Maik & pendidikan Islam di Kelantan

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/johari-yap/maik-pendidikan-islam-di-kelantan-1.638704

NEGERI Kelantan terkenal dengan gelaran Serambi Makkah. Selain itu, Kelantan juga dikenali dengan nama Tanah Rendah Sekebun Bunga, Tanjung Pura dan Negeri Cik Siti Wan Kembang.

Menurut kajian Dr Arba’iyah Mohd Noor, Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah di Universiti Malaya, terdapat bukti bahawa Islam sudah lama bertapak di Kelantan. Antaranya adalah penemuan syiling emas pada tahun 1912 di Istana Kubang Labu yang tercatat padanya al-Julus Kelantan 577 dalam tulisan Arab dan di sebelah ia pula tertulis almutawakil.

Mata wang ini membuktikan agama Islam telah mula bertapak di Kelantan selewat-lewatnya pada abad ke-12 berbanding Melaka pada abad ke-15. Ia juga membuktikan bahawa aktiviti perdagangan menggunakan wang dinar emas telah berlaku di Kelantan ketika itu. Kelantan dipercayai bukan sahaja menjadi tumpuan pedagang Islam malah juga terkenal sebagai pusat pendidikan Islam di Tanah Melayu.

Sejajar dengan gelaran Serambi Makkah, Kelantan terkenal dengan institusi pengajian pondok. Pengajian pondok pertama bermula di Pulai Chondong yang terletak di Jalan Kota Bharu – Kuala Krai pada tahun 1820. Ia diasaskan oleh Tok Pulai Chondong, atau nama sebenarnya Haji Abdul Samad bin Haji Abdullah bin Haji Hasyim Pulai Chondong al-Kalantani, yang lahir pada tahun 1792 ketika pemerintahan Long Yunus (1762-1794).

Terdapat pendapat lain yang mengatakan pondok pertama bermula pada zaman pemerintahan Long Jenal yang dibina oleh Haji Ismail di Machang. Pondok-pondok lain yang turut ditubuhkan termasuk Pondok Kubang Pasu, Kota Bharu (1850); Pondok Tok Bachok (1900); Pondok Haji Abdul Malek, Kampung Sungai Pinang, Tumpat (1907) dan Pondok Haji Yusof, Pulau Ubi, Tumpat (1908).

Pertumbuhan sekolah pondok yang pesat ini berikutan terdapat puluhan tokoh ulama dan cendekiawan yang belajar agama di Pattani dan Makkah yang telah kembali ke Kelantan sekitar hujung abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Sekolah-sekolah pondok ini mula mendapat saingan daripada sekolah sekular yang ditaja oleh British dengan terbinanya sekolah sekular yang pertama di Kota Bharu pada tahun 1904. Penjajah British menggunakan pelbagai cara untuk menarik rakyat tempatan memasuki sekolah mereka, antaranya dengan mengatakan sekolah pondok adalah primitif dan silibus pengajian pondok terlalu sedikit, iaitu sekadar mengajar murid menulis serta membaca.

Pada 24 Disember 1915, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) telah ditubuhkan melalui satu perisytiharan oleh KDYMM Sultan Muhammad ke-IV. Penubuhannya bertujuan untuk menasihati KDYMM Sultan selaku ketua agama berkenaan hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu Kelantan.

Walaupun pengajian pondok sangat berpengaruh ketika itu, pengajian agama berbentuk persekolahan telah ditubuhkan pada 5 Ogos 1917 apabila Maik menubuhkan sekolah pertamanya, iaitu Madrasah Muhammadiyah Al-Kalantaniah bagi pelajar lelaki. Seramai 310 pelajar sulungnya terdiri daripada anak-anak Kelantan dan juga pelajar luar.

Madrasah Muhammadiah bagi pelajar wanita telah dibuka pada tahun 1932. Kemuncak perkembangan Madrasah Muhammadiyah ialah pada tahun 1937 dengan tertubuhnya Madrasah Muhammadiyah (Arabiah) yang dibina di Jalan Sultan, Kota Bharu.

Mengambil berat tentang pendidikan Islam di Kelantan, Maik telah menubuhkan jabatan khas untuk menguruskan hal ehwal pendidikan, khususnya berhubung sekolah-sekolah di bawah kelolaan Maik. Jabatan ini diketuai oleh seorang nazir yang dikenali sebagai Pegawai Pelajaran. Perkembangan pesat sekolah-sekolah agama di bawah Maik menyebabkan Kelantan terkenal dengan pendidikan agama.

Pada tahun 1945, terdapat lapan sekolah agama di bawah Maik, antaranya ialah Madrasah Muhammadiyah; Jami’ Merbau al-lsma’ili; Madrasah lbrahimiah (Pasir Putih); Madrasah Falahiah (Pasir Pekan, Tumpat); Madrasah Arabiah (Pasir Mas) dan Madrasah Ya’akubiah, Nipah (Bachok). Jumlah ini bertambah menjadi 14 sekolah pada tahun 1952.

Maik telah menjalankan tugasnya sebagai institusi agama yang bertanggungjawab membangunkan pendidikan agama di Kelantan sebelum pentadbiran sekolah-sekolah ini diambil alih oleh kerajaan negeri pada pertengahan 1970-an.

Semoga Maik berjaya dalam mencapai semua objektif penubuhannya dan terus berkembang maju. Terima kasih Maik.

Posted in Sinar Harian

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments