Bagaimana Menghayati Erti Syukur?

http://www.malaysiandigest.com/bahasa-malaysia/667319-bagaimana-menghayati-erti-syukur.html

Daripada segi makna, bersyukur bermaksud menzahirkan rasa penghargaan atas sesuatu nikmat. Ia adalah satu manifestasi sikap merendah diri dan latihan menjauhkan diri daripada sifat sombong.

Sifat sombong telah menyebabkan iblis diturunkan dari syurga dan dilaknat oleh Allah SWT kerana enggan tunduk menyembah manusia pertama yang diciptakan, iaitu Nabi Adam AS. Iblis sombong kerana menganggap dirinya yang dicipta daripada api lebih baik daripada Nabi Adam AS yang dicipta daripada tanah. Kisah ini terkandung dalam al-Quran sebagaimana ayat berikut:

?Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat, ?Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam.’ Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.” (Al-Baqarah 2: 34)

Bersyukur adalah sifat seorang hamba yang tunduk kepada Tuhannya. Ia menjadi benteng kepada sifat-sifat mazmumah yang lain seperti hasad dengki, mengadu domba, fitnah-menfitnah, serta riak dan takbur. Seseorang yang bersyukur akan sentiasa mengingatkan dirinya serta orang di sekelilingnya untuk berbuat baik sesama insan di samping membesarkan setiap kejadian Allah SWT sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

?Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.” (An-Nisaa’ 4: 114)

Bersyukur akan mendekatkan diri seseorang hamba dengan Tuhannya. Bersyukur juga menjauhkan seseorang daripada hasutan iblis yang telah berikrar untuk menyesatkan umat manusia sewaktu dihalau keluar dari syurga.

?Iblis berkata, ?Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur’.” (Al-A’raaf 7: 16–17)

Allah SWT adalah Tuhan yang Maha Mengetahui dan Maha Arif tentang penciptaannya. Selain kebesaranNya sebagai Tuhan Pencipta sekalian alam, setiap penciptaanNya juga adalah ujian untuk ciptaan-ciptaanNya yang lain.

Sebagai hamba, kita perlu mensyukuri segala nikmat yang telah dilimpahkan kerana hakikatnya, walaupun diberikan ilmu dan akal, kita sebenarnya adalah makhluk yang lemah. Setiap helaan nafas atau gerakan jari-jemari kita tidak mungkin dapat dilakukan melainkan dengan rahmat dan kudrat yang dilimpahkan oleh Allah SWT. Setiap sel yang membentuk tubuh serta perjalanan sistem tubuh badan pula tidak mungkin digerakkan oleh diri kita sendiri.

Kita perlu bersyukur kerana dengan ihsan Allah SWT, syurga telah diciptakan untuk kesenangan kita selama-lamanya di akhirat nanti. Cuma, untuk mendapat syurga, kita perlulah memilih jalan yang lurus melalui panduan yang dibawa oleh nabi-nabi melalui kitab-kitab yang mengandungi firmanNya.

?Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi (terhadap umatmu), dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar).” (Al-Ahzaab 33: 45)

Bersyukur juga akan membuka peluang kepada hambaNya untuk mendapat limpahan kurnia yang lebih, sama ada di dunia mahupun di akhirat nanti. Ini jelas dinyatakan dalam al-Quran apabila Allah SWT menyelamatkan kaum Yahudi yang ditindas oleh Firaun. Dengan dipimpin Nabi Musa AS, mereka menyeberangi Laut Merah manakala tentera Firaun ditenggelamkan ke dasar lautan. Dalam kepayahan mereka, Nabi Musa diwahyukan untuk menyampaikan firman Allah SWT kepada kaumnya yang ditimpa malapetaka melangkaui kesabaran mereka dengan peringatan untuk bersyukur.

?Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu, ?Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras’.” (Ibrahim 14: 7)

Jelas, ini adalah sumpah Allah SWT yang disandarkan kepada diriNya sendiri dan kesyukuran itu perlu dizahirkan secara umum kepada mana-mana pihak yang memudahkan hidup kita. Dengan bersyukur, nikmat kita akan bertambah.

Bagaimana untuk bersyukur?

Sebagai panduan asas, 3 kaedah untuk kita bersyukur adalah bersyukur dengan hati, bersyukur dengan lidah, dan bersyukur dengan perbuatan.

Bersyukur dengan hati dilakukan dengan menyedari dan mengakui sepenuhnya bahwa nikmat yang diperoleh adalah semata-mata anugerah dan kemurahan Ilahi. Seseorang yang bersyukur dengan hatinya pada saat ditimpa malapetaka juga sebenarnya telah memuji Allah SWT; bukan kerana musibah yang menimpa tetapi kerana hikmah yang diyakininya terhasil daripada malapetaka itu.

Bersyukur dengan lidah dilakukan melalui ucapan bahawa segala pemberian adalah daripada Allah SWT, Tuhan yang Maha Memiliki segala-galanya. Ia biasa dilakukan dengan mengucapkan ‘Alhamdulillah’ (segala puji bagi Allah). Daripada segi bahasa, perkataan ‘Alhamdulillah’ yang disampaikan secara lisan disebut sebagai al lil-istighraq yang bererti keseluruhan. Kata ‘Al Hamdu’ yang diungkapkan itu mengandungi erti bahawa pihak yang paling berhak menerima segala pujian ialah Allah SWT.

Bersyukur dengan perbuatan dilakukan dengan berusaha atau melaksanakan kebaikan melalui kurniaan Allah SWT. Kelebihan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada seseorang hamba perlu digunakan sebaiknya bagi memberi manfaat kepada orang lain dan persekitaran.

?Golongan jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang ia kehendaki dari bangunan-bangunan yang tinggi, dan patung-patung, dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam, serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tukunya. (Setelah itu Kami perintahkan), ?Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!’ Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur.” (Saba’ 34: 13)

Salah satu contoh bersyukur melalui perbuatan adalah penubuhan Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan (Kelab Asnaf) yang telah diasaskan pada Jun 2015. Ia ditubuhkan sebagai satu manifestasi kesyukuran terhadap nikmat-nikmat yang dicurahkan Allah SWT kepada Pengerusinya, Ir. Meor Shamshir.

 

Sebagai seorang jurutera yang beralih daripada kerja makan gaji kepada berniaga sendiri, seharusnya, perjalanan perniagaan serta hidupnya perlu dirancang sebaik mungkin. Matlamat-matlamat hidup dan perniagaan perlu digariskan dan dirangkumkan untuk menjadi pelan kehidupan. 10 tahun dalam alam pekerjaan dan 5 tahun dalam alam perniagaan menjadikan Ir. Meor seorang yang berpengalaman dalam merencana apa yang diinginkan.

Dalam merancang pelan kehidupan dan perniagaannya, beliau menginsafi segala nikmat yang telah dikurniakan kepadanya. Untuk maju ke hadapan, beliau mengilhamkan nikmat-nikmat yang lebih besar untuk kehidupan perniagaannya. Banyak perkara yang diidamkan. Semasa mencari idea dalam merangka pelan ke hadapan ini, ayat al-Quran berikut bermain-main difikirannya.

?Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu, ?Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras’.” (Ibrahim 14: 7)

Mengambil ayat ini sebagai salah satu asas dalam pelan yang dirangkanya, beliau mula mencari kaedah yang terbaik untuk melatih dirinya agar sentiasa bersyukur.

Kebiasaannya, pada setiap hujung minggu, di taman perumahannya, akan ada golongan peminta sedekah datang mencari rezeki. Mereka ini ada yang regular dan ada yang tidak. Pada awal tahun 2015, Ir. Meor mula mencatat biodata warga asnaf yang datang ke rumahnya. Warga asnaf ini juga akan dihidangkan dengan makanan dan minuman sambil masalah mereka diceritakan kepada Ir. Meor.

 

Permasalahan mereka ini dicatat dan jika boleh, dibantu. Beliau membantu sama ada melalui kudratnya sendiri atau melalui rakan-rakannya. Beliau juga memuat naik kisah-kisah kepayahan hidup warga asnaf ini ke medium media sosial Facebook untuk renungan orang lain yang lebih bernasib baik. Penceritaan kisah-kisah inspirasi yang berkisar tentang kesyukuran ini dijadikan sebagai wadah dakwah bil hal beliau yang kadangnya menjadi tular serta berupaya meraih sumbangan orang ramai.

Hasil daripada beberapa sesi sebegini, iaitu mendengar dan memberi makan kepada warga asnaf, timbul rasa syukur dalam hati beliau. Setiap kali masalah warga asnaf ini didengar dan sebahagian permasalahan mereka diselesaikan, rasa bersyukur terhadap nikmat yang dikecapinya akan lebih dirasai tanpa dipaksa.

Rasa syukur ini menjadikan beliau merasa cukup dengan apa yang sedang dinikmatinya. Angan-angannya untuk lebih berjaya dalam kehidupan masih ada tetapi ia diiringi dengan perasaan cukup dengan apa yang ada. Perasaan cukup ini menurut beliau membantu ke arah mendiamkan jiwa yang sentiasa gusar mengenangkan ujian dalam kehidupan. Rasa gusar hati inilah yang membelenggu kebanyakan manusia lantas mewujudkan persaingan yang tidak sihat.

Melihat kepada manfaat kesyukuran hasil daripada sesi mendengar permasalahan warga asnaf serta keinsafan rakan-rakan yang berkongsi kisah inspirasi di laman facebook beliau, maka pada Jun 2015, beliau telah menubuhkan secara rasmi Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan. Sebuah rumah banglo setingkat disewa di Taman Tg Mas, Kota Bharu. Premis ini dijadikan pusat aktiviti Kelab Asnaf dan ia dinamakan Rumah Asnaf.

Program utama Kelab Asnaf adalah memberi makan percuma pada setiap hari Jumaat. Ia dikenali sebagai Dapur Asnaf. Sehingga artikel ini ditulis, sebanyak 82 Dapur Asnaf telah diadakan dengan jayanya. Program yang bermula pada jam 2.30 petang ini biasanya berakhir pada waktu Maghrib. Kebiasaannya, warga asnaf akan menjamu selera sehingga jam 3.30 petang. Setelah itu, sesi perkongsian atau ceramah agama akan diadakan sehingga jam 4.30 petang. Setelah solat Asar berjemaah, Klinik Asnaf akan dimulakan. Ia mengambil masa 2–3 jam bergantung kepada bilangan asnaf yang terlibat.

 

Klinik Asnaf adalah satu sesi yang penting buat warga asnaf yang memerlukan. Dalam sesi ini, warga asnaf diberikan peluang berjumpa dengan Ir. Meor atau petugas-petugas Kelab Asnaf yang dikenali sebagai Skuad Asnaf. Warga asnaf akan meluahkan perasaan mereka dan dalam kebanyakan sesi, ia dilimpahi air mata.

Sehingga kini, Kelab Asnaf telah mendaftar lebih 500 keluarga daripada 20 kawasan Dewan Undangan Negeri di Kelantan. Pelbagai bantuan telah disalurkan kepada warga asnaf terutamanya bantuan makanan dan pendidikan anak-anak warga asnaf. Pelbagai agensi telah sudi terlibat secara langsung membantu warga asnaf. Antaranya, Majlis Belia Kelantan, Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia Kelantan, Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaysia Kelantan, Yayasan Noor Al-Syakur, RTM, ASTRO, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Mahkamah Syariah Kelantan, Jabatan Pembangunan Persekutuan, dan banyak lagi.

Hingga hari ini, Kelab Asnaf masih berupaya meneruskan program hasil daripada sumbangan orang ramai. 80% kekuatan kewangan Kelab Asnaf datangnya daripada kaedah crowdfunding melalui medium Facebook. Walaupun Ir. Meor telah berjaya membantu warga asnaf, beliau tidak berhajat mengambil alih tugas pihak yang lebih berkuasa dan berkemampuan. Matlamat asal beliau adalah untuk mencari kaedah mensyukuri nikmat yang beliau kecapi supaya Allah tambahkan nikmat untuk dirinya nanti. Suburnya Kelab Asnaf sehingga kini adalah kerana tertunainya sumpah Allah bahawa jika kita bersyukur, nescaya Dia akan tambahkan nikmatNya untuk kita.

Semoga suatu hari nanti lebih ramai lagi individu seperti Ir. Meor yang sanggup mengorbankan masa dan harta serta ilmu juga rangkaian kenalan yang sangat berharga untuk membantu mereka yang memerlukan sebagai cara menzahirkan kesyukuran kepada Tuhan yang Maha Esa.

Johari Yap,
Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Cawangan Kelantan

Posted in Malaysian Digest

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments