Dua Tahun Selepas Banjir Besar Di Manek Urai

http://malaysiandigest.com/bahasa-malaysia/661675-dua-tahun-selepas-banjir-besar-di-manek-urai.html

Penghujung tahun 2014 menyaksikan satu fenomena alam yang sangat luar biasa—bah kuning telah menenggelamkan sebahagian besar bumi Kelantan serta beberapa kawasan di Pahang dan Terengganu. Hujan lebat mencurah-curah tanpa henti; statistik menunjukkan jumlah air hujan dalam tempoh beberapa hari pada bulan Disember 2014 itu bersamaan dengan taburan enam bulan hujan. Ini menyebabkan kenaikan paras air di sungai-sungai utama seperti Sungai Galas, Sungai Lebir, Sungai Nenggiri dan Sungai Kelantan dan air sungai melimpah ke hampir semua daerah di Kelantan terutamanya di kawasan berdekatan dengan sungai.

Manek Urai di Jajahan Kuala Krai merupakan tempat yang terjejas teruk hinggakan Sekolah Kebangsaan Manek Urai yang dijadikan pusat pemindahan mangsa banjir juga tenggelam hingga ke tingkat dua. Hampir semua rumah, surau, balai raya serta rumah kedai di Kampung Manek Urai Lama dan Kampung Manek Urai Baru ranap dan tumbang dek arus banjir yang deras. Balai Polis dan Stesen Kereta Api Manek Urai juga ditenggelami air. Anggota polis dan petugas stesen turut memanjat bukit berdekatan bersama penduduk kampung untuk menyelamatkan diri. Bagi penduduk Manek Urai, ia umpama “tsunami darat”.

Selepas dua tahun, saya telah pergi meninjau keadaan di Manek Urai. Kesan air banjir masih kelihatan pada dinding tingkat dua Sekolah Kebangsaan Manek Urai. Ada juga rumah-rumah yang ditinggalkan tanpa penghuni; mungkin mereka sudah berpindah.

 

Setiap penduduk yang ditemui mempunyai kisah tersendiri yang ingin dikongsi dan rata-rata mereka masih trauma dengan kejadian yang menakutkan itu. Menurut Ahmad Razali bin Rashid, 44, air deras naik begitu cepat; dalam masa dua jam sahaja, rumahnya sudah separuh ditenggelami air. Beliau hanya sempat menyelamatkan isteri, Siti Mariati binti Hamid, 37, yang sakit tulang belakang (slipped disc), serta tiga anak yang masih kecil. Kebanyakan penduduk kampung yang lain juga melarikan diri ke bukit berdekatan dengan keadaan sehelai sepinggang kerana air naik terlalu cepat.

Menurut Ahmad Razali lagi, pada ketika itu, beliau hanya memikirkan untuk menyelamatkan diri dan keluarga. Rumahnya yang terletak di Kampung Mesek, Manek Urai Lama, berdekatan dengan Sungai Lebir, rosak sepenuhnya akibat banjir tersebut. Adalah sukar untuk Ahmad Razali membina rumah baharu dengan hanya bergantung pada pendapatannya menoreh getah tanpa bantuan mana-mana pihak.

 

Sebab itulah beliau sangat bersyukur kerana telah dipertemukan dengan individu yang bernama Razi Pahlavi Abdul Aziz, 43, seorang sukarelawan yang telah memberikan bantuan makanan dan kemudiannya membina rumah baharu untuk beliau. Razi turut dibantu Zulkhibri Mohammed, juga 43. Kedua-duanya merupakan bekas penuntut Maktab Tentera Diraja (MTD). Mereka berjaya mendapatkan sumber kewangan yang mencukupi daripada alumni MTD tahun 1987-1991 dan Yayasan Daya Diri untuk mendirikan rumah baharu buat Ahmad Razali dan keluarganya.

Ahmad Razali merupakan salah seorang daripada 15 penerima rumah pasca banjir yang dibina oleh Razi dan rakan-rakannya, dengan sumbangan daripada pelbagai pihak. Pengalaman luas Razi dalam bidang kesukarelawan di dalam mahupun luar negara berjaya menarik ramai dalam kalangan sahabat beliau untuk sama-sama terlibat dalam misi kemanusiaan pasca banjir di Kelantan.

Razi merupakan salah seorang wira yang tidak didendang dalam misi kemanusiaan membantu mangsa banjir di Kelantan. Dalam temu bual saya dengannya, beliau berkongsi sedikit sebanyak latar belakangnya. Razi merupakan Pengarah Urusan Amanie Holdings Berhad yang bertempat di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Berkelulusan Sarjana Muda Perakaunan dengan kepujian dan Sarjana Undang-Undang dalam bidang Undang-Undang Perbankan dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA), beliau merupakan konsultan dan penasihat dalam bidang perbankan Islam. Beliau juga merupakan Akauntan Bertauliah yang bernaung di bawah Malaysian Institute of Accountants (MIA), Perancang Kewangan Islam (Islamic Financial Planner), dan Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal Baharu yang berlesen. Kini beliau sedang melanjutkan pelajaran di peringkat PhD dalam bidang Kewangan Islam.

Bagaimana seorang yang begitu sibuk seperti Razi mampu meluangkan masa dalam misi-misi kemanusiaan? Ketika banjir besar di Kelantan, beliau telah berkampung di pejabat Jabatan Pertahanan Awam di Pahi selama dua minggu untuk membantu mangsa-mangsa banjir.

Razi mula berkecimpung dalam kerja-kerja kesukarelawan ketika menuntut di universiti lagi pada awal 90an. Beliau mula serius dalam misi kesukarelawan terancang apabila terlibat dengan MERCY Malaysia dan menjadi sukarelawan untuk mendapatkan dana bagi membantu mangsa perang Kosovo pada tahun 1999.

Pada tahun 2003, beliau telah menubuhkan pejabat MERCY Malaysia di Amman, Jordan untuk menguruskan bantuan kemanusiaan bagi mangsa perang di Iraq. Pada tahun 2004 dan 2005, sebagai Ketua Bantuan Antarabangsa (Head of International Relief) MERCY Malaysia, Razi terlibat dalam bantuan kemanusiaan untuk mangsa tsunami Aceh di Indonesia dan Sri Lanka. Beliau turut terlibat dalam misi kemanusiaan luar negara yang lain seperti gempa bumi di Pakistan serta banjir di Filipina. Beliau telah dilantik sebagai ahli EXCO MERCY Malaysia pada tahun 2016.

Setelah dua minggu berkampung di Pahi untuk membantu mangsa banjir terutamanya di Manek Urai, Razi mengambil keputusan untuk membantu mendirikan rumah bagi mangsa banjir di Kampung Mesek, Manek Urai Lama. Beliau menubuhkan “Rebuild & Organise Neighbourhoods in Need” atau RONIN bersama kira-kira 15 orang sahabat yang terdiri daripada golongan profesional seperti doktor, arkitek, jurutera, dan kontraktor. Bermula daripada pengumpulan maklumat mengenai penduduk hinggalah kepada rekabentuk rumah dan siap pembinaan, semuanya dilakukan dengan kerjasama sesama mereka.

 

Razi yang bertindak sebagai Pengarah “Projek Pembinaan Semula Rumah Mangsa Banjir” hampir setiap minggu berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Manek Urai untuk memastikan kerja pembinaan rumah itu siap sepenuhnya. Kadangkala, tempat beliau diganti oleh Zulkhibri Mohamed yang bertindak sebagai Pengurus Projek dan sahabat-sahabat lain dalam RONIN.

Setiap rumah yang didirikan berada pada ketinggian 10 kaki dari tanah, berkeluasan 650 kaki persegi, mempunyai tiga bilik tidur, satu ruang tamu, satu dapur, satu bilik air dan dilengkapi dua tangga di pintu hadapan dan pintu dapur. Dengan kedudukan yang lebih tinggi dari tanah dan struktur yang dibina dengan konkrit bertetulang bagi menahan arus banjir yang kuat, rumah yang dibina mengambil kira keadaan kawasan tersebut yang kerap dilanda banjir.

Rumah-rumah tersebut terselamat daripada tiga episod banjir pada akhir tahun 2016 dan awal tahun 2017 baru-baru ini. Rumah tersebut direka oleh arkitek Mohd Roziat Ali, 38, yang merupakan salah seorang ahli jawatankuasa RONIN yang juga hampir setiap minggu berulang dari Subang ke Manek Urai untuk memantau perjalanan projek.

Secara kasarnya, rumah tersebut juga lebih besar daripada rumah-rumah yang telah musnah semasa banjir. Selain itu, Razi juga berjaya mendapatkan sumbangan untuk mendirikan surau baharu bagi menggantikan surau lama Kampung Mesek yang juga musnah sama sekali akibat banjir.

 

Banjir besar di Manek Urai menyaksikan pelbagai golongan masyarakat dan NGO turun padang bagi memberikan sumbangan masing-masing. Ia menunjukkan Malaysia tidak kekurangan insan berhati mulia seperti Razi dan rakan-rakannya.

Apabila ditanya mengenai semangat kesukarelawan dalam kalangan rakyat Malaysia, Razi percaya setiap manusia dilahirkan dengan “DNA” kemanusiaan. Maka, sifat hendak atau suka membantu sesama manusia baginya adalah sifat semulajadi manusia. Beliau melihat semangat kesukarelawan semakin berkembang di Malaysia tidak kira keturunan, kepercayaan, status, dan juga latar belakang. Bagaimanapun, baginya, sifat kemanusiaan bukan sekadar satu bentuk perbuatan yang baik tetapi ia juga sains dan sastera pada masa yang sama. Maka, ia perlu dipelajari dan dibina melalui pendekatan pembinaan keupayaan (capacity building approach) yang betul untuk benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam dan bernilai dalam kerja-kerja kemanusiaan.

Kini, selepas dua tahun banjir besar berlalu, penduduk yang mendapat bantuan rumah yang dibina oleh Razi dan rakan-rakannya melalui RONIN tidak perlu gundah bila tiba musim banjir kerana rumah yang mereka diami sekarang lebih tinggi dan kukuh berbanding rumah lama yang diperbuat daripada kayu. Mereka dapat tidur lena walaupun dalam keadaan hujan lebat yang biasanya turun pada bulan Disember.

Semoga lebih banyak usaha sebegini diwujudkan dalam kalangan rakyat Malaysia kerana melaluinya lebih banyak yang boleh dicapai dan diselesaikan bersama.

Johari Yap
Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Cawangan Kelantan

Posted in Malaysian Digest

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments