Cerita bekas putera terbaik MTD

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/johari-yap/cerita-bekas-putera-terbaik-mtd-1.718739

MAKTAB Tentera Diraja (MTD) merupakan satu-satunya sekolah di Malaysia yang menggunakan gelaran Diraja. Atas sebab itulah pelajar MTD digelar Putera dan bekas pelajar pula dipanggil Old Putera atau OP manakala persatuan bekas Putera MTD dikenali sebagai The Old Putera Association atau OPA.

Baru-baru ini, Presiden dan juga Ketua Pegawai Eksekutif syarikat AlloyMTD, MTD ACPI Engineering Berhad, Tan Sri Dr Azmil Khalili Datuk Khalid (OP Azmil), telah memenangi anugerah Bekas Putera Terbaik MTD 2017 pada majlis Makan Malam Tahunan OPA yang diadakan di Hotel One World, Bandar Utama, Petaling Jaya. Anugerah ini diberikan sebagai pengiktirafan terhadap peranan dan jasa beliau dalam membantu masyarakat, OPA dan MTD.

Pada malam itu OP Azmil berkongsi ceritanya yang memasuki MTD pada 1975 ketika berusia 15 tahun. Pada usia sebegitu muda, beliau berjaya mengharungi latihan ketenteraan yang agak berat bersama dengan anak-anak golongan bangsawan juga anak-anak petani dan nelayan, tidak kira bangsa dan agama. Semua Putera MTD diberi layanan sama rata. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Menurut OP Azmil lagi, ketika di MTD, beliau bukanlah ahli sukan terbaik, mahupun pelajar terbaik akademik, atau terbaik dalam bidang ketenteraan. Beliau hanyalah pelajar ‘biasa-biasa’. Dalam ucapannya, beliau mengatakan beliau hanya terbaik dalam Change Parade, sejenis hukuman yang memerlukan Putera menukar pakaian atau uniform dalam masa yang singkat, iaitu 1 minit 30 saat sahaja.
Mereka dikehendaki berpakaian sama ada celoreng, No. 3, No. 4, prep order, walking out order, planster’s order, sports order, drill order, battle PT dan sebagainya, dan beratur di gelanggang bola keranjang bersebelahan blok kediaman. Dalam masa 1 setengah minit, mereka perlu berlari ke blok kediaman untuk mendapatkan uniform yang dikehendaki dan perlu berada di gelanggang bola keranjang siap memakai uniform tersebut. Kebiasaannya mereka memasang butang dan sebagainya ketika berlari kerana kesuntukan masa.

Bagi OP Azmil, latihan keten-teraan di MTD secara tidak langsung telah membentuk beliau menjadi seorang yang tabah dan berdikari. Beliau sudah biasa dengan uni-form, kawad, membaca peta, ilmu muslihat peperangan, latihan jasmani, mengendalikan senjata pada umur yang masih muda; semua itu telah mendewasakan OP Azmil dan sahabat yang lain.

Dalam perkembangan semasa, jawatan Komandan MTD telah dinaiktarafkan daripada pangkat kolonel kepada brigedier jeneral. Pelantikan Brig. Jen. (TUDM) Haji Mohd Shahada Ismail, yang juga alumni MTD, sebagai Komandan bermula 1 Jun 2017 dilihat akan memacu lagi MTD ke arah kece-merlangan dalam bidang akademik, kokurikulum dan ketenteraan.

Sebagaimana dinyatakan dalam piagam MTD, penubuhan MTD adalah untuk memberi persediaan kepada anak muda Malaysia sama ada untuk menjadi pegawai Angkatan Tentera Ma-laysia, menjawat jawatan dalam pengurusan tertinggi perkhidmatan awam, atau menjadi pemimpin dalam bidang profesional, komersial dan industri di Malaysia.

Bagi remaja yang berminat untuk menyertai MTD, permohonan atas talian telah dibuka pada 10 Ogos 2017 di laman web MTD dan akan ditutup pada 20 September 2017. Tawaran ini terbuka kepada lelaki warganegara Malaysia yang berumur tidak melebihi 16 tahun pada 1 Januari 2018, mendapat sekurang-kurangnya 7A dalam peperiksaan PT3 serta memenuhi syarat fizikal dan kesihatan.

Selain diberi elaun RM100 setiap bulan, pelajar MTD juga dikecualikan daripada sebarang bayaran (kecuali yuran PIBG, yuran pencapaian akademik dan sumbangan takaful untuk perlindungan pelajar) sepanjang pengajian di MTD. Semua kemudahan adalah percuma termasuk makan dan minum, penginapan, buku teks, buku latihan, buku nota, alat tulis serta uniform; kesemuanya dibiayai oleh Kementerian Pertahanan.

Semoga OP Azmil terus melakar kejayaan, menyumbang kepada rakyat dan negara dan menjadi inspirasi bagi yang lain. Bagi mereka yang layak pula, ayuh! Binalah disiplin dan buatlah persediaan untuk masa depan anda di satu-satunya sekolah berasrama penuh yang melaksanakan ciri-ciri ketenteraan di negara ini.

*Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

Posted in Sinar Harian

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments