Demam Pilihan Raya Sudah Bermula

http://www.malaysiandigest.com/bahasa-malaysia/660636-demam-pilihan-raya-sudah-bermula.html

Setiap kita pasti pernah demam, daripada kecil hingga dewasa mahupun tua; pasti tahu bagaimana rasanya. Seingat saya, saya belum pernah jumpa manusia yang tidak pernah demam atau sakit. Boleh dikatakan demam itu wajib dirasai setiap orang. Dalam Islam, setiap kesakitan juga boleh menjadi kafarah (penghapus dosa). Pada peringkat permulaan demam, seseorang akan merasa seram sejuk, antara tanda yang menunjukkan suhu badan sedang meningkat. Sebab itulah apabila demam kita biasanya akan hendak memakai baju tebal dan kadang kala berselimut dan berstokin juga kerana merasa kesejukan walaupun orang yang menyentuh badan kita merasakan ia panas.

Selain masalah kesihatan atau perubatan serta jangkitan bakteria mahupun virus, pilihan raya juga boleh menyebabkan demam. Terdapat simptom yang menunjukkan pilihan raya semakin hampir dan semakin ramai yang mendapat “demam” pilihan raya. Antara simptomnya adalah episod ceramah semakin bertambah di mana-mana. Perbincangan demi perbincangan serta mesyuarat tertutup antara parti politik juga giat dijalankan. Individu-individu yang bercita-cita menjadi calon untuk bertanding sudah mula sibuk turun ke kawasan masing-masing. Begitu juga wakil rakyat yang menyandang jawatan tersebut, semakin sibuk menjenguk kawasan dan semakin kerap bertemu rakyat. Nama-nama kampung serta ketua kampung turut dihafal satu persatu.

Petanda awal pilihan raya sudah semakin hampir juga adalah apabila laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia sudah mengeluarkan tender bagi membekalkan dan menghantar beg peti undi untuk kegunaan pilihan raya umum (PRU) ke-14. Selain tender untuk beg peti undi, pelawaan tender juga dibuka kepada mana-mana syarikat untuk membekalkan beg galas yang akan digunakan oleh petugas-petugas SPR. Tender telah diiklankan pada 16 Februari 2017 dan tarikh tutupnya pada 9 Mac 2017.

Bagi kebanyakan rakyat, mungkin inilah masa yang terbaik untuk memohon peruntukan membaiki surau, rumah ibadat, sekolah, dewan serba guna, rumah kebajikan dan lain-lain. Jika sebelum ini permohonan tidak lulus atau sangat sukar mendapat kelulusan, inilah ketikanya kebarangkalian untuk mendapat kelulusan menjadi tinggi. Gegantung (buntings) juga mula dipasang di merata tempat menayangkan sumbangan wakil-wakil rakyat.

Ketika ini juga kita dapat melihat wakil-wakil rakyat hadir dalam semua kenduri-kendara di kampung atau kawasan masing-masing untuk bertemu rakyat. Mereka juga sanggup merentas sawah dan ladang kelapa sawit untuk melawat orang kampung yang sakit.

Suzana Yahya, 28, seorang pembantu penyelidik universiti tempatan yang tinggal di Kampung Banggol Chica, Pasir Mas, mengiyakan senario ini kerana aktiviti di kampung beliau juga semakin rancak sejak kebelakangan ini. YB mula sibuk turun padang dan tayang gambar di media sosial.

Jika sebelum ini Suzana hanya perlu memilih antara dua parti, PAS atau UMNO, untuk PRU yang akan datang, beliau berasa agak sukar membuat pilihan kerana adanya beberapa parti baharu. PRU kali ini dijangka lebih menarik dengan kehadiran parti-parti baharu, iaitu Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Pastinya masing-masing akan menonjolkan jaguh mereka. Yang tidak pasti adalah sama ada akan ada pertembungan dua atau tiga penjuru. Ini tidak termasuk lagi calon-calon bebas.

Perbahasan di alam maya, terutamanya dalam grup-grup WhatsApp juga semakin rancak. Perang psikologi sudah bermula dengan satu pihak cuba mencari salah serta memburuk-burukkan pihak yang satu lagi. Pihak yang satu lagi juga akan mencari kesalahan pihak lawan sehinggakan cerita dalam kelambu pun ingin dicungkil. Akhirnya, rakyat disogok dengan pelbagai cerita yang tidak tentu benar atau tidak, cerita-cerita yang tiada bukti, yang menyebabkan dunia politik kelihatan busuk-sebusuknya. Seolah-olah semua ahli politik berperangai teruk sedangkan masih ramai yang berjiwa mulia dan berniat murni untuk membantu rakyat serta membangunkan negara.

Golongan profesional dan terpelajar tidak terkecuali daripada gejala ini. Walaupun pada asalnya perbincangan berbentuk ilmiah, jika tidak dikawal selia dengan betul, berlaku juga percakaran sesama sendiri kerana masing-masing mempunyai ideologi politik yang berbeza. Dek panas badan dan hati akibat “demam” pilihan raya yang telah bermula, ramai yang gagal mengawal emosi dan nafsu amarah.

Tidak kiralah sama ada kita penyokong kerajaan atau tidak, kita haruslah bersifat terbuka dan berhati-hati dalam menilai sesuatu berita yang diterima. Jangan begitu mudah menularkan sesuatu berita yang “panas” kerana ia mungkin fitnah dan kita tidak mahu menjadi sebahagian daripada agen penyebar fitnah tersebut.

Fitnah bermaksud tuduhan yang tidak berasas dan memfitnah adalah menyiarkan sesuatu berita tanpa dasar kebenaran dengan tujuan untuk mencemarkan nama baik seseorang agar mudah bagi si pemfitnah mencapai segala cita-citanya atau apa sahaja yang dihajati. Perbuatan tercela seperti ini dilarang oleh Allah S.W.T. dan orang yang membuat fitnah akan ditimpa azab yang amat pedih.

Allah S.W.T. berfirman yang maksudnya:

“Wahai orang yang beriman! Jauhilah dari kebanyakan sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seseorang kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu patuhilah larangan tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha penerima taubat dan Maha penyayang.” (Surah al-Hujurat: 12)

Fitnah itu lebih besar dosanya daripada dosa membunuh manusia yang tidak bersalah. sebagaimana firman Allah S.W.T. dalam Surah al-Baqarah, ayat 217 yang bermaksud, “Berbuat fitnah lebih besar dosanya daripada membunuh.”.

Kesan fitnah sangat dahsyat. Ia bukan sahaja mengaibkan orang yang difitnah, malah boleh menjatuhkan sesebuah negara. Sejarah Islam mempunyai bukti kedasyatan fitnah ini. Tiga Khalifah Islam menjadi korban fitnah; Khalifah Umar ibnu Khattab R.A., Khalifah Uthman bin Affan R.A., dan juga Khalifah Ali bin Abi Talib R.A.

Allah S.W.T. berfirman yang maksudnya:

“Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa berita, maka selidikilah (untuk menentukan kebenarannya) supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Surah al-Hujurat: 6)

Sepatutnya kita ingat, sebagai ciptaan Allah yang bergelar insan, kita semua mempunyai banyak kelemahan dan kesalahan. Oleh itu, lebih baik dan wajar kita memperbaiki diri kita masing-masing sambil terus memohon ampun daripada Allah atas segala kesalahan dan kelemahan kita. Jauhkanlah sifat suka memfitnah, mengumpat, mengadu domba, mengikut hawa nafsu jahat, berpuak-puak, dan pelbagai perangai dan perkara yang tidak baik. Dekatkanlah diri kita kepada Allah S.W.T. dengan melakukan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya.

Kemenangan besar calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil N.03 Tanjong Datu dengan 6,573 undi berbanding 130 dan 108 undi bagi dua lawannya turut memberikan signal awal bahawa kemungkinan Perdana Menteri sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum.

Selain BN, Parti Islam SeMalaysia (PAS) juga menarik nafas lega apabila perhimpunan Rang Undang-Undang (RUU) 355 di Padang Merbok baru-baru ini mendapat sambutan luar biasa dan turut disertai penyokong bukan Islam. Rakyat yang asalnya memandang serong RUU 355 ini sudah mula faham dan menyokong. Para pemikir politik masing-masing sudah mengeluarkan teori mengenai tarikh Perdana Menteri dijangka membubarkan Parlimen.

Pengunjung kedai kopi juga sudah mula membuat analisis mengenai tarikh PRU-14. Pakcik-pakcik yang berkopiah atau bersongkok turut tidak ketinggalan. Semuanya mengatakan pilihan raya bakal diadakan pada tahun ini juga walaupun tempoh matang adalah pada 24 Jun 2018, bilamana Parlimen akan terbubar secara automatik dan PRU perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran atau terbubarnya Parlimen.

Menurut mereka, walaupun terpalit dengan pelbagai isu besar, momentum sokongan terhadap kerajaan pada tahun ini dijangka meningkat. Ini kerana penganjuran temasya Sukan SEA 2017 yang telah ditetapkan pada 19 hingga 31 Ogos tahun ini dan disambung pula dengan sambutan kemerdekaan ke-60. Penganjuran temasya sukan besar sebegini serta sambutan kemerdekaan dilihat akan meningkatkan semangat rakyat dan secara tidak langsung mood untuk menyokong kerajaan bertambah.

Kemuncak demam pilihan raya tiba apabila setiap parti politik akan berperang bendera tanpa batasan, satu pemandangan yang mungkin susah untuk dilihat di negara luar. Ketika itu, sana sini akan penuh dengan bendera. Setiap parti yang bertanding akan berlumba-lumba untuk memacak bendera mereka tidak kira di mana sahaja termasuk atas pokok, pada jambatan, jejantas, tiang, lampu isyarat, tepi jalan, malah atas bangunan. Ada juga yang membuat tiang dan mencacaknya atas tanah.

Sememangnya demam pilihan raya sudah bermula. Kini kita menunggu tarikh keramat yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri. Jika PRU ke-14 pada bulan September tahun ini, maka tarikh akhir untuk mendaftar sebagai pengundi adalah 31 Mac 2017. Daftarlah sebagai pengundi untuk memainkan peranan anda dalam menentukan masa depan negara.

Johari Yap
Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Cawangan Kelantan

Posted in Malaysian Digest

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments