Aidilfitri di bumi Tiongkok

http://www.sinarharian.com.my/mobile/kolumnis/johari-yap/aidilfitri-di-bumi-tiongkok-1.696568

NEGARA China yang terletak di tengah-tengah benua Asia juga dikenali sebagai Zhongguo dalam bahasa Mandarin atau Tiongkok dalam dialek Hokkien yang bermaksud negara atau kerajaan tengah.

Baru-baru ini, saya telah menghubungi saudara Muhammad Afiq Che Lah, sukarelawan Macma Kelantan yang baru sahaja menamatkan pengajian Sarjana Muda Sastera Bahasa China di Beijing Language and Culture University (BLCU).

Beraya pada waktu peperiksaan merupakan satu cabaran yang tidak asing lagi bagi Afiq yang telah lima tahun berada di bumi Tembok Besar China serta rakan-rakannya di BLCU dan Beijing Foreign Studies University (BFSU).

Pun begitu, mereka tetap gembira kerana dapat bersama rakan-rakan yang sentiasa menemani pada waktu susah dan senang, menjadikan setiap pengalaman lebih diingati. Mereka meraikan 1 Syawal lewat sehari daripada Malaysia.

Di NiuJie Beijing, masjid yang tertua di Beijing, polis akan berkawal dan mengadakan pengawasan ketat setiap kali penduduk Muslim meraikan Aidilfitri dan Aidiladha. Ia untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Masjid ini terletak di daerah Xuanwu yang dihuni lebih 10,000 umat Islam, dan merupakan masjid terbesar serta tertua di Beijing. Semangat ukhuwah yang terlihat di sekitar Masjid Niujie menghangat suasana raya di sana.

Suasana sambutan yang berlainan tanpa iklan raya di televisyen dan lagu raya di corong radio membuatkan mereka lebih menghayati sejarah kemenangan tentera Ahzab melalui maksud yang terkandung dalam laungan takbir raya.

Bagi anak muda Kelantan yang berasal dari Berek 12, Kota Bharu ini, banyak ilmu dan pengalaman bermanfaat yang beliau peroleh sepanjang berada di China, termasuk pengamalan berpuasa dan menyambut Aidilfitri dan Aidiladha. Antaranya adalah erti kehidupan setelah menjalani latihan sebulan berpuasa dan persiapan menghadapi baki sebelas bulan yang lain.

Lima tahun menuntut ilmu di negara komunis tersebut meningkatkan rasa kesyukuran Afiq dilahirkan di Malaysia. Afiq melihat rakyat Malaysia memiliki peluang seluas-luasnya untuk mendalami agama Islam, bahkan turut dibantu kerajaan, tetapi anak-anak Muslim di Beijing tidak berpeluang untuk memahami agama dan tujuan sebenar kehidupan seawal di bangku persekolahan.

Menurut Afiq, di China hanya terdapat beberapa wilayah atau provinsi yang membenarkan anak-anak muda mempelajari agama di sekolah. Antaranya, wilayah Ningxia, Gansu dan beberapa sekolah swasta di Yunnan.

Di sana, mereka dilihat lebih mempertuhankan duit dan masa berbanding Malaysia yang mempunyai suasana lebih baik untuk memahami dan mengamalkan agama.

Bagi Afiq, cabaran yang dihadapi oleh Muslim di Beijing dalam mengamalkan ajaran Islam ini mengingatkannya juga kepada peristiwa Perang Uhud yang juga berlaku pada bulan Syawal. Dalam Perang Uhud, umat Islam telah kalah.

Pengajaran utama daripada kekalahan itu adalah, dalam Islam yang akan menentukan kemenangan bukanlah kerana seseorang atau satu pihak itu sentiasa menang tetapi keyakinan dan iman yang tidak berbelah bahagi.

Juga, untuk menang, kita amatlah dituntut untuk menjaga hubungan dengan ALLAH dan sesama manusia.Majoriti penduduk China beragama Buddha dan sesetengahnya Ateis. Masyarakat Muslim adalah golongan minoriti.

Walaupun yang memerintah bukan Islam dan mungkin berlaku penindasan ke atas sebahagian Muslim di sana, nilai yang mereka amalkan kebanyakannya seperti yang diajar dalam Islam iaitu telus, tepati masa dan pelbagai lagi dan ia menampakkan mereka lebih baik dalam mempraktikkan nilai-nilai murni itu berbanding sebahagian negara yang diperintah oleh golongan majoriti orang Islam.

Guru (laoshi) Afiq juga sering berkata, “di sebalik sesuatu yang berlaku, ada sesuatu yang bermanfaat yang boleh kita peroleh.”

Bagi Afiq, semua ini seharusnya mengajar kita agar sentiasa muhasabah diri semoga dapat tergolong dalam golongan yang menyedari tujuan penciptaan kita iaitu sebagai hamba ALLAH dan khalifah di bumi ini.

Beliau berharap semoga hasil sebulan melatih diri untuk bertakwa pada Ramadan dan bersilaturahim serta berukhuwah sesama insan pada hari raya Aidilfitri ini, menjadikan kita dalam golongan yang berjaya di dunia dan akhirat.

Posted in Sinar Harian

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments