Cabaran muhajir belajar al-Quran

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/johari-yap/cabaran-muhajir-belajar-al-quran-1.582897

ANTARA cabaran utama bagi mereka yang baru memeluk Islam adalah untuk belajar al-Quran. Ada yang memperoleh hidayah pada umur lewat 20-an, 30-an dan ada juga pada usia yang senja. Agak mencabar untuk mereka mempelajari sesuatu yang baharu, apatah lagi sekiranya perkara itu sangat asing.

Penulis berkesempatan berbicara dengan pegawai dakwah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam  Kelantan (Jaheaik), Ustaz Mohd Taufik Tee, yang telah berkhidmat di Jaheaik sejak tahun 1991 selepas menamatkan pengajian di Institut Dakwah Islamiah Perkim dan Universiti Madinah. Beliau berpengalaman luas dalam mendidik golongan muhajir tentang pengetahuan fardu ain dan al-Quran.

Faktor utama yang menjadikan belajar membaca al-Quran mencabar bagi kebanyakan muhajir adalah kerana al-Quran dalam bahasa Arab. Agak sukar bagi mereka dari segi makhraj, iaitu menyebut huruf-huruf al-Quran dengan betul. Perkataan makhraj yang berasal daripada bahasa Arab bermaksud tempat keluar bunyi huruf. Ada huruf yang apabila disebut, bunyinya perlu keluar dari pangkal kerongkong, atau pangkal lidah yang menyentuh lelangit atau hujung gigi, atau di antara dua bibir, rongga mulut, mahupun rongga hidung.

Menurut Ustaz Mohd Taufik, sepanjang pengalaman beliau mengajar al-Quran, mereka yang berketurunan Siam agak sukar untuk menyebut “ja” yang sering kali berbunyi “ya”. Manakala orang Cina susah untuk menyebut “ro” yang selalunya berbunyi “lo”. Sebutan “Rahman” dan “Rahim” akan berbunyi “Lahman” dan “Lahim”. Manakala sebutan muhajir keturunan India pula agak keras.

Ramai dalam kalangan muhajir yang menghafal Surah Al-Fatihah dan beberapa surah pendek untuk dibaca ketika solat, menggunakan transliterasi, iaitu kandungan al-Quran yang ditulis dalam tulisan rumi. Ini dibolehkan pada peringkat permulaan kerana mereka mungkin belum kenal huruf al-Quran dan tidak faham hukum tajwid. Tetapi, tidak wajar untuk berada pada tahap yang sama selepas 10 tahun memeluk Islam.

Membaca al-Quran tanpa bertajwid boleh mengubah maksud kalimah atau ayat, khususnya bacaan panjang atau pendek, dan juga dengung. Penjagaan dan pembacaan tajwid yang betul adalah sangat penting supaya maksud bacaan tidak terpesong daripada makna sebenar sebagaimana firman ALLAH SWT dalam ayat 4 Surah Al-Muzzammil yang bermaksud:

“Bacalah al-Quran dengan bertartil (memelihara hukum tajwid).”

Uthman bin Affan RA berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.” (riwayat Bukhari)

Selain mengubah makna sebenar, bacaan al-Quran yang tidak betul juga akan kedengaran janggal dan tidak sedap didengar; ia boleh menjadikan solat tidak sempurna, malah boleh terbatal. Maka, kita semua wajib belajar al-Quran dan tiada istilah sudah terlambat untuk belajar.

Bagi seorang Cina yang baru memeluk Islam, memang sukar untuk membaca al-Quran dengan fasih dan lancar seperti sahabat-sahabat Melayu tetapi tidak mustahil untuk menjadi mahir jika istiqamah dan bersungguh-sungguh belajar. Ustaz Mohd Taufik sendiri boleh membaca al-Quran dengan baik dan lancar serta sering mengimamkan solat tarawih Ramadan. Begitu juga Ustaz Dr Mohd Farid Ravi.

Dr Mohd Fuad Yeoh bukan sahaja lancar membaca al-Quran, malah beliau fasih berbahasa Arab. Penulis pernah mendengar sendiri bagaimana beliau berkomunikasi dengan Sheikh Hussein Yee dalam bahasa Arab. Manakala Haji Abdul Qader Leong pula bukan sahaja mahir membaca al-Quran tetapi beliau telah menulis buku tajwid dalam bahasa Melayu serta menterjemahkan buku tajwid dari bahasa Arab ke bahasa Mandarin.

Penulis sendiri masih lagi mempelajari tajwid, terbaharu dengan Ustaz Ahmed Yushamudden Yusuf, sejak beberapa tahun lepas di rumah beliau dan kini dua kali seminggu di pejabat Kelab Suara Muda, Kota Bharu. Penulis dapat melihat bagaimana setiap orang, tidak kira Islam asal atau baru memeluk Islam, mempunyai masalah dan cabaran tersendiri menyebut huruf al-Quran dengan betul.

Sekarang, terdapat pelbagai kaedah yang diperkenalkan untuk belajar mengaji atau membaca al-Quran. Selain buku Iqra, kaedah Abahata juga agak mudah dan terbukti berkesan walaupun untuk anak-anak istimewa seperti penghidap autisme. Semoga dengan usaha mempelajari ilmu al-Quran, mengamalkan dan mengajarkannya pula, kita mendapat kejayaan dunia dan akhirat.

* Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

Posted in Sinar Harian

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments