Ketupat chang di Aidilfitri

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/johari-yap/ketupat-chang-di-aidilfitri-1.542698

KETUPAT merupakan makanan tradisi Melayu dan salah satu kemestian semasa hari raya, sama ada Hari Raya Puasa atau Haji. Ketupat bukan sahaja terkenal di Malaysia, malah di Indonesia, Filipina, Singapura dan Brunei. Secara umumnya, terdapat dua jenis ketupat dalam masyarakat Melayu.

Satu diperbuat daripada beras yang dibungkus dengan daun kelapa yang telah dibentuk menjadi kelongsong empat segi dan direbus sehingga masak.

Manakala satu lagi dihasilkan daripada beras pulut yang ditanak separuh masak sebelum dimasukkan ke dalam kelongsong tiga segi yang diperbuat daripada daun palas sebelum direbus sehingga masak sepenuhnya.

Ada yang meletakkan kacang ke dalam ketupat palas sebagai variasi. Ketupat palas versi Kelantan agak manis kerana ditambah gula, selain santan dan garam. Ada juga yang meletakkan serunding daging sebagai inti.

Masyarakat Cina juga sebenarnya mempunyai ketupatnya yang tersendiri. Ketupat chang (bak chang) merupakan makanan tradisi masyarakat Cina yang biasanya disediakan menjelang Pesta Duan Wu (Pesta Bot Naga) yang lazimnya disambut pada pertengahan tahun kalendar Cina. Tetapi sekarang ketupat chang boleh dinikmati sepanjang tahun dan semakin dikenali malah turut diminati oleh kaum lain di Malaysia.

Sebagaimana ketupat palas, ketupat chang juga menggunakan beras pulut tetapi turut dicampur dengan bahagian kuning (yolk) telur masin, cendawan shitake, buah berangan, lada hitam, bawang putih dan merah, kicap pekat dan cair, sos tiram, rempah, gula, garam, dan daging (atau ayam) yang dibalut dengan daun buluh.

Ini ialah resipi ketupat chang etnik Hokkien yang mungkin berbeza dengan ketupat chang lain. Etnik Hakka menggunakan tepung pulut, bukannya beras pulut, dengan inti yang berlainan seperti udang kering, lobak putih kering, bawang merah, dan cendawan, manakala etnik Kantonis tidak menggunakan kicap langsung. Ada pula yang membuat ketupat chang kosong yang dipanggil ‘kee chang’ yang dimakan dengan gula atau kaya.

Ketupat chang tahan lama dan boleh disimpan dengan menggantungnya di tempat dingin dan kering selama seminggu. Ia juga boleh disimpan di dalam peti sejuk dan dikukus semula sebelum dimakan. Kini ketupat chang halal begitu senang didapati. Ia biasanya disediakan sama ada oleh Cina Muslim atau masyarakat Melayu yang telah mahir membuat ketupat chang.

Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang terbesar di Malaysia dan disambut dengan meriah dalam suasana muhibah. Ia sinonim dengan orang Melayu yang merupakan kaum majoriti, terutamanya di Semenanjung Malaysia.

Maka ia lazimnya dikaitkan dengan baju Melayu, samping dan songkok. Makanan yang dihidangkan pula ialah makanan tradisi Melayu seperti lemang, ketupat dan rendang.

Menurut Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin, masih ramai orang bukan Islam di Malaysia melihat perayaan Aidilfitri sebagai perayaan ‘Tahun Baru Melayu’ walaupun dalam keadaan kaum atau bangsa lain yang beragama Islam turut merayakannya sama ada buat pertama kali atau sekian kalinya selepas menerima Islam sebagai panduan hidup.

Dalam usaha mengubah persepsi ini, beliau membuat kelainan dengan menghidangkan ketupat palas dan ketupat chang untuk tetamu yang mengunjungi rumah beliau. Menurut Prof Dr Taufiq Yap, kedua-duanya boleh menjadi hidangan di Aidilfitri kerana Aidilfitri tidak membataskan bangsa dan keturunan.

Ini dilihat sebagai memecah tradisi. Ketupat Melayu dan ketupat Cina yang tidak pernah bertemu selama ini telah bersatu di atas pinggan yang sama untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri. Ia menjadi simbolik kepada pengharapan untuk perpaduan antara masyarakat Melayu dan Cina yang sering dipolitikkan untuk tidak menyantuni satu sama lain.

Selain itu, ia juga memberi kelainan kepada juadah Aidilfitri. Hidangan yang mampu membuatkan kaum Cina berasa lebih selesa (feel at home) dan pada masa yang sama seronok menikmati ketupat Melayu bersama rendang atau kari.

Manakala orang lain juga boleh mencuba ketupat chang yang mungkin belum dikenali dan belum pernah dirasai. Begitulah keindahan Aidilfitri; hari kemenangan bagi mereka yang telah sebulan berpuasa dan kita berkongsi kegembiraan dan kesyukuran itu bersama-sama.

* Johari Yap, Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

Posted in Sinar Harian

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments