Masjid bersih ibadat sempurna

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/johari-yap/masjid-bersih-ibadat-sempurna-1.521789

MASJID yang selesa dan bersih penting untuk mencapai matlamat ibadat yang sempurna. Fungsi utama masjid adalah sebagai tempat beribadat. Ia juga dipanggil dengan nama Baitullah atau rumah ALLAH. Ia sebenarnya mempunyai fungsi yang lebih besar untuk dimanfaatkan, bukan sahaja sebagai tempat beribadah, malah juga sebagai pusat aktiviti masyarakat.

Tidak guna mempunyai surau dan masjid yang cantik dan gah, jika kebersihan tidak dijaga. Menjaga kebersihan masjid adalah tanggungjawab semua pihak agar kesuciannya sentiasa terpelihara sama ada di dalam masjid atau di sekitarnya.

Dalam kitab Fiqah Islam, bab pertama yang dibahaskan ialah bab bersuci. Bersuci merujuk penjagaan kebersihan diri, tempat, pakaian, bangunan seperti masjid, surau, rumah, sekolah, termasuklah juga hal-hal kebersihan makanan, minuman, bahan gunaan seharian seperti ubat-ubatan, kosmetik dan sebagainya.

Dalam Islam telah disyariatkan perintah menjaga kebersihan dan dianjurkan supaya umatnya sentiasa menjaga kebersihan rohani dan jasmani, yang juga bermaksud supaya umat Islam sentiasa bersih, harum wangi, kemas dan ceria dalam kehidupan seharian.

Menurut Ibnu Taymiyyah, Rasulullah SAW datang dengan membawa ajaran untuk menghindari kekotoran pada tubuh badan manusia, sebagaimana Baginda berdakwah tentang menghindari kekotoran rohani. Sememangnya, menjaga kebersihan diri dari segi rohani dan jasmani adalah satu kewajipan bagi setiap umat Islam yang akil baligh.

Penulis tertarik dengan program Kembara Masjid dan kempen “Masjid Bersih Ibadat Sempurna” yang dijalankan oleh pihak UiTM Kota Bharu dengan kerjasama Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Macma Kelantan baru-baru ini. Program ini adalah penting memandangkan Kelantan sering dikaitkan dengan masalah kebersihan, termasuk isu sampah di dalam longkang di sepanjang jalan bersebelahan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa.

Menurut pengerusi program tersebut, Dr. Norazida Mohammad, yang juga Penolong Rektor UiTM Kelantan, sebagai anak jati Kelantan, beliau ingin melihat Kelantan secara amnya, dan Kota Bharu khasnya, sentiasa terjaga kebersihan masjidnya. Antara objektif program tersebut adalah untuk menyemai semangat bergotong-royong dan bekerjasama antara pelajar UiTM dan ahli-ahli jawatankuasa masjid serta jemaah dan penduduk di sekitar masjid.

Program yang disasarkan untuk membersihkan tujuh buah masjid di setiap daerah di Kelantan itu dimulakan dengan daerah Kota Bharu dan akan dituruti dengan daerah-daerah lain di Kelantan. Selain kebersihan, mereka juga turut membantu masjid mendapatkan dana luar bagi menggantikan peralatan kelengkapan jenazah yang telah uzur, serta mendapatkan van jenazah yang baharu.

Penulis pernah menulis mengenai tiga anak muda yang menggelar diri mereka Geng Cuci Masjid. Mereka telah mengembara dengan berjalan kaki ke seluruh Semenanjung Malaysia untuk membersihkan masjid-masjid. Mereka berjalan sejauh 2,353 kilometer selama 239 hari. Kini, mereka berada di Kuching, Sarawak untuk meneruskan misi bersihkan masjid di Sarawak dan Sabah pula.

Pada zaman Rasulullah SAW, ada seorang wanita berkulit hitam bernama Ummu Mahjan. Dia sering membersihkan masjid Nabawi. Abu Hurairah menceritakan bahawa satu hari Rasulullah SAW bertanyakan tentang Ummu Mahjan yang tidak kelihatan sekian lama dan para sahabat memberitahu beliau telah meninggal dunia.

Baginda berkata, “Mengapa kalian tidak memberitahu aku?”. Seolah-olah mereka meremehkan kematian wanita itu. “Tunjukkan aku kuburnya,” pinta Baginda. Mereka menunjukkan kubur Ummu Mahjan lalu Rasulullah SAW pun bersolat jenazah dan kemudiannya Baginda berkata lagi, “Ahli kubur ini dilitupi kegelapan. Namun, ALLAH meneranginya sebab solat dan doaku kepada mereka.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud, “Barang siapa yang mengeluarkan kotoran dari masjid maka ALLAH akan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga.” (Riwayat Ibnu Majah). Jika kita dapat melihat sebuah rumah yang menanti di syurga untuk mereka yang sentiasa menjaga kebersihan masjid, pasti ramai yang berebut-rebut menawarkan diri untuk membersihkan masjid.

Masjid adalah satu tempat mulia dan soal kebersihan perlu diberi keutamaan sesuai dengan kemuliaannya. Semoga dengan adanya kempen kebersihan masjid dan usaha-usaha yang berterusan oleh pelbagai pihak, kesedaran tentang menjaga kesucian dan kebersihannya akan meningkat. Secara tidak langsung, usaha ini juga menanam sifat cintakan kebersihan. Sesungguhnya kebersihan sebahagian daripada iman.

* Penulis Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

Posted in Sinar Harian

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments