Kebajikan jarak jauh

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/johari-yap/kebajikan-jarak-jauh-1.577155

KITA biasa dengar istilah pengajian jarak jauh, di mana seseorang menimba ilmu pengetahuan secara jarak jauh tanpa perlu pergi ke kelas atau dewan kuliah. Komunikasi dengan pensyarah kebiasaannya melalui emel atau telefon dan kini dipermudahkan lagi dengan adanya aplikasi seperti WhatsApp, Telegram, WeChat dan sebagainya.

Sebagaimana pendidikan yang boleh dilakukan secara jarak jauh, begitu juga dengan kerja kebajikan. Apabila kita terbaca mengenai kesusahan atau musibah yang menimpa sesebuah keluarga, sama ada melalui surat khabar atau media sosial; siaran berita atau program televisyen seperti Bersamamu dan Man Jadda Wajada; mesej yang disebarkan melalui WhatsApp dan sebagainya, kita boleh berkomunikasi dengan mereka yang terlibat dan menghulurkan sumbangan tanpa perlu bertemu secara fizikal.

Kita sekarang berada dalam dunia tanpa sempadan. Berita mengenai sesuatu yang baru berlaku di Batu Pahat, Johor boleh diketahui dalam jangka masa yang singkat oleh orang yang tinggal di Wakaf Bharu, Kelantan. Malah, kita juga boleh tahu keadaan di Mesir, Makkah, London, Paris mahupun New York tanpa bersusah-payah ke sana. Semuanya di hujung jari.

Dalam era ledakan teknologi maklumat, berita dan maklumat dapat disebarkan dengan cepat kepada lebih ramai orang. Antara kesannya, orang ramai mempunyai lebih banyak ruang dan peluang untuk membuat kebajikan dengan berkongsi berita dan memberikan sumbangan secara atas talian serta mengikuti perkembangan satu-satu keluarga atau kes dari jauh. Pendanaan orang ramai, atau crowdfunding, merupakan salah satu cara alaf baharu bagi mendapatkan dana, lebih-lebih lagi untuk kebajikan.

Sebagai contoh, Ir Meor Shamshir yang merupakan Pengerusi Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan, menggunakan kaedah crowdfunding bagi menggerakkan kerja amal membantu golongan asnaf. Melalui kelab tersebut, Meor banyak membantu golongan asnaf dengan memberi bantuan pendidikan seperti tuisyen percuma, menaja baju serta yuran persekolahan anak-anak asnaf.

Kelab tersebut turut memghulurkan bantuan-bantuan lain seperti membiayai kos perubatan mengikut keperluan, menampung bayaran bil elektrik agar bekalan elektrik tidak dipotong atau dapat disambung semula, menyelesaikan tunggakan sewa rumah dan juga membantu asnaf memulakan atau meneruskan perniagaan di bawah program Asnaf Niaga.

Dengan penubuhan kelab tersebut pada 24 Jun 2015, Meor telah menyewa sebuah rumah banglo yang dinamakan Rumah Asnaf di Tanjung Mas, Kota Bharu sebagai pusat operasi rasmi kelab. Setiap hari Jumaat, program Dapur Asnaf diadakan dengan memberi makan tengah hari percuma kepada kira-kira 500 orang daripada golongan asnaf.

Menurut Meor, mendapatkan sumbangan orang ramai bukan semudah yang difikirkan. Ia memerlukan usaha bersepadu dan bersungguh-sungguh serta jaringan yang luas. Kadangkala, perlu menggunakan duit sendiri apabila tidak cukup dana untuk membiayai aktiviti Dapur Asnaf, sebagai contoh.

Mungkin dipermudahkan sedikit bagi beliau kerana sebagai Ahli Majlis Tertinggi Majlis Belia Kelantan, Pengerusi Kelab-kelab Belia Malaysia Kelantan, Pengerusi Persatuan Kebajikan Tahfiz Kelantan, Pengerusi Persatuan Jurutera Kelantan, Yang Dipertua Badan Muafakat MRSM Pengkalan Chepa, dan jawatan-jawatan lain yang disandangnya, Meor mempunyai rangkaian sosial yang luas. Melalui jaringan ini jugalah beliau mendapatkan dana, daripada dan menerusi sahabat dan kenalan, selain orang awam.

Semua aktiviti dan program dikongsi dalam laman Facebook. Ada kalanya Meor dikecam kerana dikatakan suka menunjuk-nunjuk sedangkan beliau hanya ingin mengajak lebih ramai lagi ahli masyarakat untuk sama-sama membuat kebaikan. Ia juga salah satu cara memberi laporan kepada masyarakat umum bagaimana sumbangan yang diterima dibelanjakan.

Selain Meor, penulis juga mengenali Roxhana Omar, pengasas Pertubuhan Kebajikan Pergerakan Adil, yang setiap hari turun padang di sekitar daerah Pasir Mas dan berdekatan untuk menyantuni mereka yang susah dan miskin serta menghulurkan bantuan. Beliau membantu mendapatkan bantuan zakat bagi mereka yang layak. Roxhana turut menggunakan konsep crowdfunding untuk menyalurkan bantuan kepada yang memerlukan.

Semoga golongan yang menggerakkan usaha-usaha seperti ini dan mereka yang memberikan sumbangan dari jauh mendapat reda dan ganjaran yang berlipat ganda daripada ALLAH SWT dan semoga semakin ramai yang turut serta.

Posted in Sinar Harian

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments