Antara bufet dengan nasi bungkus

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/johari-yap/antara-bufet-dengan-nasi-bungkus-1.661370

SYABAS kepada Tan Sri Datuk Dr Ali Hamsa yang meminta agar jamuan-jamuan yang diadakan oleh jabatan atau kementerian kerajaan ditukar daripada bentuk bufet kepada hidangan nasi campur yang siap dibungkus.

Saranan ini sejajar dengan kempen MYSaveFood yang dikhususkan untuk kakitangan awam dan keluarga mereka. Beliau yakin kempen ini dapat membantu Malaysia mencapai matlamat Organisasi Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengurangkan separuh pembaziran makanan menjelang 2030.

Kempen ini adalah satu langkah yang tepat kerana Malaysia berhadapan dengan masalah pembaziran makanan yang sangat ketara – purata 3,000 tan metrik makanan yang masih boleh dimakan dibuang setiap hari.

Jika dianggarkan setiap orang makan sekitar 500gm untuk setiap hidangan dan diandaikan 3 kali waktu makan sehari, setiap orang memerlukan 1.5 kg makanan sehari dan 3,000 tan metrik makanan boleh dimanfaatkan oleh 2 juta orang. Menurut Ali, ini diterjemahkan kepada RM6 juta pembaziran setiap hari.

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dan pendapatan kerajaan yang agak kurang berbanding perbelanjaan mengurus yang sentiasa meningkat, kempen ini bukan sahaja dapat mengurangkan pembaziran makanan tetapi mengurangkan perbelanjaan kerajaan juga.

Sebenarnya, penjimatan sebegini sudah lama diamalkan oleh pihak swasta dan ada juga jabatan kerajaan yang telah terlebih dahulu memulakannya atas inisiatif ketua jabatan masing-masing. Cuma, ia tidak diuar-uarkan, maka kempen ini dilihat akan menyemarakkan lagi budaya jimat-cermat ini.

Dasar berjimat-cermat dengan menghidangkan nasi bungkus, yang lebih dikenali sebagai nasi berlauk dalam kalangan rakyat Kelantan, sudah bermula lebih 20 tahun yang lepas di Kelantan di bawah kepimpinan Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai Menteri Besar (MB).

Sudah menjadi kebiasaan nasi bungkus menjadi hidangan setiap kali selesai mesyuarat Exco Kerajaan Negeri atau mesyuarat MB atau mesyuarat ahli Exco bersama agensi kerajaan yang lain.

Menurut Hajah Mumtaz Md Nawi yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Kebajikan Negeri Kelantan, sejak beliau dilantik sebagai Senator hinggalah menjadi Adun Demit dan Exco Kerajaan Kelantan, nasi bungkus sudah menjadi hidangan biasa setiap kali mesyuarat.

Adalah menjadi dasar kerajaan negeri untuk sentiasa berjimat-cermat kerana duit kerajaan adalah untuk melaksanakan amanah ALLAH menjaga kesejahteraan rakyat di Kelantan.

Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah berkata, “Walau sedap dan mahal mana pun makanan yang kamu makan, kamu tidak boleh makan lebih daripada hadnya. Akhirnya, makanan itu jadi najis dan dibuang dalam tandas.”

Laporan berita bertarikh 4 Februari 2010 daripada arkib akhbar tempatan menunjukkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, memakan nasi bungkus di pejabatnya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Ipoh ketika Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim, sedang menjelaskan beberapa perkara berkaitan pentadbiran kepadanya.

Universiti-universiti awam di Malaysia juga telah mula mengamalkan sajian nasi bungkus sejak beberapa tahun yang lepas. Begitu juga agensi-agensi swasta dan badan-badan bukan kerajaan. Macma Kelantan, sebagai contoh, sejak beberapa tahun yang lepas, menghidangkan nasi bungkus bajet dan air mineral untuk majlis berbuka puasa di pejabat mereka di Taman Maju, Kota Bharu.

Hadirin juga hanya duduk bersila di atas tikar yang dibentangkan di pekarangan bangunan pejabat Macma. Yang penting adalah  merapatkan ukhuwah dengan berbuka puasa bersama-sama dan solat Maghrib berjemaah kerana selepas itu mereka akan bergerak ke masjid di kawasan masing-masing untuk menunaikan solat Isyak dan tarawih.

Mungkin ada pihak lain yang mempunyai dasar dan amalan sama. Syabas diucapkan. Sesungguhnya kepimpinan melalui teladan adalah satu prinsip yang sangat penting, bukan hanya cogan kata yang sedap didengar.

Apabila pemimpin menunjukkan contoh yang baik, mengamalkan dasar yang berlandaskan nilai-nilai murni seperti berjimat-cermat ini, pegawai bawahan termasuk rakyat akan menghargai usaha murni pimpinan mereka dan turut terdorong untuk mengamalkan amalan-amalan yang sihat dan baik. Semoga usaha penambahbaikan seperti ini akan berterusan.

Posted in Sinar Harian

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments