Di manakah nilai kemanusiaan?

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/johari-yap/di-manakah-nilai-kemanusiaan-1.684741

BARU-BARU ini, seorang lelaki berusia 31 tahun koma selama dua hari sebelum meninggal dunia selepas dibelasah lima individu di Plaza Sentosa, Jalan Putra, Alor Setar kerana didakwa mencabul seorang wanita di dalam tandas kompleks beli-belah tersebut.

Lima individu terbabit, termasuk seorang wanita berusia 20-an, telah ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mutakhir ini, semakin banyak kes sebegini dilaporkan. Mungkin ada juga yang tidak mendapat liputan media. Amat menakutkan untuk memikirkan penularan gejala seperti ini.

Terbaru, media sosial digemparkan dengan kematian seorang penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) setelah dipercayai dibelasah dan didera menggunakan beberapa peralatan seperti tali pinggang dan seterika wap. Bedah siasat menunjukkan terdapat 80% kesan kebakaran pada badan mangsa. Setakat ini, polis telah menahan 36 penuntut berusia antara 20 dan 21 tahun; 32 adalah penuntut UPNM manakala empat lagi dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten).

Media arus perdana melaporkan, mangsa, pegawai kadet laut tahun tiga yang berusia 21 tahun, dipercayai memiliki kesan melecur akibat ditekap dengan seterika wap di bahagian dada, tangan dan kakinya.

Yang lebih menyedihkan dan mengganggu emosi adalah apabila terdapat laporan yang mengatakan pihak polis sedang mengesan seorang bomoh yang didakwa telah memberikan nama mangsa kepada suspek; kononnya mangsa merupakan individu yang telah mencuri komputer riba suspek. Suspek menggunakan alasan itu untuk memaksa si mati membuat pengakuan dengan cara menderanya.

Ketika dunia bergerak maju dengan teknologi canggih seperti Artificial Intelligence (AI), Virtual Reality (VR), juga Augmented Reality (AR), masih ada lagi pihak yang menggunakan khidmat bomoh bila kehilangan barang. Sekiranya dakwaan penglibatan bomoh dalam kes tersebut benar, ini adalah satu ironi yang sememangnya sungguh menghairankan! Tidakkah juga mereka sedar bahawa jika bomoh tersebut menggunakan jin, sangat dikhuatiri ia melibatkan perbuatan syirik yang merupakan dosa besar di sisi ALLAH SWT?

Seperti biasa apabila timbul kes sebegini, banyak pihak menghentam UPNM hingga ada yang mencadangkan UPNM ditutup. Adakah itu akan menyelesaikan masalah? Jika kes sebegini berlaku di mana-mana universiti lain, awam mahupun swasta, adakah saranan yang sama akan diberi? Hakikatnya, gejala seperti ini berlaku di mana-mana.

Syabas kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hisham-muddin, yang mengambil serius isu ini. Beliau telah menggesa agar dilakukan siasatan terperinci dengan segera dan menegaskan tiada siapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang jika didapati bersalah.

Penasihat Eksekutif Pertubuhan Ilmuwan Malaysia, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya, pula menggesa agar modul dan silibus pengajian UPNM dan Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) dikaji semula keberkesanan dan pemerkasaannya. Beliau amat terkejut kes sebegini berlaku di UPNM atau ALK yang sangat menekankan soal disiplin dan etika hingga menimbulkan persoalan bagaimanakah penerapan nilai murni dan akhlak di institusi terbabit.

Kes sebegini sentiasa membuatkan saya tertanya, “Di manakah nilai kemanusiaan kita?” Mengapa harus belasah begitu teruk? Kenapa tidak buat tangkapan awam dan serah kepada pihak berkuasa untuk tindakan undang-undang? Lupakah mereka pada prinsip undang-undang innocent until or unless proven guilty (tidak bersalah hingga dibuktikan bersalah)? Seperti dalam Rukun Negara, kedaulatan undang-undang adalah falsafah negara yang keempat.

Masalah tidak akan selesai dengan mendera. Malah, ia menjadi penyebab rentetan masalah lain. Jika mangsa mempunyai tanggungan, apakah implikasi ekonomi terhadap tanggungan beliau? Begitu juga bagi semua suspek. Jika disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman, bagaimana waris dan ahli keluarga? Siapakah yang akan menjaga dan menyara mereka? Semua ini mempunyai kesan besar dan berpanjangan ke atas sosioekonomi masyarakat.

Memukul dan mendera bukan budaya Islam. Dan, ia tidak sepatutnya berlaku di sebuah institusi yang begitu menekankan disiplin dan etika. Pada masa ini, siasatan sedang dijalankan. Biarlah pihak berwajib menjalankan siasatan secara terperinci, adil dan saksama. UPNM atau ALK juga tidak seharusnya disalahkan seratus peratus atas kejadian ini.

Apa yang penting, semua ahli masyarakat mengambil pengajaran daripada apa yang terjadi. Penerapan nilai murni dan akhlak amat penting. Jangan hilangkan nilai-nilai kemanusiaan dalam diri kita.

* Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

Posted in Sinar Harian

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments