Manusia dan penciptaan nyamuk

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/johari-yap/manusia-dan-penciptaan-nyamuk-1.560050

APAKAH yang keluar di benak fikiran kita bila mendengar perkataan nyamuk? Mungkin setiap orang mempunyai jawapan yang berbeza. Mungkin juga ramai yang terbayangkan satu makhluk bertubuh kecil yang meskipun barangkali dengan sekali tepuk sudah mati namun amat berbahaya. Mungkin juga ada yang teringatkan iklan Mopiko yang digunakan untuk menghilangkan kegatalan akibat digigit nyamuk.

Nyamuk tidak mengenal mangsa. Tidak kenal tua atau muda. Tidak kenal profesion. Sahabat penulis kehilangan ibu beliau yang berumur 64 tahun akibat gigitan nyamuk aedes yang mengakibatkan denggi berdarah.

Seorang doktor yang sedang menyambung pelajaran dalam kepakaran bedah mulut di Pusat Pengajian Sains Pergigian USM juga baru meninggalkan kita semua akibat denggi berdarah. Beliau yang berusia 33 tahun meninggalkan isteri yang dikahwininya tiga tahun yang lepas.

Selain mengakibatkan demam denggi, nyamuk juga membantu dalam penyebaran wabak Malaria, Chikungunya, West Nile dan Rift Valley. Virus Zika, yang kembali membimbangkan dengan kes terbaharu dilaporkan di Klang, juga turut disebarkan oleh nyamuk. Wanita tersebut disahkan dijangkiti Zika sekembalinya dari Singapura. Angka terbaharu penularan kes Zika di Singapura setakat artikel ini ditulis telah meningkat kepada 115 kes, manakala di Thailand pula seramai 97 orang telah dikesan dijangkiti Zika.

Zika telah mencapai tahap epidemik dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkannya sebagai masalah kecemasan di peringkat global pada 1 Februari 2016.Virus Zika sudah dikesan di 67 negara di seluruh dunia.

Wanita mengandung dan yang bercadang untuk mengandung mempunyai risiko paling tinggi. Virus boleh dipindahkan kepada kandungan dan menyebabkan berlakunya kecacatan tumbesaran kepala dan otak yang dipanggil microcephaly.

Kenapa ALLAH ciptakan nyamuk yang menyebabkan manusia terseksa, sakit mahupun mati? Apa gunanya nyamuk ini? ALLAH SWT berfirman dalam al-Quran: “Dan kami tidak menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya tanpa hikmah.” (Surah S?d, ayat 27)

Ketahuilah bahawa semua ciptaan ALLAH ada tujuan dan bukannya sia-sia, semuanya penuh hikmah, mempunyai manfaat yang dapat diambil oleh manusia yang beriman dan berilmu.

Jika kita hanya memikirkan akibat buruk digigit nyamuk, kita perlu renungi kembali ayat, “…boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu…” (Surah al-Baqarah, ayat 216)

Mungkin kita tidak sedar bahawa jentik-jentik merupakan makanan kepada ratusan spesies ikan, serta membantu dalam ekosistem perairan dengan memakan daun-daun busuk serta mikroorganisma dalam air. Jentik-jentik juga menghasilkan zat nitrogen yang bermanfaat bagi tanaman. Nyamuk pula berada dalam rantaian makanan spesies lain seperti katak, kodok dan cicak.

Tahukah kita bahawa nyamuk memiliki 100 mata di kepalanya, 48 gigi di mulutnya, tiga jantung di perutnya, enam pisau di belalainya yang masing-masing mempunyai fungsi yang berbeza, serta tiga sayap pada setiap sisinya. Nyamuk dilengkapi dengan alat bius yang menyebabkan manusia tidak sedar apabila dicucuk. Yang terasa seperti gigitan adalah kesan hisapan darah.

Terdapat beberapa peringatan yang boleh kita ambil daripada penciptaan nyamuk. Pertama, seorang pemimpin atau penguasa tidak perlu sombong dengan kuasa mereka kerana ALLAH SWT lebih berkuasa. Hayatilah kisah Raja Namrud yang zalim dan sangat berkuasa tetapi mati akibat seekor nyamuk walaupun mempunyai ratusan ribu bala tentera.

Kedua, kebersihan harus dijaga dan pendidikan mengenainya mesti bermula dari rumah. Tanggungjawab menjaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama, antara komuniti dengan pihak berkuasa tempatan. Bukankah kebersihan itu juga sebahagian daripada iman?

Ketiga, kita tidak perlu menunggu usia tua untuk melipatgandakan ibadah dan  menjadi insan yang baik, yang taat pada ALLAH yang menciptakan kita. Kita tidak tahu berapa lama lagi masa yang ada untuk kita di bumi-Nya ini. Hanya dengan satu gigitan nyamuk aedes boleh mengakibatkan denggi berdarah yang boleh membawa maut.

Ambillah iktibar, jalanilah kehidupan mengikut cara yang dianjurkan oleh Yang Menciptakan. Semoga kita mendapat keselamatan di dunia dan di akhirat.

Posted in Sinar Harian

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments