Bercuti raya dengan tenang

Kebanyakan penduduk ibu kota akan pulang ke kampung halaman pada musim perayaan. Ada juga yang mengambil kesempatan bercuti bersama keluarga sambil meraikan perayaan di luar negara. Apa pun, ramai yang bercuti panjang kerana bukan senang hendak balik kampung selalu, berkumpul bersama adik-beradik dan sanak saudara.

Ketika ramai penduduk kota bercuti, ada golongan yang mengambil kesempatan memecah masuk rumah dan sebagainya. Pihak polis juga mempunyai kekangan untuk memantau kerana begitu banyak rumah yang ditinggalkan tuannya ketika musim perayaan.

Pasti ramai yang pernah mendengar kejadian pecah rumah pada siang hari dan pencuri melarikan barang dengan lori. Dalam kejadian seperti ini, biasanya orang sebelah menganggap jirannya sedang berpindah sedangkan jirannya tiada di rumah dan sedang bercuti. Inilah akibat tiadanya kerjasama antara jiran, malah ada yang tidak mengenali antara satu sama lain.

Bagi Haji Azizi Hashim yang tinggal di Bandar Kinrara, hubungan baik dengan jiran sangat penting. Jiran di sebelah kiri rumah lamanya  adalah sebuah keluarga Cina beragama Kristian; pasangan Richard dan Ruth bersama anak-anak mereka Rannon dan Rannice, manakala jiran di sebelah kanan rumahnya ialah Mr. Loke dan keluarganya yang beragama Buddha. Jiran bersebelahan Richard pula ialah Kumar dan Devi, pasangan India beragama Hindu.

Setiap tiba musim perayaan, Haji Azizi akan meminta pertolongan Richard untuk memantau rumah beliau. Biasanya dia akan balik ke kampung selama seminggu. Begitu juga apabila Richard dan keluarganya balik ke Pulau Pinang untuk sambutan Krismas, Azizi pula yang akan memantau rumah beliau. Kumar dan Devi akan turut memantau rumah Loke dan Richard ketika mereka bercuti sempena Tahun Baru Cina.

Setelah berpindah rumah, jiran baharu Haji Azizi ialah Raymond dan isterinya, Ah Kwan. Mereka juga sangat akrab dan mengambil berat antara satu sama lain. Haji Azizi masih ingat ketika beliau dan isteri ke Mekah selama 45 hari untuk menunaikan haji pada Oktober 2012, anak-anak tinggal bersama moyang mereka yang berumur 80 tahun.

Sekembalinya Haji Azizi dan isteri dari Mekah pada awal Disember 2012, anaknya yang berumur 5 tahun memberitahunya bahawa moyangnya demam selama 3 hari dan Mak Cik Ah Kwan yang kerap datang ke rumah untuk memberi moyang makan ubat. Haji Azizi sangat terharu kerana dikurniakan jiran-jiran yang berhati mulia.

Menurutnya, tidak kira Melayu, Cina, India, Portugis mahupun Iban atau apa kaum sekalipun, kesemuanya berdarah merah. Hanya seketul daging bernama hati yang menentukan wangi atau busuk jiwa seseorang itu. Yang paling penting adalah saling menghormati dan tidak berprasangka. Pasti hidup akan lebih bermakna dan berseri.

Kami di kejiranan Bandar Baru Kubang Kerian juga mempunyai grup WhatsApp sebagai medium komunikasi. Mana-mana ahli grup yang terlihat sesuatu yang mencurigakan akan segera melaporkan atau berkongsi dengan ahli grup yang lain. Begitu juga jika ingin memaklumkan ketiadaan di rumah atas sebab balik kampung atau sebab-sebab lain. Saya sendiri menyerahkan kunci rumah kepada jiran yang akan berada dalam kawasan perumahan kami jika balik ke kampung isteri. Bukan sahaja tolong pantau rumah, jiran saya juga turut menyiram pokok dan memberi kucing makan. Betapa indahnya jika hidup harmoni bersama jiran.

Lebih menarik, Ketua Balai Polis Kubang Kerian turut dimasukkan ke dalam grup WhatsApp tersebut. Maka, apa sahaja permasalahan atau perkembangan kami diketahui oleh Ketua Polis Balai. Ini merupakan hasil perbincangan dengan Ketua Polis Daerah Kota Bharu susulan beberapa kejadian pecah rumah sebelum ini, lebih-lebih lagi pada musim perayaan. Bukan itu sahaja, Unit Rondaan Bermotor (URB) dari Balai Polis Kubang Kerian juga lebih kerap melakukan rondaan di kawasan “panas” sekarang. Alhamdulillah, sehingga kini, tiada lagi kes pecah rumah di kawasan kejiranan kami.

Program kejiranan seperti Rukun Tetangga (RT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) juga mampu menghindarkan kejadian jenayah. Hidupkanlah kembali semangat kejiranan. Semoga kita semua dapat berhari raya dan bercuti dengan tenang. Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Posted in Sinar Harian

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments