Hidup Dan Mati Menurut Perspektif Neurosains Dan Agama

http://www.malaysiandigest.com/bahasa-malaysia/701207-hidup-dan-mati-menurut-perspektif-neurosains-dan-agama.html

Apabila disebut kematian, apa yang biasanya kita faham ialah pernafasan dan jantung berhenti berdenyut buat selama-lamanya. Antara yang biasa dilakukan untuk mengesahkan kematian adalah dengan meletakkan telinga pada dada individu yang disyaki meninggal dunia bagi mengesan degupan jantung, memeriksa pernafasan juga nadi di pergelangan tangannya.

Otak seseorang yang telah mati juga tidak lagi berfungsi; si mati tidak akan dapat bercakap, bergerak, membuka mata, bernafas dan lain-lain. Tubuh badan pula akan menjadi sejuk, warna kulit berubah menjadi kebiru-biruan dan anggota tubuh menjadi kaku. Dengan kemajuan teknologi yang membawa kepada wujudnya mesin bantuan pernafasan dan ubat-ubatan khas, kaedah untuk mengesahkan kematian secara konvensional seperti yang dinyatakan di atas mungkin tidak dapat digunapakai dalam sebilangan kecil kes.

Menurut Profesor Dr. Zamzuri Idris, Ketua Jabatan Neurosains di Hospital USM, terdapat dua jenis kematian. Kematian biasa adalah apabila jantung berhenti berdegup yang akan mengakibatkan otak berhenti berfungsi setelah 4 minit darah tidak dialirkan ke otak. Kematian otak pula adalah bilamana jantung masih berdegup tetapi otak langsung tidak berfungsi.

Seseorang yang telah mati otak berada dalam keadaan koma dan memerlukan alat bantuan pernafasan. Ini kerana otak yang antara lain mengawal sistem pernafasan sudah tidak lagi berfungsi. Kematian otak disahkan melalui kriteria pemeriksaan saraf dan fungsi otak. Kaedah pemeriksaan pernafasan dan denyutan jantung tidak dapat digunakan dalam kes seperti ini.

Dalam kes sebegini, istilah atau konsep ?menghembuskan nafas terakhir” tidak lagi sesuai untuk menggambarkan kematian kerana pernafasan pesakit dikawal sepenuhnya oleh mesin dan pesakit sebenarnya telah pun menghembuskan nafas yang terakhir tanpa disedari. Jasad pesakit kelihatan seperti hidup dan dada berombak seolah-olah bernyawa kerana bantuan mesin pernafasan. Sekiranya mesin itu dimatikan, nafas tidak akan pulih dan jantung akan berhenti dalam masa beberapa minit sahaja.

Kematian otak boleh berlaku jika terdapat kecederaan atau pendarahan teruk dalam kepala menyebabkan otak menjadi bengkak dan tersekatnya aliran darah ke otak. Tiada aliran darah yang membawa oksigen ke otak, termasuk pangkal otak yang mengawal sistem pernafasan dan denyutan jantung, menyebabkan otak menjadi rosak dan bengkak sehingga akhirnya otak akan mati.

Ketika itu, pesakit sebenarnya telah meninggal dunia apabila otak hilang fungsi secara kekal dan tidak dapat dirawat dengan apa cara sekalipun. Jantung kelihatan berdenyut dan mesin pernafasan masih mengalirkan udara ke paru-paru tetapi otak pesakit tidak lagi berfungsi. Dalam keadaan sebegini, pengesahan kematian hanya boleh dilakukan oleh minimum dua doktor pakar, dengan syarat-syarat yang ketat yang dikeluarkan oleh Majlis Perubatan Malaysia.

Majlis Fatwa Kebangsaan juga telah memutuskan bahawa mati otak dianggap sebagai kematian. Fatwa terbabit menyebut:

“Muzakarah juga memutuskan bahawa dalam kaedah perubatan, mati otak (brain death) adalah dianggap sebagai suatu kematian dan apabila kematian tersebut disahkan oleh pakar, maka akan thabit semua hukum berkaitan kematian yang ditetapkan oleh syarak. Justeru, adalah harus memberhentikan rawatan bantuan sokongan (contohnya penggunaan mesin ventilator) dengan persetujuan waris-waris terdekat selepas disahkan oleh dua orang pakar perubatan yang tidak terlibat dalam urusan pendermaan organ.”

Profesor Dr. Zamzuri Idris merupakan Pakar Bedah Otak (Neurosurgeri) di Hospital USM sejak 2005. Pada 2007, beliau menerima anugerah sebagai Felo Pasca Neuroendoscopy dan Functional Neurosurgery dari Ghent University, Belgium. Selain sebagai Ketua Jabatan Neurosains di Hospital USM, beliau juga merupakan Timbalan Pengarah di Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Neuro (3P Neuro), Kampus Kesihatan USM. Beliau juga adalah salah seorang ahli jawatankuasa Neurosurgical Association of Malaysia, bekas ahli lembaga pengarah Society for Brain Mapping and Therapeutics (SBMT) di Amerika Syarikat, dan ahli European Society for Stereotactic and Functional Neurosurgery (ESSFN).

Beliau banyak menulis manuskrip jurnal dan buku ilmiah yang berkaitan dengan saraf dan otak. Antaranya ialah:

• Neurointensive Care Monitoring For Severe Traumatic Brain Injury;
• Brain Tumorigenesis;
• Functional Mri, Diffusion Tensor Imaging, Magnetic Source Imaging, Intraoperative Neuromonitoring Guided Brain Tumour Resection In Awake And Under GA;
• Future Applications Of EEG;
• Human Brain Anatomy: Prospective, Microgravity, Hemispheric Brain Specialisation And Death Of A Person; Visual And Sensorimotor Cortices Mapping During Awake Resection Of Lesion On The Right Periatrium: A Case Report On Brainwaves And Their Peculiar Patterns – Innovative Neurosurgery (German);
• Outcome Of Severe Traumatic Brain Injury: Comparison Of 3 Monitoring Approaches -Neurosurgical Focus (American Association Of Neurological Surgeons);
• Endoscopic Fenestration At The Splenial-Habenular Junctional Area For Symptomatic Cavum And Tumor At The Foramen Of Monro: Case Reports And Anatomical Review – Journal Of Neurosurgery (American Association Of Neurological Surgeon Journal – USA).

Profesor Dr. Zamzuri sering menerima jemputan sebagai penceramah untuk program atau kongres yang berkaitan dengan saraf atau neurosurgeri. Beliau juga terlibat secara langsung dalam program akademik pascasiswazah di USM yang sudah berjaya menghasilkan ramai pakar dalam bidang neurosains dan neurosurgeri.

Menurut Profesor Dr. Zamzuri, hidup itu berhayat dan hayat itu hidup. Roh pula adalah pemberi hayat, maka roh itu ialah kehidupan. Menurutnya lagi, kematian otak juga berkaitan dengan terpisahnya roh daripada jasad. Jasad bergantung pada roh tetapi roh tidak bergantung pada jasad. Maka, otak dan roh amat berkait rapat.

Otak manusia berada pada tempat yang paling atas dan dilitupi dengan lapisan-lapisan kulit, tulang, dura, arachnoid dan pia. Terdapat lubang tertentu pada tulang untuk membenarkan sambungan antara otak dan saraf tunjang, saraf dan salur darah. Otak juga dikelilingi cecair otak yang dipanggil cerebrospinal fluid (CSF). Dengan adanya lapisan-lapisan dan cecair tersebut, otak dilihat sebagai organ yang istimewa dan mesti dilindungi daripada perkara luaran. Kajian menunjukkan kandungan otak adalah 70% cecair dan 30% pepejal; 60% daripada pepejal otak terdiri daripada lemak. Oleh yang demikian, walaupun cecair CSF tidaklah banyak, apungan atau buoyancy tetap ada di dalam tengkorak yang melindungi otak.

Bila diteliti, posisi otak juga membengkok atau sujud di bahagian tengahnya. Posisi ini dikenali sebagai posisi mikrograviti. Menurut prinsip Archimedes, posisi ini disebabkan oleh apungan otak yang seterusnya menyebabkan kurangnya kesan graviti. Perihal apungan ini nampaknya sudah sedia ada semasa proses pembentukan otak atau janin lagi. Seawal proses tersebut, cecair di dalam rahim ibu sudahpun wujud dan memberi kesan apungan kepada sel-sel asas yang berbentuk satu tuib. Oleh itu, tiub ini juga berada dalam posisi sujud atau posisi mikrograviti.

Kajian ke atas proses pembentukan otak dan janin (embriologi) menunjukkan kawasan anatomi otak yang berada bersebelahan dengan ruang cecair otak merupakan kawasan yang penting dan berkait rapat dengan asalan gelombang otak (origin of the brainwaves). Kawasan tersebut terdiri daripada a) hipotalamus; b) talamus; c) classic reticular brainstem area; d) basal forebrain atau septal area; e) pineal-pituitary area; f) hipokampus; g) amygdala; h) other limbic areas (contohnya: fornix, habenular dan lain-lain).

Apabila penelitian dibuat, selain sebagai pusat atau kawasan yang menjanakan gelombang otak, kawasan ini juga terlibat dengan pelbagai fungsi jasad dan mempunyai kaitan dengan keadaan koma serta ingatan. Oleh yang demikian, nampaknya, kawasan ini mempunyai setidak-tidaknya satu nod atau kawasan kecil yang membentuk pelbagai jaringan fungsi otak dan jasad. Oleh itu, kawasan ini dilihat sebagai kawasan yang teramat penting. Sekiranya ia tercedera, seseorang itu akan mengalami masalah hilang ingatan atau hilang kesedaran (loss of consciousness).

Kedua perkara ini bertaut dengan ingatan, zikir dan juga solat. Oleh itu, kawasan ini yang dikenali sebagai ?greater limbic system” berkemungkinan besar mempunyai kaitan dengan ?pusat roh’ bagi jasad manusia (seat of the soul: unseen component of the greater limbic area). Perkara ini telah dibahaskan sejak dahulu lagi; Plato dan Leonardo Da Vinci mengaitkannya dengan kawasan greater limbic system, manakala Aristotle mengaitkannya dengan jantung. Istilah pusat roh di sini dan sepertimana dibahaskan sebelum ini, lebih merujuk kepada perkara yang berkaitan dengan hidup dan mati.

Apabila greater limbic area diteliti, ia juga merangkumi:

• kesemua fungsi jasad (nod dalam jaringan otak);
• keadaan koma;
• ingatan ;
• asalan gelombang otak (origin of the brainwaves) yang berkait dengan minda; kaitannya mungkin seperti ini—jasad/otak-minda (brainwaves)-qalbu/hati-roh atau jasad-minda-roh atau jasad-brainwaves-roh; brainwaves atau minda ialah manifestasi tidak langsung untuk roh;
• berada dalam posisi sujud atau mikrograviti;
• anti-graviti (tiada masa dan dimensi, seperti elemen roh);
• pusat otak (kawasan intersepsi garisan infiniti atau golden ratio);
• berkait dengan hidup dan mati.

Perihal di atas merangkumi secara am aspek roh atau pemetaan roh. Pemetaan fungsi otak pula boleh dibuat dengan menggunakan teknik-teknik seperti ?magnetoencephalograhy’, ?electroencephalography’, ?functional MRI’, ?transcranial magnetic stimulation’, ?electrocorticography’, ?diffusion tensor imaging’ dan pembedahan otak secara sedar serta stimulasi terus otak. Pemetaan otak ini membolehkan doktor atau pakar saraf mengenal pasti kawasan otak yang penting seperti kawasan otak yang mengawal pergerakan, pertuturan, deria rasa, pendengaran, penglihatan dan fungsi kognitif seperti konsentrasi dan ingatan.

Dengan yang demikian, pembedahan otak atau saraf dapat dilakukan dengan lebih selamat. Selain itu, data yang diperolehi dapat digunakan untuk kajian yang lebih mendalam mengenai otak dan saraf dan sebagai simpanan khas pemetaan otak manusia bagi sesebuah negara (data bank on brain mappings for a nation).

Kajian yang dilakukan oleh Profesor Dr. Zamzuri mengesahkan bahawa ilmu sains dan ilmu agama adalah selari. Menurut beliau lagi, ilmu mengenai roh tidak banyak tetapi yang sedikit itu ibarat emas yang boleh memberi banyak kefahaman mengenai kehidupan. Sepertimana firman ALLAH dalam surah Al-Isra’ ayat 85 yang bermaksud:

“Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan, ?Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.”

Kematian daripada segi bahasa adalah berhenti. Berlakunya kematian apabila kita sudah “berhenti” sepenuhnya daripada kehidupan di dunia yang fana ini. Kita juga berhenti sementara atau sebahagiannya apabila kita tidur ataupun dibius. Mati menurut definisi perubatan moden adalah apabila terhentinya otak daripada berfungsi. Daripada sudut keagamaan, kematian bermakna roh terpisah daripada jasad sepenuhnya dan dibawa ke tempat yang hanya diketahui ALLAH SWT. Setelah kiamat, ALLAH SWT memerintahkan roh agar kembali kepada jasad.

Umur seorang manusia itu, walaupun panjang, pasti akan berakhir juga. Kehidupan yang kekal dan abadi hanya di akhirat kelak. Kita tidak tahu bila ajal kita akan tiba dan kita juga tidak akan mampu mengubahnya.

ALLAH SWT dalam surah Yunus ayat 49 berfirman, ?Apabila telah datang ajal mereka, maka mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak (pula) mendahulukan(nya).”

Sebagai rumusan, perspektif neurosains dan agama mengenai kehidupan dan kematian sangat berkait rapat dan seiringan. Hari ini, pelbagai dapatan saintifik terus membuktikan dan membenarkan apa yang telah disebut di dalam al-Quran dan disampaikan serta diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW lebih 1400 tahun dahulu. Semoga kita semua mempunyai bekal yang cukup untuk menghadapi alam barzakh dan akhirat apabila sudah sampai waktunya.

Johari Yap
Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Cawangan Kelantan

Posted in Malaysian Digest

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments