maksimum untuk mendera binatang ialah RM50,000 mengikut Seksyen 44(1)(d) Akta Binatang 1953; 10 kali lebih tinggi jika dibandingkan dengan denda maksimum yang boleh dikenakan oleh Mahkamah Syariah sebelum ini. Justeru had hukuman dahulu sudah lapuk dan tidak langsung menggerunkan pesalah.

Cadangan pindaan baharu ini juga hanyalah bagi meningkatkan hukuman maksimum kepada apa-apa hukuman yang selaras dengan hukum syarak selain hukuman mati. Jumlah hukuman denda, penjara dan sebatan bakal ditentukan oleh Dewan Undangan Negeri masing-masing.

Ada yang mengatakan sebatan 100 kali sebagai zalim dan tidak berperikemanusiaan. Bagi mereka yang pernah melihat demo sebatan oleh Jabatan Penjara, memang sebatan yang dikenakan amat menyakitkan. Sebatan yang dikenakan boleh mengakibatkan luka luar dan dalam, dan mengambil masa lebih sebulan untuk sembuh sepenuhnya. Justeru ada banduan yang rela menukarkan hukuman satu rotan kepada empat bulan penjara kerana tidak sanggup menahan azab sebatan.

Sebenarnya, kaedah sebatan dalam Islam jauh berbeza dengan sebatan sivil. Syarat sebatan mengikut syariah ialah ia tidak boleh mencederakan iaitu kaedah hayunan sebatan seolah-olah meletakkan buku di bawah ketiak yang tidak boleh jatuh ketika menghayun. Berbeza dengan hukuman sebat sivil di mana tukang sebat akan menghayun rotan dengan sekuat hati ke atas pesalah. Dalam Islam, hukuman rotan lebih kepada mendidik orang yang disebat, bukannya menghukum.

Masyarakat bukan Islam juga tidak perlu takut dengan Akta 355 ini kerana ia adalah khusus untuk orang Islam sahaja. Perlembagaan Persekutuan menetapkan bidang kuasa Mahkamah Syariah hanya untuk umat Islam dan Akta 355 Seksyen 2 juga menjelaskan hanya orang Islam yang boleh dibicarakan dan dihukum di Mahkamah Syariah.

Ramai, termasuk di kalangan Menteri, yang beranggapan bahawa Akta 355 merupakan pembuka jalan atau pintu belakang ke arah melaksanakan hudud sedangkan Akta 355 tiada kaitan langsung dengan pelaksanaan hukum hudud. Pelaksanaan hudud hanya berkait rapat dengan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai contoh, bagi melaksanakan hudud di Malaysia, sekurang-kurangnya tiga pindaan kepada beberapa bahagian dalam Perlembagaan perlu dilakukan dan bukan dengan meminda Akta 355 yang terhad kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah yang merujuk kepada kuasa-kuasa yang disenaraikan dalam Butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Berikut ialah 3 bahagian Perlembagaan Persekutuan yang perlu dipinda untuk melaksanakan hudud:

1) Senarai II Jadual Kesembilan untuk memasukkan tambahan bidang kuasa Jenayah ke dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah seperti yang terkandung dalam Butiran 1. Sebagai contoh, undang-undang jenayah seperti mencuri, merompak, merogol, bunuh, dan menyebabkan kecederaan (kesalahan yang wujud dalam Penal Code), terletak di bawah kuasa persekutuan dan dalam bidang kuasa Mahkamah Sivil dan polis, penjara juga terletak di bawah Persekutuan.

2) Selain daripada pindaan pada Butiran 1, kebenaran Parlimen di bawah Perkara 76A juga perlu diperoleh bagi membolehkan negeri menggubal dan melaksanakan undang-undang jenayah yang termaktub dalam senarai kuasa Persekutuan.

3) Perkara 8 juga perlu dipinda supaya tidak timbul isu pendiskriminasian dan ketidakadilan dan kesamarataan hak warga Malaysia yang dibezakan peruntukan undang-undang kerana berbeza agama. Dengan kata lain, bagi membolehkan ada dua set undang-undang jenayah kepada orang Islam dan Bukan Islam.

Perlembagaan juga hanya boleh dipinda dengan syarat majoriti, iaitu 2/3 bersamaan dengan 148 daripada 222 orang, ahli-ahli Parlimen Dewan Rakyat bersetuju menyokong sesuatu pindaan. Realitinya, sekiranya digabungkan semua ahli Parlimen beragama Islam dari UMNO, PAS, PKR, Amanah, PBB dan DAP sekalipun, jumlahnya hanya 135 orang; tidak memenuhi bilangan majoriti untuk meminda Perlembagaan. Kecuali sekiranya ahli-ahli Parlimen bukan Islam turut bersetuju dengan pindaan bagi membolehkan hukuman hudud dilaksanakan.

Hudud melibatkan hukuman yang menyentuh 6 jenis kesalahan; 4 bersifat individu atau dosa peribadi iaitu Zina, Menuduh Zina (Qazaf), Minum Arak dan Murtad; manakala 2 lagi melibatkan kesalahan jenayah awam seperti Mencuri dan Merompak. Sekarang inipun 4 jenis kesalahan ini yang melibatkan dosa peribadi (Zina, Qazaf, Minum Arak dan Murtad) sudah ada peruntukan undang-undang di bawah kuasa negeri-negeri.

Akta 355 tidak melibatkan kesalahan jenayah awam seperti mencuri dan merompak yang merupakan bidang kuasa Persekutuan. Jadi pindaan RUU ini hanya melibatkan peruntukan kesalahan-kesalahan sedia ada dalam enakmen jenayah negeri-negeri. Bukannya memperkenalkan undang-undang yang berbaur hudud.

Maka, masyarakat bukan Islam tidak perlu gusar atau curiga dengan cadangan pindaan RUU ini yang tidak kaitan sama sekali dengan mereka. Pindaan ini hanya bertujuan memperkasakan serta menaikkan taraf Mahkamah Syariah yang sekarang ini lebih rendah dari Mahkamah Majistret.

Ada yang mengatakan bahawa ketidakadilan akan berlaku jika terjadi kejadian rogol yang melibatkan orang Islam dan Bukan Islam. Orang Islam dihukum di Mahkamah Syariah manakala bukan Islam di Mahkamah Sivil. Sebenarnya, rogol bukan merupakan kesalahan jenayah di bawah bidang kuasa Negeri kerana ia terletak di bawah kuasa Persekutuan khususnya undang-undang Penal Code atau Akta Kanun Jenayah Persekutuan.

Tidak wujud situasi rakyat berhadapan dengan dua set perundangan berkaitan jenayah yang bertentangan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan kerana pindaan RUU Akta 355 tiada kaitan dengan hudud mahupun hukuman jenayah di bawah Bidang Kuasa Persekutuan. Jadi, tiada isu pertentangan dengan mana-mana bahagian dalam Perlembagaan Persekutuan.

Seorang sahabat penulis, saudara David Ong, yang menjalankan perniagaan dobi di Kepong, Selangor, turut tidak bersetuju dengan pindaan RUU Akta 355 kerana bimbang Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa yang lebih besar dan seterusnya membuka jalan ke arah pelaksanaan hukum hudud. Beliau juga nampaknya terikut-ikut dengan rentak pemimpin politik bukan Islam dari DAP, MCA, MIC, dan Gerakan.

Malah, satu-satunya EXCO MCA di Kedah, Datuk Dr Leong Yong Kong, telah mengumumkan perletakan jawatan beliau serta bertindak keluar dari MCA kerana tidak bersetuju dengan cadangan pindaan RUU Akta 355. Walau bagaimanapun, beliau telah menarik balik perletakan jawatan itu.

Seorang lagi sahabat bukan Islam, saudara See Yap Siang yang merupakan Naib Presiden sebuah bank terkemuka di ibu negara, pula tidak mempunyai masalah dengan Akta 355. Beliau membesar di negeri Kelantan dan bersahabat dengan orang Melayu serta turut bercakap dialek Kelantan. Beliau juga tidak mempunyai kepentingan politik dalam mana-mana parti. Menurut beliau, tentangan yang diterima daripada masyarakat bukan Islam berkemungkinan kerana mereka takut dengan isu hudud yang digembar-gemburkan selama ini.

Umum harus tahu bahawa Akta 355 tidak ada kaitan dengan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan (2015) kerana cadangan pindaannya hanya sekadar menambah kuasa hukuman bagi bidang kuasa jenayah yang sedia ada dalam Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1985, bukannya bagi membolehkan Mahkamah Syariah membicarakan kesalahan-kesalahan hudud dan qisas seperti yang diperuntukkan dalam KJS II (1993) 2015.

Cadangan meminda Akta 355 juga bukanlah sesuatu yang pelik kerana sejak diluluskan pada tahun 1965, akta ini sudah dua kali dipinda iaitu pada tahun 1984 dan 1988. Bezanya cuma pindaan kali ini dicadangkan oleh pihak pembangkang sebagai satu Rang Undang-undang persendirian. Ia menjadi lebih sensitif apabila dicadangkan oleh parti politik yang memperjuangkan hudud, maka ia disalah tafsir sebagai undang-undang hudud oleh sesetengah pihak.

Kesimpulannya, Akta 355 ini hanyalah semata-mata untuk memperkasa bidang perundangan syariah dengan memperluaskan kuasa hukuman Mahkamah Syariah yang telah sekian lama tidak dipinda. Ia hanya terpakai untuk umat Islam. Masyarakat bukan Islam tidak harus takut dengan cadangan pindaan Akta 355 ini yang sedikitpun tidak menjejaskan atau ada kena-mengena dengan mereka.

Pemimpin parti-parti komponen BN daripada kalangan bukan Islam juga harus sedar dan memahami perkara-perkara berkaitan Akta dan undang-undang ini dan tidak sepatutnya mengikut jejak langkah parti DAP yang kelihatan begitu anti-Islam dan dengan sengaja mencetuskan kesangsian terhadap hasrat murni umat Islam untuk memperkasa Mahkamah Syariah.

Johari Yap
Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Cawangan Kelantan

Posted in Malaysian Digest

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments