Hilman pelapis Jimmy Choo

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/johari-yap/hilman-pelapis-jimmy-choo-1.653689

MUNGKIN ramai yang masih belum mengenali kasut jenama Hilman Authentic. Hilman Authentic adalah jenama kasut yang memberi lebih ketinggian kepada pengguna yang memakainya. Ia telah dilancarkan di Malaysia pada Disember 2016.

Jenama tersebut mendapat sambutan luar biasa; dalam masa tiga bulan sahaja, hampir 1,500 pasang kasut telah ditempah.

Apa yang membezakan kasut Hilman Authentic dengan kasut lain adalah selain mengambil kira unsur fesyen, ia membantu menyelesaikan masalah pengguna yang kurang ketinggian untuk tampak lebih tinggi.

Walaupun baru beberapa bulan dilancarkan, jenama Hilman Authentic telah berjaya menembusi pasaran Singapura dan Indonesia.

Apakah yang membuatkan kasut Hilman Authentic berjaya menarik perhatian penggemar fesyen dan mendapat sambutan yang memberangsangkan?

Pertama, pengasasnya adalah seorang pemuda berusia 29 tahun, pemilik nama Muhammad Noor Hilman yang merupakan bekas pelajar Maktab Tentera Diraja.

Beliau bersama rakannya, Mohd Rizal Asli (Pengurus Pembangunan) yang berusia 30 tahun, dibantu dua wanita berusia 25 tahun, Azne (Pengurus Pemasaran) dan Nurjawahir (Pereka Kreatif).  Mereka merupakan golongan anak muda yang bercita-cita tinggi untuk menakluki pasaran antarabangsa dalam bidang fesyen.

Kedua, mereka telah membuat kajian mendalam mengenai potensi pasaran. Kajian mereka menunjukkan tinggi purata penduduk Malaysia adalah 164sm dengan 75 peratus daripadanya mempunyai ketinggian di bawah 170sm.

Mereka juga mendapati ramai yang berkeinginan untuk menjadi atau tampak lebih tinggi atas pelbagai sebab.

Ini bermakna, untuk pasaran tempatan sahaja, mereka mempunyai 24 juta prospek pelanggan.

Atas dorongan inilah Hilman dan rakan-rakannya mencipta kasut yang mampu meningkatkan ketinggian pengguna sebanyak 7sm. Menariknya, kasut ini nampak sama seperti kasut lain.

Ketiga, selain keunikannya yang mampu menambah ketinggian, ia juga dicipta dengan mengutamakan kualiti bagi memastikan keselesaan maksimum kepada pengguna.

Insole Increaser Hilman Authentic diperbuat daripada bahan bermutu tinggi.

Reka bentuknya turut membantu pengguna membaiki postur tulang belakang dengan mengelakkan mereka daripada membongkok ketika berdiri atau berjalan.

Keempat, ia menggunakan kulit (leather) gred A sahaja bagi mengekalkan ciri-ciri mewah dan elegan. Selain penggunaan kulit asli berkualiti tinggi, hanya 30 peratus daripada pembuatan kasut ini menggunakan mesin manakala 70 peratus diperbuat dengan tangan (handmade).

Kelima, sesuai dengan gaya hidup kini dan pengalaman serta minat Hilman dan rakannya, mereka fokus menaikkan jenama Hilman Authentic secara atas talian.

Berada dalam fasa mencipta brand awareness, mereka optimis dengan strategi ini dan menyasarkan 1 juta pengguna tempatan dalam masa enam bulan. Mengikut penilaian berdasarkan prestasi jualan, mereka mampu untuk menjual sekurang-kurangnya 5,000 pasang kasut.

Keenam, mereka juga menggunakan pelbagai platform seperti Lazada, Facebook, Instagram, Amazon, eBay, jerayawara (roadshows), dan lain-lain untuk mencapai sasaran jualan. Setelah enam bulan pertama, mengambil peluang atas kemerosotan mata wang Malaysia dan elevated shoes yang dijual pada harga tiga kali ganda di Eropah, mereka akan meluaskan fokus ke benua Eropah.

Siapa sangka anak muda kelahiran Shah Alam yang mempunyai kelulusan dalam bidang kejuruteraan marin ini akan mempunyai label fesyen sendiri. Kerana minatnya, Hilman berani melawan arus menceburkan diri dalam dunia fesyen dan perniagaan.

Kita mempunyai anak kelahiran Pulau Pinang, Datuk Jimmy Choo, yang terkenal di persada antarabangsa dalam bidang pembuatan kasut eksklusif.

Jenama Jimmy Choo dikaitkan dengan gaya, kemewahan dan ketulenan, serta menjadi kegilaan selebriti di serata dunia. Namun, harga sepasang kasut wanita boleh mencecah ribuan dolar Amerika. Orang kebanyakan mungkin agak sukar memilikinya atas faktor harga.

Kini, negara mempunyai seorang pelapis dengan jenama kasut Hilman Authentic. Hilman percaya semua orang harus diberi peluang untuk bergaya.

Kerana itulah kasut Hilman Authentic dijual pada harga mampu milik. Beliau mahu membuktikan bahawa Hilman Authentic bukan sekadar impian kosong atau angan-angan Mat Jenin tetapi sememangnya mampu bersaing dengan jenama-jenama besar di pasaran antarabangsa.

Semoga Hilman berjaya meluaskan empayar Hilman Authentic dalam bidang fesyen, tidak menjurus kepada kasut semata-mata. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Posted in Sinar Harian

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments