Dr. Mohd Saat Ismail Tokoh Koperasi Negeri Kelantan 2016

http://www.malaysiandigest.com/bahasa-malaysia/680104-dr-mohd-saat-ismail-tokoh-koperasi-negeri-kelantan-2016.html

Koperasi merupakan satu wadah untuk memperjuangkan komuniti khususnya dalam hal membangun dan meringankan beban ekonomi dan sosial ahli koperasi. Ia berteraskan tujuh prinsip koperasi, iaitu keanggotaannya secara sukarela dan terbuka, sistem kawalan secara demokrasi oleh anggota koperasi, penglibatan anggota dalam kegiatan ekonomi, kebebasan dan autonomi, pendidikan mengenai hal-hal berkaitan koperasi, kerjasama antara koperasi-koperasi, serta keprihatinan terhadap masyarakat.

Berdasarkan prinsip-prinsip ini, sesebuah koperasi lebih mementingkan kebajikan anggotanya berbanding keuntungan. Bagaimanapun, melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), kerajaan sedia memberikan bantuan dan bimbingan selain bantuan modal sehingga maksimum RM10 juta melalui Tabung Modal Pusingan (TMP) koperasi kepada mana-mana pihak yang berminat dalam dunia keusahawanan. Kelebihan koperasi berbanding syarikat yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ialah koperasi mendapat pengecualian pembayaran cukai.

Sir Arthur Young ialah orang pertama yang memperkenalkan ideologi koperasi di negeri-negeri di Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia) pada 1907. Setelah dilantik sebagai “Chief Secretary” di Negeri-Negeri Tanah Melayu Bersekutu pada 1911, beliau telah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk membuat kajian tentang koperasi. Kejayaan kajian pergerakan koperasi di Burma itu dan perakuan kejayaan tersebut telah menghasilkan kelulusan rang undang-undang baharu yang dikenali sebagai The Co-Operative Societies Enactment, 1922.

Prinsip dan sejarah koperasi ini telah menimbulkan minat Prof. Madya Dr. Mohd Saat Ismail, Pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, untuk menceburi bidang koperasi. Dr. Mohd Saat merupakan Pengerusi Koperasi Warga USM Kelantan Berhad (KWUSMKB) dengan keanggotaan hampir 3,000 orang dan tenaga kerja seramai 150 orang. Beliau memiliki jiwa seorang ahli akademik serta pemimpin yang rapat dengan masyarakat. Melalui KWUSMKB, Dr. Mohd Saat membantu ekonomi masyarakat agar mereka lebih proaktif dan produktif dalam meningkatkan lagi sara diri.

KWUSMKB menggunakan insentif pengecualian cukai untuk melaksanakan corporate social responsibility” (CSR) dengan menyumbang kepada tabung-tabung kebajikan dan golongan asnaf termasuk orang kelainan upaya (OKU), memberi kupon zakat, perkhidmatan katil percuma kepada pesakit, perkhidmatan ambulan secara percuma, khidmat perawatan di rumah secara percuma untuk golongan asnaf, serta bantuan kepada staf koperasi yang kurang mampu. Sebagai sokongan kepada golongan OKU juga, KWUSMKB telah mengambil 4 pekerja daripada kalangan OKU lembam yang mempunyai masalah pembelajaran (learning disorder).

Dr. Mohd Saat mula berjinak-jinak dengan koperasi pada 2002. Ketika itu, beliau sekadar memberi cadangan dan idea baharu sebagai seorang anggota koperasi. Beliau telah dilantik sebagai pengerusi KWUSMKB pada 2008. “No gain without pain” merupakan motto beliau dalam membangunkan koperasi yang ditubuhkan pada tahun 2000 yang suatu ketika dahulu merudum apabila 5 tahun mengalami kerugian. Dr. Mohd Saat melakar satu kaedah untuk memulihkan kembali koperasi tersebut dengan menggunakan konsep “unsual business” dan “think out of the box”, di mana beliau ingin menjadikan KWUSMKB sebagai peneraju sektor pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan.

Dr. Mohd Saat terlibat secara aktif dan mentransformasikan koperasi yang diterajuinya hingga melonjakkan kedudukan koperasi tersebut di peringkat kebangsaan. Prinsip ichiban yang membawa maksud berteraskan nombor satu merupakan prinsip utama yang beliau pegang. Kini, Dr. Mohd Saat berjaya menubuhkan Pusat Hemodialisis Koperasi yang pertama di Malaysia serta dalam perancangan melancarkan sebuah Hospital Koperasi Pakar yang pertama di Malaysia. Beliau juga telah membuka Pasaraya Coop Mart, Kopitiam, Pusat Permata Pintar serta Unit Rakan Bayi di perkarangan Hospital USM; semuanya demi kepentingan anggota dan komuniti.

Sejajar dengan pencapaian ini, Dr. Mohd Saat telah diberi kepercayaan oleh SKM; beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK) bermula 2012 hingga kini, juga sebagai Anggota Jawatankuasa ANGKASA dan Ahli Panel Maktab Koperasi Malaysia (MKM).

Tranformasi yang telah Dr. Mohd Saat lakukan ke atas KWUSMKB telah membawa kepada kejayaan koperasi tersebut di peringkat kebangsaan, di mana mereka telah menerima anugerah bagi sektor pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan pada 2014 dan anugerah di peringkat negeri pada 2016. Dr. Mohd Saat juga telah dianugerahkan sebagai Tokoh Koperasi Negara peringkat negeri Kelantan bagi tahun 2016.

Demi kebajikan anggota dan golongan bawahan, Dr. Mohd Saat juga telah mewujudkan beberapa koperasi lain seperti Koperasi Sains Senaman Sukan yang melaluinya telah terbina sebuah kolam renang awam untuk memberi kemudahan kepada pelajar, anggota serta komuniti. Beliau juga menubuhkan Koperasi Farmasi USM Kelantan Berhad dan akan membuka kilang farmaseutikal koperasi yang pertama di Malaysia. Kilang tersebut juga bakal menjadi kilang farmaseutikal bumiputera yang pertama di Malaysia yang akan membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak anggota dan komuniti setempat.

Selain itu, beliau menubuhkan Koperasi Cakna Orang Kelainan Upaya (OKU) yang telah mentransformasikan golongan OKU menjadi lebih produktif. Melalui koperasi ini, golongan OKU dapat berdikari dan membina keyakinan diri untuk berhadapan dengan masyarakat.

Sememangnya, seorang pemimpin masyarakat perlu mempunyai roh perjuangan dan semangat koperasi yang jitu. Bagi Dr. Mohd Saat, walaupun ada elaun yang diperuntukkan, elaun tersebut juga digunakan untuk tujuan pembangunan dan kemajuan koperasi. Semangat koperasi ini perlu ada sama ada dalam kalangan golongan intelek mahupun orang kebanyakan. Ia penting sebagai sebahagian usaha memacukan pembangunan negara ke arah negara maju.

Pemimpin koperasi mestilah berjiwa besar dan mempunyai inisiatif untuk mentransformasi sesebuah koperasi agar terus maju dan berdaya saing di peringkat global. Sebagaimana institusi lain, kejayaan sesebuah koperasi juga memerlukan peranan semua pihak dalam koperasi bermula dari peringkat atasan hingga ke mereka yang berada di akar umbi dan perkara ini hanya dapat direalisasikan dengan adanya seorang ketua yang mempunyai visi, berjiwa besar dan kaya dengan sifat-sifat murni. Tahniah diucapkan kepada Dr. Mohd Saat. Semoga sumbangan dan pencapaian beliau menjadi inspirasi terutamanya bagi golongan muda.

 

Johari Yap
Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Cawangan Kelantan

Posted in Malaysian Digest

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments