Antara mualaf dan mukalaf

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/johari-yap/antara-mualaf-dan-mukalaf-1.623942

MUALAF bermaksud orang yang baru memeluk agama Islam atau yang baru hendak berjinak-jinak dengan Islam, iaitu yang belum lagi Islam tetapi sedang mengkaji atau cuba mengamalkan ajaran Islam. Perkataan mualaf berasal daripada istilah bahasa Arab muallafat qulubuhum, salah satu daripada lapan golongan asnaf yang layak menerima zakat sebagaimana disebut dalam Surah at-Taubah, ayat 60.

Mukalaf pula bermaksud orang Islam atau yang telah kembali kepada Islam, yang berakal sihat, telah baligh dan dipertanggungjawabkan dengan kewajipan untuk menjalankan tuntutan agama Islam serta menjauhi segala larangannya. Golongan mualaf yang sudah mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya sebenarnya tidak lagi sesuai dipanggil mualaf; mereka lebih sesuai dipanggil mukalaf.

 Berapa lamakah tempoh yang wajar bagi seseorang untuk bergelar mualaf? Mungkin kita biasa mendengar panggilan atau gelaran ustaz mahupun ustazah mualaf. Walaupun mereka ini mungkin telah mempunyai PhD dalam pengajian Islam, masyarakat masih cenderung memanggil mereka dengan gelaran mualaf.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-108 yang bersidang pada 2-3 November 2015 telah membincangkan mengenai Had Kemualafan Seseorang Saudara Baru. Perbincangan dibuat susulan kebimbangan Jawatankuasa Fatwa Terengganu terhadap ketidakseragaman dalam isu tersebut kerana ia melibatkan tuntutan zakat.

Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju menetapkan lima tahun sebagai had tempoh maksimum bagi seseorang saudara baru untuk dipanggil mualaf. Bagaimanapun, memandangkan agama adalah di bawah bidang kuasa negeri, Majlis Agama Islam Negeri berhak membuat sebarang pengecualian yang difikirkan wajar dan sesuai.

Persoalannya sekarang, adakah setiap mualaf itu benar-benar menjadi seorang yang mukalaf selepas lima tahun? Apakah perbezaan antara mereka yang lahir dalam keluarga Islam dengan yang lahir dalam keluarga bukan Islam?

Seorang yang lahir dalam keluarga Islam mempunyai kelebihan hidup bersama ahli keluarga yang telah beriman. Pada dasarnya, mereka didedahkan kepada cara hidup Islam sejak kecil lagi dan diasuh untuk menjadi seorang Islam yang beriman dan beramal terutamanya setelah baligh.

Manakala mereka yang lahir dalam keluarga bukan Islam pula mempunyai kelebihan mengenali agama lain sebelum mereka kembali kepada agama fitrah. Mereka biasanya lebih bersikap terbuka dan tidak terlalu anti agama lain. Tempoh untuk mereka menjadi seorang Muslim yang mukalaf berbeza-beza, bergantung kepada tahap ilmu serta pengamalan ajaran Islam masing-masing.

Ada juga yang lahir Islam tetapi tidak mengamalkan Islam sepenuhnya ketika muda dan hanya mula kembali ke pangkal jalan pada usia yang agak lewat. Ada pula yang baru berjinak-jinak dengan Islam setelah dewasa. Mereka ini juga umpama mualaf yang berusaha untuk menjadi mukalaf.

Realitinya, kebanyakan orang akan melalui peringkat mualaf sebelum menjadi seorang yang mukalaf. Kita semua beramal dengan kadar dan pada peringkat yang berbeza-beza. Yang penting, matlamat kita seharusnya sama dan kita seharusnya saling membantu untuk kembali kepada Islam yang sebenar.

Kita juga sepatutnya membuka pintu Islam untuk sesiapa sahaja yang ingin kembali kepada Islam. Firman ALLAH SWT yang bermaksud, “Dan janganlah kamu duduk pada tiap-tiap jalan lalu-lalang, dengan menakut-nakutkan dan menghalangi orang-orang yang beriman dari melalui jalan ALLAH, dan kamu pula menghendaki supaya jalan ALLAH itu bengkok dan terpesong. Dan ingatlah semasa kamu dahulu sedikit bilangannya lalu ALLAH menjadikan kamu kembang ramai, serta perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang membuat kerosakan.” (Surah al-A’raf, ayat 86)

Sebenarnya, tidak penting sama ada seorang Muslim itu lahir dalam keluarga Islam atau bukan Islam. Menjadi orang Islam sahaja belum ada jaminan daripada ALLAH bahawa amal ibadah kita akan diterima.

Yang penting adalah menjadi seorang Islam yang bertakwa. Semoga semua yang telah mukalaf terus berusaha mengerjakan amal soleh dan menjauhi yang mungkar dan semoga mendapat reda ALLAH SWT kerana itulah yang kita perlukan sebagai tiket untuk mendapat syurga-Nya di sana nanti.

Posted in Sinar Harian

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments