Bayar dahulu baru makan

http://www.karangkraf.com/lawatan/bayar-dahulu-baru-makan-1.909061

Saya tergelak kecik ketika terbaca status Facebook seorang sahabat baru-baru ini. Status tersebut mengatakan beliau terpaksa membawa buku nota kecil untuk mencatat pesanan makanan dan minuman apabila makan di kedai. Saya rasa situasi ini biasa kita hadapi.

Walaupun bukan semua tetapi masih banyak juga kedai makan, terutamanya milik bumiputera, yang masih beroperasi sebegini. Yang paling menghairankan adalah apabila pelayan mengambil tempahan masakan ala carte dan juga minuman,mengapa tempahan yang sama tidak diberikan kepada juruwang untuk direkod bagi memudahkan proses pembayaran kemudiannya?

Pada hari ini, dengan teknologi moden, kedai mamak pun sudah menggunakan telefon pintar yang dilengkapi aplikasi terkini untuk mencatat pesanan dan pesanan tersebut terus dihantar secara maya ke sistem pesanan untuk bahagian dapur dan juga ke kaunter juruwang. Terdapat juga kedai yang menggunakan kad. Setelah pesanan diambil dan dimasukkan ke dalam terminal pesanan, pelayan akan memberi sekeping kad yang pelanggan hanya perlu serahkan kepada juruwang untuk membayar. Jika selepas makan baru hendak dikira, bagaimana hendak memastikan harganya betul atau tepat?

Bagaimana pula pihak peniaga menetapkan harga makanan terutama bagi hidangan bufet? Adakah terdapat perbezaan harga jika seseorang mengambil hanya sedikit nasi, sama ada separuh atau suku, dan mengambil empat jenis lauk tetapi setiap satu serba sedikit, berbanding seorang yang lain yang mengambil hanya satu lauk tetapi lauk itu memenuhi separuh pinggan dan nasinya juga penuh? Konsep halal dalam Islam itu luas. Adakah halal juga apa yang kita makan jika terkurang bayar?

Apakah pula hukumnya makan dahulu baru bayar? Jika diikutkan, pendapat yang kuat dalam mazhab Syafie mengatakan bahawa tidak boleh makan dahulu dan bayar kemudian. Bagaimanapun, pendapat yang membolehkan diriwayatkan oleh Ibnu Majah melalui hadis nombor 2269. Dari Abu Said al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda, “Jual beli itu tidak lain hanya dengan sama-sama reda”.

Ini bermaksud bahawa makan dahulu bayar kemudian dibolehkan sekiranya penjual dan pembeli sama-sama reda. Jika sebaliknya, ia tidak dibolehkan. Ini bermakna, pihak pembeli sekurang-kurangnya harus tahu harga makanan yang diambil atau dipesan dan dibolehkan bayar selepas habis makan. Islam tidak membenarkan kiraan dibuat selepas makan.

Makan dahulu dan bayar kemudian merupakan adat atau uruf (?urf) yang tidak bertentangan dengan syariat selagi ada akad, iaitu pembeli tahu nilai makanan yang dipesan dan reda atau setuju dengan harga tersebut. Pun begitu, antara kelemahan cara ini adalah boleh berlakunya penipuan harga makanan.

Mungkin ramai antara kita yang masih ingat kes yang pernah tular di laman sosial melibatkan seorang individu yang mendakwa harga kari kepala ikan yang dimakannya terlalu mahal. Pengadu terkejut setelah mendapati empat mangkuk kari kepala ikan merah yang dipesannya berjumlah RM600. Katanya, itu bermakna setiap kepala ikan berharga lebih kurang RM150. Keseluruhan bilnya hampir mencecah RM1,000.

Acap kali juga kita mendengar keluhan atau luahan rasa tidak puas hati dengan harga makanan walaupun hanya makan di warung. Apakan daya, sebab sudah makan, terpaksalah bayar juga. Jika harga diberitahu lebih awal atau dipaparkan, pembeli mempunyai pilihan sama ada ingin meneruskan pesanan atau tidak. Maka, tidak akan ada elemen penipuan atau rasa ditindas.

Bayar dulu baru makan juga boleh mengelak peniaga daripada kerugian sekiranya ada pembeli yang terburu-buru keluar kerana ada kecemasan ataupun memang terlupa untuk membayar. Ia juga sebenarnya lebih baik bagi memastikan urus niaga yang lebih adil; peniaga meletakkan harga mengikut jumlah makanan yang diambil atau dipesan dan boleh mengelak daripada mereka yang mempunyai niat untuk menipu. Sekiranya pelanggan tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar, sekurang-kurangnya peniaga tahu.

Maka, daripada segi syariah, adalah lebih baik kita bayar terlebih dahulu makanan yang akan kita makan, atau kita tahu harganya sebelum makan. Dalam hal ini, saya lihat restoran makanan segera lebih Islamik kerana kita perlu membayar terlebih dahulu sebelum makan. Semoga kedai-kedai makan yang lain turut mempraktikkan kaedah yang lebih Islamik ini.

*Johari Yap adalah pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan.

Posted in Sinar Harian

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments