Keluarga Chan yang patriotik

http://www.sinarharian.com.my/mobile/kolumnis/johari-yap/keluarga-chan-yang-patriotik-1.727965

SAMBUTAN Hari Kebangsaan Ke-60 telah pun berlalu. Saya amat tertarik dengan sambutan tahun ini terutamanya upacara membaca ikrar Rukun Negara.

Laksamana Pertama Chan Peng Cheong, 54, yang diiringi dua anak lelaki beliau, Leftenan Chan Jun Shen TLDM (27 tahun) dan Leftenan Madya Chan Jun Kwan TLDM (23 Tahun), antara yang terpilih untuk upacara pembacaan ikrar Rukun Negara tahun ini.

Ketiga-tiga mereka segak berpakaian seragam putih Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Laksamana Pertama Chan Peng Cheong kini bertugas di Markas Angkatan Bersama sebagai Asisten Ketua Staf J7. Anak sulung beliau, Chan Jun Shen bertugas sebagai Jurutera Udara di Squadron 502 Fennec di Pangkalan TLDM Lumut. Manakala, anak bongsu, Chan Jun Kwan yang juga berkelulusan kejuruteraan, sekarang berada di KD Sultan Idris 1 untuk menjalani Kursus Aplikasi Pegawai Muda sebelum diperjawatkan ke unit-unit TLDM.

Menurut Chan Jun Shen, mereka tiga beradik kesemuanya lelaki. Adik beliau (anak kedua) Chan Jun Win, 25 tahun, baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang perubatan di Rusia. Beliau bakal ditauliahkan ke dalam perkhidmatan Tentera Darat Malaysia. Oleh kerana belum ditauliahkan, hanya dua beradik yang turut serta dengan bapa mereka dalam upacara bersejarah ini.

Saya berasa bangga melihat keluarga yang patriotik ini. Mereka inilah yang akan mengalirkan darah untuk mempertahankan negara jika berlaku peperangan. Mereka juga akan memastikan keamanan negara untuk memastikan rakyat Malaysia dapat hidup dengan tenang dan selamat. Darah patriotik yang mengalir dalam badan Chan Peng Cheong kini diwarisi ketiga-tiga anak lelaki beliau yang turut menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Lebih menarik lagi, Chan Peng Cheong merupakan bekas pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD) dan ketiga-tiga anak lelakinya juga telah mengikuti jejak langkahnya memasuki sekolah berasrama penuh yang berprestij itu. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Tidak hairan jika mereka mempunyai semangat patriotik yang tinggi kerana pelajar MTD sememangnya dilatih untuk mencintai negara.

Ketika Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dilempar dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan di media sosial susulan kematian salah seorang kadet TLDM kerana disyaki didera rakan sepasukan, Chan Jun Shen turut bangun mempertahankan UPNM menerusi blog beliau. Beliau yang melanjutkan pelajaran di UPNM selepas MTD menjelaskan bahawa penderaan bukanlah budaya di UPNM. Menurutnya, kemalangan yang berlaku adalah kes terpencil dan tidak mencerminkan keseluruhan UPNM.

TLDM merupakan salah satu cabang ATM dan bertanggungjawab ke atas operasi pengawasan dan pertahanan maritim negara. Penguasaan TLDM meliputi lebih 600 kilometer persegi, hampir dua kali ganda keluasan daratan Malaysia, dan merangkumi kawasan persisiran dan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

Mungkin ada antara kita yang tertanya-tanya, mengapa pegawai TLDM yang biasanya terpilih untuk menaikkan atau menurunkan bendera dalam sesuatu upacara bersejarah, terutama semasa sambutan Hari Kemerdekaan? TLDM menjadi pilihan kerana mereka mengamalkan tradisi ‘Colours’ setiap 8 pagi dan juga ketika matahari terbenam setiap hari.

Colours merujuk kepada beberapa jenis panji atau bendera TLDM yang mempunyai warna, corak dan maksud tersendiri. Tradisi Colours adalah tradisi menaikkan dan menurunkan panji-panji ini. Pengibaran bendera juga dilakukan semasa operasi kapal di laut untuk memberi isyarat dan menyampaikan maklumat (message).

Pengurusan kibaran bendera dipandang sebagai tradisi yang penting dan serius terutama pada hari-hari kebesaran. Atas kemahiran dan kecekapan TLDM dalam pengendalian bendera, mereka menjadi pilihan utama untuk acara tersebut semasa sambutan hari-hari kebesaran negara. Unit-unit TLDM akan menaikkan pelbagai bendera sebagai tanda meraikan hari tersebut.

Umum mengetahui tidak ramai masyarakat Cina yang ingin menganggotai angkatan bersenjata Malaysia. Begitu juga perkhidmatan awam Malaysia. Ini mungkin disebabkan ramai antara mereka dilahirkan dalam keluarga peniaga dan mereka lebih selesa berniaga atau bekerja sendiri. Maka, sifat patriotik yang ditonjolkan oleh keluarga Chan ini sangat unik dan amatlah dipuji. Semoga lebih ramai masyarakat Cina akan mengikut jejak langkah mereka. Contohilah keluarga Chan. Kepada Laksamana Pertama Chan Peng Cheong, saya tabik Tuan!

* Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

Posted in Sinar Harian

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments