Adat Kematian Cina Peranakan Kelantan

http://www.malaysiandigest.com/bahasa-malaysia/666163-adat-kematian-cina-peranakan-kelantan.html

Masyarakat Cina amat berpegang teguh pada adat resam, antaranya berkaitan kematian. Setiap ritual yang dilakukan mempunyai maksud tersendiri dan mengikut apa yang diwariskan oleh nenek moyang mereka. Masyarakat Cina Peranakan di Kelantan tidak terkecuali.

Cina Peranakan Kelantan merupakan kumpulan minoriti dalam kumpulan etnik Cina Malaysia yang memperlihatkan tahap asimilasi yang tinggi terhadap budaya Melayu Kelantan serta budaya masyarakat Siam di Kelantan. Bahasa dan budaya Cina Peranakan Kelantan memperlihatkan gabungan elemen-elemen Cina, Melayu dan Siam. Cina Peranakan Kelantan juga dikenali sebagai “Cina kampung” dalam kalangan masyarakat Kelantan.

Kebanyakan mereka tinggal di kawasan luar bandar, di kampung-kampung kecil sepanjang Sungai Kelantan; dari kampung Joh di daerah Machang hingga ke Kampung Cina di daerah Kota Bharu. Ada juga yang tinggal di kampung-kampung Siam di daerah Pasir Mas dan Tumpat, termasuklah mendiang nenek saya, Tiew Chai Khi, 91 tahun, yang baru sahaja meninggal dunia pada 12.15 tengah malam, 8 Mac 2017, akibat sakit tua. Beliau membesar dan tinggal di Kampung Dalam, Tumpat, yang dikenali sebagai kampung “Bannai” dalam kalangan masyarakat Siam.

Mengikut adat Cina, jenazah hanya boleh dikebumikan selepas 3 hari. Ia bagi memberi peluang kepada anak-anak, cucu serta saudara-mara yang tinggal jauh untuk memberi penghormatan terakhir. Bagi mendiang nenek saya, jenazah telah dibawa ke sebuah dewan di Wat Chunprachomthat Chanaram di Kampung Dalam, Tumpat pada pagi setelah kematian beliau. Jenazah diuruskan oleh konsultan yang menyiapkan segala peralatan untuk upacara keagamaan serta pengebumian.

Saudara-mara dan sahabat mendiang dimaklumkan mengenai kematian mendiang melalui panggilan telefon. Seperti kebiasaan zaman teknologi ini, ibu saudara juga telah memuat naik status di laman Facebook untuk memaklumkan berita kematian mendiang dan lokasi jenazah bagi memudahkan sahabat handai yang berhajat untuk memberikan penghormatan terakhir.

Mereka biasanya akan hadir secara berperingkat, dari pagi sampai ke malam untuk melihat mendiang buat kali terakhir serta memberikan penghormatan dengan membakar colok. Pengunjung juga biasanya akan menghulurkan sumbangan wang tunai yang dipanggil ?pek keem’ yang bermaksud ?emas putih’. Mereka akan meletakkannya di dalam tabung yang disediakan. Mereka juga perlu menulis nama serta jumlah sumbangan yang diberikan dalam buku yang disediakan bersebelahan tabung derma tersebut.

Anak-anak mendiang akan tidur di sebelah keranda setiap malam hinggalah upacara pengebumian selesai seawal hari ketiga. Cucu-cucu yang sudah besar pun biasanya tidur di lokasi jenazah diletakkan. Manakala cucu-cucu lain yang mempunyai anak kecil akan berada di tempat tersebut hingga lewat malam sebelum balik ke rumah untuk berehat dan datang kembali keesokan harinya. Ringkasnya, mereka akan meluangkan sebanyak mungkin masa bersama jenazah mendiang sebelum dikebumikan.

Jika 20 tahun yang lalu ketika kematian datuk saya, iaitu suami kepada nenek yang baru meninggal, kami semua berjaga malam kerana perlu membakar kertas perak yang dipanggil ?gin cua’ dalam bahasa Hokkien. Ia kertas berwarna kuning berbentuk segi empat dan mempunyai cap segi empat kecil berwarna perak ditengahnya. Wang kertas perak tersebut digulung dan dilipat di kedua hujungnya kemudian dibakar dalam bekas secara bersambung, tanpa putus, sepanjang malam. Untuk menghilangkan rasa mengantuk, kami biasanya bermain terup di sebelah keranda sambil membakar kertas perak ini. Walau bagaimanapun, keluarga saya tidak meneruskan tradisi ini sekarang.

Tradisi membakar kertas ini dikatakan bermula pada zaman pemerintahan Maharaja Lie Sie Bien (Lie She Min) dari Kerajaan Tang di Tanah Besar China yang menganjurkan kiriman wang kepada keluarga atau dewa-dewa di alam akhirat dengan membakar kertas emas (kim cua) atau kertas perak (gin cua). Kepingan perak dan emas merupakan mata wang China ketika itu. Kebiasaannya, ?kim cua’ digunakan untuk upacara sembahyang atau menyembah dewa-dewa manakala ?gin cua’ untuk nenek moyang yang telah meninggal dunia.

Dengan perubahan zaman, tradisi ini juga berubah. Menggunakan teknologi dan kreativiti, masyarakat Cina sekarang mencetak ?wang akhirat’ dengan meletakkan nilai yang besar, contohnya 100 juta, pada setiap keping wang yang dicetak. Pada wang tersebut dicetak juga muka Giam Lo Ong (Yan Luo Wang) atau ?penguasa akhirat’, hakim kepada semua roh yang telah meninggal. Yang anehnya, ?wang akhirat’ ini diterjemahkan sebagai ?wang neraka’ atau ?hell bank note’ dalam bahasa Inggeris.

Dalam kalangan masyarakat Cina yang meneruskan tradisi ini kini, ada yang turut membakar rumah kertas yang dipersiapkan dengan ?pembantu rumah’, juga kereta mewah kertas, telefon bimbit kertas, dan lain-lain. Masyarakat Cina Peranakan Kelantan yang beragama Buddha tidak mengamalkan tradisi ini kerana ia bukanlah ajaran agama Buddha. Ia adalah tradisi penganut Taoism.

Berbalik kepada adat pengebumian kaum Cina Peranakan Kelantan yang beragama Buddha, upacara sembahyang bersama sami Buddha biasanya diadakan pada lewat pagi dan diakhiri dengan acara memberi sami makan sebelum 12 tengah hari. Pengunjung yang datang untuk bersembahyang turut dijamu makan tengahari. Ini merupakan adat Siam. Ia bertujuan memudahkan mereka yang datang dari jauh agar tidak perlu mencari atau membeli makanan sendiri. Upacara sembahyang diadakan setiap pagi sebelum jenazah dikebumikan seawal petang hari ketiga.

Acara kemuncak adalah pada hari pengebumian kerana ritualnya agak panjang. Tugas anak lelaki juga amat penting dalam upacara pengebumian ini. Ini berkait dengan kepentingan anak lelaki dalam masyarakat Cina, terutama anak sulung kerana anak lelaki sulunglah yang akan mengetuai upacara pengebumian.

Pada hari ini, memandangkan kebanyakan masyarakat Cina Peranakan Kelantan tidak arif tentang aturan dan ritual kematian sebegini, mereka biasanya mendapatkan khidmat konsultan pengurusan kematian yang akan memberikan nasihat dan menguruskan semuanya bermula dengan memandikan jenazah, meletakkan di dalam keranda, hinggalah membawa keranda ke kubur menggunakan van.

Mengikut nasihat konsultan, anak-anak disusun di barisan hadapan, dengan yang sulung di sebelah kanan hingga yang bongsu di sebelah kiri. Barisan kedua adalah untuk suami atau isteri anak-anak mendiang; ini diikuti dengan cucu sulung, cucu kedua dan seterusnya di barisan ketiga, di belakang ibu bapa masing-masing; dan diikuti pula dengan menantu cucu. Menantu lelaki dan menantu cucu lelaki dipakaikan kain selempang merah.

Selesai penghormatan terakhir dengan membakar colok serta menyembah mendiang, acara diteruskan dengan kumpulan kecil pula bermula dengan anak-anak lelaki, diikuti dengan anak-anak perempuan, menantu lelaki dan perempuan, hinggalah kepada cucu dan cicit, mengikut aturan yang telah dinyatakan di atas. Setiap kumpulan akan mempersembahkan buah-buahan dan makanan kepada mendiang.

Ketika mengiringi keranda ke van jenazah, tiada upacara menangis atau mengupah orang untuk menangis. Mungkin tradisi menangis masih tebal dalam masyarakat Cina di pantai barat Semenanjung Malaysia atau tempat-tempat lain. Menurut ibu saya, mereka boleh menangis dengan ikhlas, bukannya dibuat-buat.

Mendiang nenek saya dikuburkan di kawasan tepi rumah beliau, bersebelahan kubur arwah suaminya. Tiada binaan konkrit mahupun batu nisan untuk beliau dan juga arwah datuk saya yang telah lama meninggal. Mungkin bukan tradisi keluarga kami untuk meletakkan batu nisan. Tambahan pula mereka dikuburkan di sebelah rumah pusaka, maka kami tahu itu kubur siapa, tidak perlu ada penanda. Selepas dikuburkan, upacara menyembah kubur serta memberikan persembahan berupa buah-buahan dan makanan diadakan. Tiada upacara pembakaran wang atau pakaian kertas.

Pada hari ketujuh selepas kematian, keluarga akan menyediakan makanan kepada para sami Buddha di Wat selepas upacara sembahyang untuk mendiang diadakan. Tempoh berkabung bagi cucu-cucu adalah selama 7 hari. Ketika tempoh berkabung, mereka hanya memakai pakaian hitam, putih atau yang berwarna suram sahaja. Mereka hanya boleh memakai pakaian berwarna cerah dan terang selepas tamat tempoh berkabung.

Anak-anak pula kebiasaannya berkabung sehingga 49 hari (7 x 7 hari), dan ada juga yang berkabung sehingga 100 hari. Upacara sembahyang untuk mendiang serta memberi makan kepada sami Buddha juga diadakan pada hari ke-49 dan berakhir pada hari ke-100.

Begitulah sedikit sebanyak tentang adat kematian Cina Peranakan Kelantan beragama Buddha yang boleh saya kongsikan. Jujurnya, saya tidak tahu berapa lama adat ini akan atau boleh bertahan; atau adakah ia juga akan berevolusi. Semoga perkongsian ini boleh memberi sedikit gambaran dan kefahaman tentang budaya yang mungkin asing bagi sesetengah kelompok masyarakat.

Johari Yap
Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Cawangan Kelantan

Posted in Malaysian Digest

Leave a Reply

Klik di sini untuk melihat senarai artikel Johari Yap di laman web Sinar Harian.

Categories

Recent posts

Comments